Toyota Noah/Voxy – Alphard versi mini, tapi kenapa di Malaysia tak laku langsung?
Faisal · May 24, 2021 06:00 PM
0
0
Zaman MPV sudah berakhir kerana pembeli sekarang lebih meminati SUV dan crossover yang bertujuh tempat duduk. Namun demikian, pasarannya tetap hidup. Buktinya? Toyota Alphard/Vellfire kekal laris, begitu juga dengan MPV bajet seperti Proton Exora dan Perodua Alza.
Uniknya, terdapat sebuah lagi MPV Toyota di bawah Alphard/Vellfire sendiri, iaitu kembar trio Noah/Voxy/Esquire. Di Jepun, adik kepada Alphard ini bersaing dengan Nissan Serena. Di Malaysia, Nissan Serena dijual secara rasmi. Toyota Noah pula hanya dijual oleh pengimport.
Walaupun Alphard/Vellfire cukup digemari di Malaysia, impak yang sama tidak dapat diberikan oleh Toyota Noah. Perkara ini agak pelik kerana reka bentuknya hampir sama dengan Alphard tetapi dengan enjin yang lebih kecil, iaitu 1.8L hibrid ataupun 2.0L NA. Kalau begitu, sepatutnya lebih murah kan? Tetapi kenapa masih tak laku?
Sebab #1: Lagi besar lagi bagus (kadang-kadang lebih murah)
Walaupun dengan roadtax yang lebih murah, senarai di laman sesawang menunjukkan bahawa sesetengah Toyota Noah berharga serupa dengan Toyota Alphard walaupun berusia lebih tua. Jadi kalau harga sama, lebih baik beli Alphard terus kan? Bukan setakat lebih gah, ia juga lebih luas. Enjinnya juga lebih berkuasa.
Antara sebab mengapa Toyota Noah tidak selaris Alphard ialah kerana permintaan yang kurang. Di Jepun, jualan Alphard dua kali ganda lebih banyak daripada Toyota Noah/Voxy. Dengan stok dari Jepun yang begitu banyak, Toyota Alphard dapat diimport ke Malaysia dengan harga yang lebih murah.
Kalau anda perasan, laman sesawang ataupun pengedar kereta recon memperlihatkan stok Alphard/Vellfire yang jauh banyak berbanding dengan Noah/Voxy.
Untuk maklumat anda, Alphard adalah MPV kegemaran rakyat Malaysia dan Jepun. Malah, jentera ini adalah antara kereta yang paling laris (juga paling banyak dicuri) di Jepun untuk tahun lepas.
Dengan jualan sebanyak 41,680 unit setakat tahun ini, Toyota Alphard kekal sebagai MPV paling laris di Jepun. Sebagai perbandingan, Toyota Voxy hanya terjual sebanyak 29,244 unit. Nissan Serena pula berjaya meraih jualan sebanyak 24,554 unit sahaja.
Memandangkan Alphard dikategorikan sebagai sebuah MPV yang mewah, angka jualan yang berikut sebenarnya cukup mengagumkan. Umumnya, pembeli di Jepun lebih gemar akan MPV yang lebih kecil seperti Toyota Sienta dan juga Honda Freed. Untuk pengetahuan anda, Sienta berjaya dijual sebanyak 25,678 unit, manakala Freed kekal di hadapan dengan jualan sebanyak 26,118 unit. Menariknya, angka ini tidak begitu berbeza jualan Toyota Voxy dan Nissan Serena.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.