Toyota Vios adalah model utama yang menjana pendapatan bagi Toyota disebabkan harganya yang paling berpatutan dalam pasaran sedan segmen B ketika ini. Toyota Vios terbaru tahun 2019 ini diperbaharui dengan sejumlah ciri-ciri keselamatan, menjadikannya pilihan yang paling disyorkan untuk kebanyakan pembeli.
Berapakah harga Toyota Vios 2019?
Tiga varian yang boleh dibeli sekarang dengan harga bermula dari RM 77,200 untuk varian 1.5J, sementara bagi varian pertengahan 1.5E berharga RM 81,200. Varian teratas 1.5G pula ditawarkan pada harga RM 87,300.
Semua varian Toyota Vios 2019 berkongsi enjin 1.5 liter petrol VVT-i berkembar empat silinder pernafasan biasa 2NR-FE yang dipadankan dengan transmisi automatik jenis CVT. Ia menyalurkan semua kuasa 107 PS dan 140 Nm tork ke roda hadapan.
Pilihan kami adalah varian 1.5G kerana ia merangkumi tambahan ciri keselamatan seperti Pemerhati Titik Buta (Blind Spot Monitor) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (Rear Cross Traffic Alert). Toyota Vios 2019 1.5G juga mendapat Perakam Video Digital (DVR) terbina dan Skrin Pemandangan Panorama (Panoramic View Monitor).
Namun, jika anda berpendapat bahawa ciri-ciri tersebut tidak diperlukan, maka Toyota Vios 2019 1.5J atau 1.5E adalah pilihan yang lebih baik kerana kedua-dua varian ini masih menerima 7 beg udara, kawalan kestabilan dan kawalan daya tarikan (Vehicle Stability Control).
Kebaikan dan Kekurangan Toyota Vios 2019
Bagi mereka yang ingin membeli kereta paling kurang bermasalah, Toyota Vios 2019 adalah pilihan yang bagus kerana ia mempunyai reputasi operasi pengendalian yang murah, mudah diperbaiki dan tahan lama untuk keadaan pemanduan kami.
Seperti disebutkan sebelum ini, Toyota Vios 2019 ditawarkan dengan lebih ciri keselamatan berbanding versi terdahulu di mana aspek keselamatan merupakan keluhan terbesar penggunanya. Dengan pengenalan model ini, Toyota telah menjadikan ciri keselamatan seperti 7 beg udara, kawalan kestabilan dan kawalan cengkaman sebagai ciri standard bagi semua model, menjadikan Vios lebih menarik untuk dibeli.
Selain daripada ciri keselamatannya yang bagus, tahap kesenyapan dan kesempurnaan kabin Toyota Vios juga terbaik dalam segmennya, bahkan mengalahkan City.
Sungguhpun begitu, rekaan bahagian dalaman Toyota Vios sedikit mengecewakan kerana ruang penyimpanan yang agak terhad di dalam kabin. Penutup kolum stereng juga diposisikan pada darjah kecondongan yang tidak sesuai sehingga memantulkan bacaan kluster meter, menjadikannya sukar untuk dibaca.
Apakah Alternatif Toyota Vios 2019?
Saingan terbesar Toyota Vios dalam segmen ini adalah Honda City (RM 73,496 - RM 91,832). Walau bagaimanapun, terdapat saingan lain yang wajar disebut seperti Mazda 2 Sedan (RM 76,670 - RM 94,670) dan Volkswagen Vento (RM 84,690 - RM 98,490).
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, Honda City terus menjadi sedan segmen B bukan tempatan paling laris di Malaysia, mengatasi Toyota Vios 2019. Honda Malaysia mengemas kini City pada tahun 2017, memberikan sedan tersebut reka bentuk luaran yang diperbaharui. Namun apa yang kami rasa sedikit kecewa adalah ketiadaan fungsi jam pada sistem infotainmennya. Kesempurnaan dan tahap kesenyapan kabin Honda City juga tidak setanding Toyota Vios 2019.
Alternatif lain untuk Toyota Vios 2019 adalah Mazda 2 Sedan. Tidak seperti Honda City yang lebih praktikal, Mazda 2 Sedan mengambil pendekatan yang berbeza sekali kerana kualiti kabin Mazda 2 Sedan tiada tandingannya. Titik sentuhan dan kualiti binaan terbaik turut dimenangi oleh Mazda 2 Sedan. Tambahan pula, fokus utama Mazda adalah pada dinamik pemanduannya yang turut mengalahkan semua pesaing dalam segmen ini.
Wakil kereta Eropah sebagai alternatif lain sudah tentunya Volkswagen Vento. Kami syorkan varian Vento Highline yang dilengkapi dengan enjin 1.2 liter dicas turbo. Vento Highline bukanlah sebuah sedan berprestasi tinggi tetapi ianya cukup untuk pemanduan lasak harian anda. Walau bagaimanapun, kos penyelenggaraan Vento sangatlah tinggi. Vento juga tidak mempunyai beg udara bahagian sisi seperti yang ditawarkan oleh pesaing lain dalam segmennya.
Akhir sekali, sekiranya anda ingin mencari alternatif keluaran tempatan, Proton Persona juga merupakan suatu pilihan yang sesuai. Seperti Toyota Vios 2019, Proton Persona adalah sedan segmen B tetapi harganya jauh lebih rendah. Namun, perlu diingatkan bahawa Persona adalah sebahagian daripada rangkaian model lama Proton. Facelift yang diperkenalkan Proton awal tahun 2019 meningkatkan daya tarikan Persona tetapi secara keseluruhannya, Persona jauh ketinggalan di belakang saingan yang lain.
Dapatkan respons dalam masa 24 jam!
2023 Toyota Vios 1.5E AT
Upgrade
Add your car