Toyota Vios 2021 - 4 varian termasuk GR-S, nak pilih yang mana?
Haris Β· Mar 7, 2021 04:00 PM
0
0
Toyota Vios memang sinonim sebagai sebuah sedan segmen B kegemaran Malaysia. Kebolehtahanan yang baik pada Toyota Vios sememangnya lagenda dan menjadi ciri penting buat marhaen pertengahan di Malaysia.
Malaysia sukakan Vios dan Vios membalasnya kembali. Oleh itu, UMW Toyota menampilkan sehingga 4 varian Toyota Vios dalam pasaran dengan 1 varian yang diberikan talaan mantap dan lambang GR.
Jadi, ini panduan yang lebih mendalam tentang varian Toyota Vios 2021!
Pada awalnya ia ditawarkan dalam 3 varian tetapi pelancaran Toyota Vios GR Sport mengubah segalanya. Pada harga RM 95k, anda dapat memiliki sebuah model Gazoo Racing paling murah dengan peningkatan prestasi. Bukan sekadar stiker dan bodykit saja ya!
Rekaan luar - Sebenarnya mewah?
Gril hadapan Toyota Vios facelift 2021 ini kelihatan mengambil inspirasi daripada rekaan Lexus lama dengan gril melintang. Pada hemat kami, ini mungkin suatu cubaan untuk meningkatkan nilai estetika pada sedan mampu milik ini dari Toyota.
Pada bahagian sisi, Toyota Vios masih nampak sedikit kembung dan cembung seperti dugong tetapi garis badan sisi memberikan siluet yang lebih ramping. Secara keseluruhan, ia nampak tegap dengan skema 3 warna yang tepat.
Bahagian belakang kelihatan tidak menerima sebarang perubahan daripada generasi pra-facelift. Hanya varian asas J menerima lampu belakang mentol, varian lain menggunakan lampu LED.
Selain daripada lampu mentol, varian lain turut dilengkapi dengan lapisan akustik pada bahagian cermin (bertujuan untuk mengurangkan bunyi luar) dan cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu signal terbina.
Perbandingan pada bahagian tayar juga adalah varian J dilengkapi dengan tayar 15 inci manakala varian E dan G menggunakan tayar 16 inci.
Tiada lagi pilihan warna Hitam, digantikan dengan warna Orange Metallic. Selain itu, pilihan warna juga terdiri daripada Platinum White Pearl, Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic, dan Silver Metallic.
GR-S adalah TRD baharu?
Kit badan TRD pernah dipasang pada model Toyota Vios jika anda masih ingat. Namun tawaran terbaru Toyota Vios GR-Sport ini bukanlah seperti TRD. Ia lebih dari sekadar kosmetik.
Toyota Vios GR-S ini menggunakan bumper hadapan 'Functional Matrix' dengan tambahan kit badan yang antaranya merangkumi diffuser belakang, skirting sisi dan spoiler lip. Anda juga akan menerima lambang GR yang menjadi idaman peminat sukan permotoran.
Hanya model Toyota Vios GR-S dilengkapi dengan tayar 17 inci multi-spoke berwarna hitam yang dibaluti dengan Toyo Proxes TR1 berprofil 205/45R17.
2 warna yang sinonim dengan model GR iaitu Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic menjadi pilihan anda ketika memilih. Kedua-duanya juga adalah warna yang sangat menawan.
Sistem suspensi dan kit badan sporty GR-S (maklumat lanjut kemudian) boleh didapati sebagai pembelian berasingan hanya untuk varian Vios 1.5 G dengan harga RM 7,700.
Rekaan dalaman - normal Toyota
Rekaan facelift tidak diterjemahkan kepada bahagian dalam. Seperti biasa, Toyota tidak menitikberatkan nilai estetika tetapi lebih bersifat ketahanan. Antara kelengkapan asas dalam semua varian Toyota Vios facelift 2021 adalah seperti berikut:
Kelengkapan standard Toyota Vios
Keyless entry, push start
Ada
Penyaman udara
Automatik
Pengecas USB
2
Lampu bahagian kaki hadapan
LED biru
Tingkap kuasa
Semua tingkap, naik / turun automatik hanya pada bahagian pemandu
Di samping itu, ini adalah perbandingan antara varian:
Selain dari yang dinyatakan, model Toyota Vios GR-S menggunakan kemasan dengan jahitan merah GR.
Secara ingkasnya, perbezaan antara varian E dan G tidak terlalu besar, hanya terdapat naik taraf kecil seperti paddle shifter dan tempat duduk kulit. Secara jujurnya, varian J terasa sedikit kosong - sampai tiada kerusi belakang yang boleh dilipat 60:40?
Varian mana yang ada TSS?
Toyota sentiasa menitikberatkan keselamatan pemandu. Oleh hal yang demikian, Toyota Vios facelift 2021 ini juga hadir dengan Toyota Safety Sense (TSS).
Walaubagaimanapun, hanya varian GR-S, G, dan E yang mempunyai ciri-ciri tersebut:
Pre-collision system (PCS)
Lane departure alert (LDA)
Blind spot monitor dengan rear-cross traffic alert (BSM, RCTA)
Standard untuk kesemua varian adalah:
7 beg udara
pautan ISOFIX
Vehicle stability control (VSC)
Traction control (TC)
Hill-start assist control (HAC)
Emergency stop signal (ESS)
Parking sensors (depan belakang untuk GR-S, G, / belakang sahaja untuk E, J)
Prestasi - seperti yang dijangkakan
Enjin yang terbukti dan dipercayai 4 silinder 1.5 liter 2NR-FE dengan gandingan CVT masih dikekalkan. Enjin ini mencatatkan output kuasa sebanyak 107 PS dan 104 Nm.
Selain dari itu, hanya varian GR-S dan G sahaja yang dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian belakang. Selain dari itu, penggunaan brek drum biasa menjadi pilihan.
Brek bahagian depan tetap sama iaitu brek cakera berventilasi.
Sudah tentu, model GR-S adalah varian mercu yang mengundang semua perhatian. Ia mempunyai pemetaan transmisi terkini yang kini menampilkan 10 gear maya (tetapi hanya dalam mod Sport). Varian lain standard dengan pemetaan 7 gear maya.
Tiada sistem suspensi boleh laras (adjustable suspension) tetapi sistem suspensi pada GR-S telah ditala dengan sedikit keras bagi penggunaan yang lebih agresif.
Kesimpulan - Cukup dengan varian E?
Varian E adalah pilihan yang kami syorkan untuk dibeli. Segala penambahan yang ditawarkan tidak begitu menarik tetapi pembeli masih mempunyai kesemua ciri standard dalam sedan segmen B lain seperti ADAS, pautan telefon pintar dan kerusi belakang boleh dilipat.
Pilihan di tangan anda. Kalau anda ada duit lebih, apa kata pertimbangkan Toyota Vios GR-Sport. Lambang GR ni mungkin bernilai sesuatu pada masa hadapan? Apa kata anda?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.