Toyota Innova gen-2 di India masih diperbaharui, khas untuk mereka yang tak suka model Zenix
Faisal Β· Jan 30, 2023 07:00 PM
0
0
Minggu lalu, kami melaporkan bahawa Toyota Vios generasi ke-4 di Vietnam akan menerima satu lagi kemaskini walaupun generasi DNGA sudah mula mengorak langkah ke pelbagai pasaran.
Kali ini, Toyota Innova di India juga menerima satu lagi pembaharuan walaupun generasi ke-3 (TNGA) iaitu Innova Zenix (memakai nama Innova HyCross di India) sudah dilancarkan di pasaran sana. Bagi anda yang belum tahu, Innova generasi ke-2 di India menggunakan nama Innova Crysta.
Menurut sumber yang diperoleh dari rakan AutoFun ID kami, boleh tahan ramai juga pembeli yang lebih menggemari Innova lama walaupun Innova HyCross sudah dirasmikan. Oleh kerana itu, pengedar rasmi Toyota di India iaitu Toyota Kirloskar Motor mengambil keputusan untuk memperbaharui Innova Crysta melalui gril baru.
Secara amnya, Innova Crysta ini menggunakan enjin 2GD-FTV 2.4L turbodiesel (149 PS, 360 Nm) dan hanya digandingkan dengan transmisi manual 5 kelajuan. Kalau dibandingkan dengan Innova HyCross, enjin pada Innova lama itu boleh dikatakan lebih gagah kerana nadi 2.0L NA Dynamic Force yang dipadankan pada generasi baharu hanya menghasilkan 174 PS/205 Nm. Bercakap mengenai nadi, pilihan hibrid pun ada (184 PS) tetapi mereka mungkin mahu sesuatu yang lebih ringkas.
Mungkin inilah faktor terbesar yang membuatkan pembeli di India lebih tertarik dengan model lama.
Bagi anda yang belum tahu, Toyota Innova di India diibarat seperti Vellfire dan Alphard dan sememangnya lebih digemari dalam kalangan selebriti kerana ia lebih berkebolehan.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.