Toyota Veloz vs. Perodua Alza - Kembar dari keluarga berbeza, apa perbezaan perinciannya?
Mersita · Oct 29, 2022 06:00 PM
Memandangkan kini UMW Toyota Motor (UMWT) akhirnya telah melancarkan Toyota Veloz 2022 baharu, kini kita boleh membandingkannya dengan kereta pendermanya yang juga dilancar serba baru iaitu Perodua Alza D27A.
Luaran – Rim lebih besar, fender lebih gempal, lampu kabus ditukar ganti dengan DRL LED
Walau sekali imbas, kedua-dua MPV ini tampil dengan rekaan berbeza walaupun dihasilkan dari kilang sama iaitu kilang Perodua di Rawang, Selangor.
Veloz tampil dengan muka hadapan lebih bersegi, berbeza dengan Alza yang lebih melekuk
Veloz tampil dengan rupa hadapan yang amat berani dan garang dengan jejaring bentuk pentagon sasa dan besar dengan DRL LED yang tampak tajam di sekelilingnya. Lampu hadapan LEDnya turut disambungkan dengan jalur krom. Berbeza dengan Alza, Veloz tidak disertakan dengan lampu kabus hadapan.
Veloz sememangnya tampak seperti kereta keluaran Toyota, terlihat sipi-sipi Corolla Cross dari sudut tertentu
Di samping itu, Alza pula diberi nafas baru dari imej kereta keluarga 7 tempat duduknya dengan rupa bentuk yang lebih terpahat dan ranggi. Alza juga diberi jalur krom di antara lampu hadapannya, namun bahagian itu sajalah yang diberi kemasan berkilat ini.
Pastinya, Veloz tampil lebih mewah dan ‘upmarket’ dengan inskripsi “Veloz” pada lampu hadapannya
Jika diperhatikan dengan lebih dekat, anda juga akan nampak perbezaan dalam rekaan lampu hadapan antara dua MPV ini – lampu Alza lebih bersegi, manakala lampu Veloz pula tampil lebih serasi dengan model-model Toyota yang lain, lebih kurang sama dengan Toyota Corolla Cross.
Veloz mempunyai lebih banyak elemen rekaan SUV, manakala Alza pula lebih menjurus kepada MPV tradisional
Di bahagian sisi pula, Veloz mempunyai suar fender lebih menonjol berbanding saudara Peroduanya. Bukan itu saja, Veloz juga diberi rim lebih besar jenis aloi 17 inci sebagai standard manakala saiz rim Alza pula adalah antara 15 dan 16 inci.
Rel bumbung hanya boleh didapati pada Veloz
Selain itu, Veloz juga diberi rel bumbung yang cukup praktikal bagi membawa memuatan sehingga 75 kg, selain mempunyai jarak lega bumi setinggi 190 mm; 30 mm lebih tinggi berbanding Alza.
Jika dibandingkan, Veloz mempunyai bar lampu brek LED manakala lampu brek Alza pula terasing
Bagi bahagian belakang kedua-dua MPV ini pula, Veloz diberi rekaan lebih lasak dengan ‘skid plate’ palsu di bahagian bawah bamparnya. Alza pula tampil dengan perincian trim hitam yang lebih ringkas.
Jika dilihat dengan lebih dekat, nama plat Veloz boleh didapati pada trim nombor platnya. Perincian ini tiada pada Alza
Selain itu, Veloz juga memaparkan rekaan lampu brek LED lebar sepenuhnya berbanding rekaan dua bahagian pada Alza. Perbezaan lain termasuklah posisi emblem modelnya dimana emblem Veloz menyusur sepanjang trim di atas plat nombor manakala emblem Alza berada di sisi bawah sebelah kanan pintu bonetnya.
Ruang kabin – Kedua-duanya tiada ruang simpanan di bahagian tengah, tapi Veloz tampak lebih mewah
Ya, kedua-dua MPV ini didatangkan dengan ruang kabin yang lebih kurang sama, namun Veloz tampak lebih mewah
Apabila memasuki kabin, perbezaan antara kedua-dua MPV ini nampak lebih ketara – bermula dari kemasan dwi-tona pada papan pemukanya.
Lihat plat nama Veloz, Alza kosong saja
Di dalam Veloz serba baru, ruang dalamannya dihiasi trim papan pemuka berlapik lembut dengan jahitan kemas, lengkap dengan emblem plat namanya. Alza juga menawarkan papan pemuka dwi-tona, namun dengan kemasan berwarna coklat.
Android Auto dan Apple CarPlay boleh didapati pada kedua-dua MPV ini
Veloz dan Alza (bagi varian tertingginya, AV) menawarkan sistem infotainment 9 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay; cuma bezanya Toyota menawarkan sambungan nirwayar bagi kedua-dua kelengkapan ini.
Veloz juga menawarkan pad pengecas nirwayar Qi, manakala Alza mempunyai butang kunci/nyahkunci pintu yang amat memudahkan pengguna
Selain itu, Veloz dan Alza juga didatangkan dengan panel meter digital 7 inci, namun Veloz mempunyai bacaan suhu luaran
Veloz dan Alza mempunyai meter digital 7 inci yang sama, tapi meter Veloz ada bacaan suhu luaran
Kedua-dua MPV ini juga menawarkan panel meter digital sepenuhnya bersaiz 7 inci, namun Veloz turut dilengkapi bacaan suhu luaran yang boleh dilihat di bahagian sisi kiri panel berkenaan.
Veloz mempunyai kawalan iklim automatik, manakala Alza mempunyai kipas (blower) dengan mod pelbagai dan fungsi memori
Bagi kawalan penghawa dinginnya pula, Alza dipadatkan dengan unit yang tipikal bagi kenderaan Perodua, lengkap dengan 2 fungsi memori; manakala Veloz menawarkan fungsi kawalan iklim automatik.
Ini bermaksud Veloz tiada kipas (blower) dengan mod pelbagai dimana sistem penghawa dinginnya hanya boleh menghembus udara dalam satu arah – tiada kipas bagi cermin hadapan mahupun ruangan kaki dalam model ini.
Salah satu perkara yang menghampakan adalah ketiadaan ruang simpanan di bahagian tengah kabin bagi kedua-dua MPV ini. Namun, sekurang-kurangnya anda boleh meletakkan telefon bimbit anda di pad pengecas nirwayar yang disertakan di dalam Veloz, namun tiada pada Alza.
Veloz menawarkan tempat duduk lebih mewah, manakala tempat duduk Alza lebih ‘sporty’ dan ranggi
Tempat duduk kedua-dua MPV ini juga berbeza – kemasan tempat duduk Alza berwarna coklat sama seperti papan pemukanya dan Veloz pula diberi kemasan berwarna hitam sepenuhnya.
Tema warna dwi-tona turut melarat ke panel pintunya juga
Perbezaan antara Veloz dan Alza melarat ke panel pintunya. Veloz menampilkan pemegang pintu bergaya kemas untuk penumpang, namun Alza tiada pemegang ini.
Pencahayaan ambien biru juga hanya boleh didapati di dalam Veloz
Tambahan pula, Veloz juga dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien berwarna biru untuk suasana kabin lebih premium. Walaupun Alza tiada cahaya ambien ini, Perodua ada menawarkan sistem pencahayaan ruang kaki GearUp yang opsyenal bagi MPV 7 tempat duduk terbarunya ini.
Kamera pemantau 360 darjah pada Veloz
Satu perincian kecil yang turut dikesan adalah ketiadaan butang paparan pemantau panorama (PVM) pada stereng Veloz walaupun ia ditemui pada Alza. Bagi mentogol PVM, pemilik Veloz terpaksa mengakses fungsi ini menerusi sistem infotainmennya.
Perhatikan lebih rapat dan anda akan perasan yang Veloz tiada butang PVM seperti Alza walaupun ia lebih mahal
Lebih penting, Toyota Veloz yang berharga RM 95 ribu ini menawarkan stereng dilengkapi pelaras tinggi-rendah dan teleskopik – satu kelengkapan yang masih belum ditawarkan pada mana-mana model Perodua setakat ini.
Kesimpulan – Berbaloikah harga Veloz yang RM 20,000 lebih mahal berbanding Alza?
Bagi ramai pembeli, Perodua Alza D27A menepati banyak citarasa dan keperluan – ia selamat, praktikal, dan lebih penting adalah harganya yang mampu milik.
Apa lagi yang anda mahukan dari Alza spesifikasi tertinggi yang harganya lebih murah berbanding Toyota Vios varian terendah? Sampaikan lebih daripada 51,000 rakyat Malaysia telah membuat tempahan?
Tapi, tak semestinya kita patut singkirkan Veloz ke tepi begitu sahaja kerana ia masih ada kelebihannya. Walaupun dengan kos tambahan RM 20,000, anda bukan saja diberi MPV 7 tempat duduk yang dilengkapi perincian lebih sedikit; anda juga berpeluang untuk merasai pengalaman pemilikan kenderaan Toyota yang sejak sekian lama disanjung tinggi seantero dunia.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen