Toyota Hilux generasi ke-7: Kini serendah RM 58k - baloi angkat second hand?
Faisal · Dec 15, 2020 08:00 PM
0
0
Industri komersil sering bergantung kepada trak pikap kerana ia memiliki pelbagai kegunaan. Antara trak pikap yang paling digemari sejak turun temurun ialah Toyota Hilux. “Hailak” cukup dikenali ramai terutama di kalangan industri komersil kerana kebolehannya yang pelbagai.
Dengan sifat tahan lasak yang luar biasa, Toyota Hilux sering digunakan oleh masyarakat dalam urusan harian mereka seperti mengangkut barang, melalui kawasan yang mencabar, dan memuatkan 5 orang secara memadai. Sifat boleh diharap yang diterapkan pada Toyota Hilux sejak ia dirasmikan pada tahun 1968 telah menjadikannya sebuah ikon sehingga mana-mana model trak pikap pun dipanggil sebagai “Hailak”.
Dengan harga kini yang serendah RM 58,000, adakah ia berbaloi untuk dibeli? Mari kita lihat dari aspek penyelenggaraan terlebih dahulu.
Isu dan permasalahan
Secara umumnya, Toyota Hilux mempunyai jangka hayat yang cemerlang sekiranya dijaga dengan baik. Namun begitu, ia mempunyai satu isu dimana absorber depan mudah mengeluarkan bunyi. Anggaran kos untuk menggantikannya adalah sekitar RM 250 untuk 1 batang.
Bagaimana pula dengan kos servis?
Seperti kereta biasa, selang perbatuan untuk melakukan servis adalah pada setiap 10,000 km. Sebagai sebuah kereta Jepun yang ringkas, kos servis dan penyelenggaraannya sangatlah rendah.
Sebagai sebuah trak pikap, sudah tentu tayarnya bersaiz besar. Namun demikian, harganya tidaklah melebihi RM 600 walaupun anda menggunakan jenama Michelin sekalipun.
Model tahun manakah paling baik?
Kami menyarankan pembeli untuk memilih model facelift dimana ia dikeluarkan pada tahun 2012 dan ke atas. Sebagai model facelift, kebanyakan isu pada keluaran awal juga berkemungkinan telah pulih.
Untuk memudahkan anda, kami juga mencadangkan model yang mempunyai transmisi automatik dan tidak dimodifikasikan untuk mengekalkan kualiti tulen.
Berdasarkan spesifikasi keseluruhan, Toyota Hilux facelift tahun 2012 varian 2.5G VNT mempunyai segala kelengkapan asas yang diperlukan pada sesebuah trak pikap. Malah ia turut mempunyai Bluetooth dan USB port.
Tinjauan pasaran terpakai
Untuk maklumat anda, model yang tidak mengenakan sebarang modifikasi agak berbaloi untuk dibeli sekiranya unit tersebut dijaga dengan baik. Berdasarkan pasaran terkini, Toyota Hilux facelift 2.5 VNT tahun 2012 boleh dimiliki serendah RM 59,000. Varian ini mempunyai enjin turbodiesel VNT yang lebih baru dimana ia menghasilkan 144 PS dan 343 Nm tork. Kuasa ini dihantar ke transmisi automatik 4 kelajuan yang cukup kebal.
Sekiranya anda mahukan bumbung di bahagian kargobed, varian yang mempunyai penutup sebegini boleh dimiliki serendah RM 57,000.
Model
Harga baru
Harga terpakai
Purata penurunan harga tahunan
Hilux 2.5G VNT (2012)
RM 99,988
~RM 59,000
5%
Hilux kargobed 2.5G VNT (2012)
~RM 102,000
~RM 57,000
5.5%
Walau apapun, harus diingatkan bahawa harga yang tertera di dalam laman sesawang jualan kebiasaannya belum muktamad. Anda mungkin perlu menambah sejumlah wang untuk membayar beberapa cas tambahan yang diperlukan untuk menyerahkan hak milik kepada anda sepenuhnya.
Selain itu, apa yang harus ditelitikan?
Seperti mana-mana kereta terpakai, tiada kereta sama yang mempunyai keadaan yang serupa. Oleh itu, anda lebih digalakkan untuk membeli terus daripada pemilik untuk mengetahui keadaan asal kereta tersebut. Anda juga disarankan untuk memilih kereta yang mempunyai rekod servis yang penuh untuk mengelakkan diri daripada sebarang penipuan pada perbatuan (mileage). Untuk maklumat anda, rekod servis dan penyelenggaraan juga memudahkan anda untuk mengetahui sejarah penyelenggaraan kereta tersebut.
Seperti kereta terpakai yang lain, anda boleh memeriksa kali terakhir servis dilakukan untuk mengetahui rekod penjagaan dengan lebih terperinci seperti minyak hitam, minyak transmisi (gearbox), air radiator, dan minyak brek.
Selain itu, anda dinasihatkan untuk menguji pandu terlebih dahulu dan meneliti sama ada kereta tersebut pernah mengalami sebarang kerosakan kemalangan ataupun banjir.
Konklusi
Walaupun berada pada generasi terdahulu, Toyota Hilux generasi ketujuh masih relevan. Kebiasaannya, pembeli di pasaran ini hanya dahagakan lebih kuasa untuk melakukan tugasan yang berat. Malah pembeli sering memilih varian yang ringkas kerana trak pikap hanya perlu tahan lasak, gagah, dan tidak meragam. Maka itu, Toyota Hilux sentiasa menepati citarasa masyarakat walaupun generasi lama sekalipun.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.