Di Malaysia, Toyota RAV4 adalah jawapan Toyota dalam saingan daripada Honda CR-V dan Mazda CX-5.
Tetapi sayangnya, Toyota RAV4 lebih dilihat menyaingi BMW X1 (RM 233,800) dan Mercedes Benz GLA 200 (RM 223,888) disebabkan harganya yang melambung tinggi. Hanya di Malaysia.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 01]()
Hal ini menyebabkan Honda Malaysia dan Bermaz Motor hanya tersenyum sinis melihat pesaing terkuat mereka seolah-oleh kalah sebelum bertanding. Tahukah anda, Toyota RAV4 merupakan SUV terlaris di dunia dengan 950,000 unit terjual berbanding Honda CR-V (810,000 unit) dan Volkswagen Tiguan (740,000 unit).
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 02]()
Bagaimanakah Toyota RAV4 berjaya menawan pembeli di seluruh dunia? Jawapannya adalah Toyota RAV4 merupakan perintis kepada kenderaan SUV yang kita kenali dengan kewujudan terawal sejak tahun 1994.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 03]()
Jadi mengapakah Toyota bersusah payah menawarkan kenderaan yang terlalu mahal di dalam kelasnya? Nampak macam kerja mengira bulu kambing, satu usaha yang sia-sia sahaja.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 04]()
Harga sebenar Toyota RAV4
Ini fakta yang lebih mengejutkan. Sebenarnya, harga Toyota RAV4 jauh lebih murah berbanding Honda HR-V. Perbezaan harganya bukanlah sedikit malahan lebih RM8,000 perbezaan harga sebenarnya. Harga tanpa cukai Toyota RAV4 2.5L adalah RM130,207 manakala Honda CR-V 1.5 TC-P dengan kelengkapan setaraf berharga RM138,500.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 05]()
Namun begitu, Toyota RAV4 diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Hal ini bermakna, Toyota RAV4 dikenakan segala macam cukai import selagi boleh. Ditambah pula dengan struktur cukai Malaysia yang masih berasaskan sesaran (cc) enjin, enjin 2.0 liter dan 2.5 liter NA Toyota RAV4 menambahkan lagi pedih kepada luka yang disebabkan harganya.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 06]()
Oleh sebab itu, Toyota RAV4 yang merupakan pesaing sebenar kepada Honda CR-V (dipasang di Melaka) dan Mazda CX-5 (dipasang di Kulim) kini lebih dilihat sebagai pesaing kepada BMW X1. Hanya di Malaysia.
Jika anda berasa harga ini tidak adil, bersiap siagalah. Harga kereta dijangka bakal melambung tinggi untuk kesemua jenis dan jenama. Trend ini adalah berdasarkan kes-kes yang terjadi sebelum ini.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 07]()
Ketika pelancaran Toyota Camry, harga yang diumumkan adalah RM196,888. Ramai yang melihat harga ini mengarut. Ada juga yang mentertawakan Toyota dengan strategi harganya yang tidak masuk akal.
Namun tahukah anda apa yang berlaku selepas itu? Honda Malaysia menaikkan harga Honda Accord yang setanding dengan Toyota Camry 2.5V kepada RM195,900 walaupun dipasang secara tempatan (CKD).
Honda dilihat mengambil peluang menutup jurang harga yang besar dengan menaikkan harga kereta yang dipasang secara tempatan (CKD). Toyota pula terpaksa meletakkan harga sedemikian atas sebab cukai yang dikenakan.
Bukan itu sahaja, varian paling rendah Volkswagen Passat yang dipasang tempatan juga turut ditetapkan pada harga yang tidak kurang mahalnya - RM189,012.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 08]()
Honda BR-V 2020 yang dilancarkan dengan facelift baru berharga sekitar RM89,900 – RM96,900. Perbezaan lebih RM9,000 berbanding model Honda BR-V lama menunjukkan peningkatan harga hampir 10%.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 09]()
BMW 320i generasi G20 turut dilancarkan awal tahun ini pada harga RM243,800. Harga ini berbeza lebih RM10,000 berbanding generasi F30 sebelumnya.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 10]()
Beberapa bulan selepas itu, Mazda turut mengemas kini harga model CX-9 kepada RM319,610 untuk varian 2WD dan RM336,610 untuk varian 4WD. Memang menangis melihat harganya yang meningkat sebanyak RM29,000.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 11]()
Masih ingatkah anda dengan Mercedes Benz A Class? Pada tahun 2013, harganya hanyalah RM198,888 dan RM238,888 untuk model A200 dan A250. Namun, generasi W177 terbaru berharga RM227,888 dan RM263,888 semasa dilancarkan. Ini bermakna peningkatan harganya adalah sebanyak RM30,000 untuk kedua-duanya.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 12]()
Selain model A Class, model Mercedes Benz GLC turut menerima peningkatan harga yang mendadak. Model GLC berharga RM293,888 untuk GLC 200 dan RM333,888 untuk GLC 250 pada tahun 2018 telah meningkat kepada RM299,888 dan RM349,888. Model GLC 250 pula telah menjadi model GLC 300. Ini perbezaan harga sebanyak RM6,000 - RM16,000.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 13]()
Trend peningkatan harga yang kita alami ini adalah kesan daripada kelemahan nilai matawang Ringgit Malaysia berbanding US Dollar. 10 tahun lalu, Ringgit didagangkan pada tahap 3 ringgit lebih namun kini telah didagangkan pada tahap atas 4 ringgit.
Cara pengiraan cukai jualan turut memainkan peranan dalam peningkatan harga kenderaan. Hal ini kerana cukai jualan tidak dikira berdasarkan harga asas tetapi harga cukai dikira berdasarkan dengan harga selepas cukai eksais dan duti import. Anda membayar cukai di atas cukai yang telah dimasukkan.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 14]()
Oleh sebab itu, setiap kali model baharu diperkenalkan di Malaysia, pengeluar terpaksa mengkaji harga baharu berasaskan unjuran tukaran matawang masa hadapan. Hal ini supaya model tersebut masih memberi keuntungan dalam jangka masa 3-5 tahun akan datang.
Pasaran Malaysia juga terlalu kecil (jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain) menyebabkan pengeluar kurang cenderung untuk memberikan tawaran yang bagus kepada rakyat Malaysia.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 15]()
Oleh sebab itulah kebanyakan model baharu yang dilancarkan mengalami kenaikan harga yang tinggi.
Lebih mendukacitakan adalah pihak kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berhasrat untuk menggunakan sistem Open Market Value (OMV) untuk mengira struktur cukai kereta. Sistem ini dikatakan bakal direalisasikan selepas 31 Disember 2020. Jangkaan peningkatan harga sebanyak 0 - 20% akan terjadi sekiranya sistem ini digunakan bergantung kepada model kereta.
Dengan erti kata lain, pengguna tetap akan tersepit dengan harga kereta yang semakin melambung tinggi tidak kiralah dari pihak pengeluar mahupun kerajaan.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 16]()
Kerajaan Perikatan Nasional pula dilihat berdiam diri sahaja mengenai isu ini namun adakah anda mengharapkan bahawa kerajaan akan menarik semula polisi tersebut yang sangat menguntungkan? Juga harus diingatkan bahawa cukai kereta adalah antara pendapatan utama kerajaan. Lagipun, siapa lagi yang akan membiayai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bernilai RM 280 bilion?
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 17]()
Oleh itu, harga Toyota RAV4 sebenarnya ‘munasabah’ jika difikirkan semula. Harga Toyota RAV4 yang tidak masuk akal hanyalah amaran terhadap keseluruhan masalah yang bakal kita hadapi.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 18]()
Satu-satunya sinar harapan kita adalah pengeluar tempatan yang kurang terkesan dengan cukai eksais dan duti import. Adakah Proton dan Perodua akan mengambil peluang ini dengan ‘membunuh’ pasaran dengan harga murah atau sebaliknya?
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 19]()
Berbalik kepada Toyota RAV4, kami mempunyai harapan yang tinggi terhadapnya. Platform TNGA-K pada Toyota Camry sangat stabil. Pemanduan yang selesa dengan kendalian yang bagus. Tentunya Toyota RAV4 mempunyai kualiti yang sama seperti Toyota Camry. Honda CR-V mungkin lebih murah namun pemanduannya kurang selesa.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 20]()
Nantikan rebiu Toyota RAV4 kami dalam masa terdekat. Kami akan membandingkan Toyota RAV4 dengan BMW X1 secara lebih dekat berdasarkan perspektif nilai.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 21]()
Menurut spesifikasi, BMW X1 kekurangan ciri-ciri seperti ADAS, Android Auto dengan rekaan kabin yang kurang mewah. Namun kita semua sedia maklum, peminat BMW tidak mementingkan ciri-ciri kecil seperti ini, asalkan logo BMW tersergam indah pada bahagian hadapan.
![Toyota RAV4 terlalu mahal? Harga kereta yang melambung tinggi adalah norma baru 22]()
Lebih menarik lagi, pesaing utama Toyota RAV4 adalah Toyota Harrier dan Lexus UX. Hal ini kerana kedua-dua model tersebut walaupun lebih mahal namun ciri premium yang ditawarkan sesuai dengan harga yang ditetapkan. Selain itu, kemudahan servis dan alat ganti yang disertakan dengan pakej pembelian Toyota dan Lexus sudah pasti menjamin ketenangan minda.
Komen