Trak pikap Hyundai: bakal saingi Toyota Hilux – pelancaran di Malaysia pada tahun 2023?
Faisal · Dec 4, 2020 06:00 PM
0
0
Setelah hampir sedekad mengghaibkan diri dari pasaran trak pikap, Hyundai akan melancarkan 2 model sekaligus untuk pasaran antarabangsa.
Model yang pertama ialah sebuah trak bersaiz penuh yang akan dibina khusus untuk pasaran Amerika Selatan bagi menyaingi Ford F-150. Model ini akan dibina berdasarkan konsep Hyundai Santa Cruz. Walau apapun, model ini tidak relevan untuk pasaran kita.
Sebaliknya, pasaran kita akan mendapat model yang sama saiz dengan Toyota Hilux. Pesaing trak pikap yang terulung ini akan dibina di kilang Hyundai yang terbaru di kompleks industri Deltamas, Jakarta.
Apabila siap pada tahun 2021, kilang ini boleh menampung kapasiti produksi sehingga 150,000 kenderaan setiap tahun dimana separuh daripadanya akan dieksport. Sekiranya diperlukan, kapasiti ini boleh ditingkatkan kepada 250,000 kenderaan.
Menurut sumber yang sahih, terdapat 3 model yang akan dihasilkan di kilang ini. Antaranya ialah sedan segmen B (Hyundai Accent generasi seterusnya), sebuah SUV (Hyundai Creta), dan sebuah MPV yang akan bersaing dengan Toyota Avanza.
Walau apapun, terdapat sumber baru yang mengatakan bahawa Hyundai mempunyai satu lagi perancangan untuk pasaran Asia Tenggara dimana mereka hendak bersaing dengan Toyota Hilux. Trak pikap ini bukan sahaja akan dieksport ke Thailand, malah negara Australia turut berada di dalam perancangan Hyundai Motor Group.
Untuk maklumat anda, Malaysia juga tersenarai di dalam perancangan mereka. Berdasarkan struktur cukai di negara kita, trak pikap dikategorikan sebagai kenderaan komersil dimana ia akan dikecualikan daripada cukai eksais. Oleh itu, tiada sebab untuk Hyundai mengecualikan pasaran Malaysia.
Namun begitu, trak pikap Hyundai ini dijangka akan tiba di Malaysia sekitar tahun 2023.
Persoalannya, konsep produk manakah yang Hyundai akan terapkan untuk trak pikap mereka? Secara keseluruhan, pasaran trak agak rumit dimana ia hadir dengan pelbagai gaya badan seperti 'single cab' dan 'double cab'. Malah di Thailand, variasi untuk varian yang hadir boleh memeranjatkan anda.
Sebagai contoh, Isuzu D-Max (generasi sebelum ini) dibangunkan untuk kerja yang lasak manakala Ford Ranger WildTrak dihasilkan untuk gaya hidup yang lebih ranggi. Antara model yang cuba untuk menggabungkan keseimbangan kedua-dua aspek ini ialah Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux.
Memandangkan Hyundai lebih mengutamakan rekaan yang bergaya, kami berpendapat bahawa trak pikap mereka akan menggunakan falsafah yang digunakan oleh Ford Ranger berbanding Isuzu D-Max. Jadi, apa pendapat anda? Konsep apakah yang patut Hyundai ikut?
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.