UMW Toyota bakal lancar 2 model EV di Malaysia bermula 2022 – Lexus UX 300e & Toyota bZ4X?
Faisal · Dec 3, 2021 05:00 PM
0
0
Berita ini cukup tidak disangka. UMW Toyota Motor (UMWT) nampaknya bakal melancarkan dua model EV di Malaysia dan pelaksanaannya akan bermula pada tahun 2022.
Model yang satu lagi pula akan tiba pada tahun 2023.
Apapun tidak ada maklumat lanjut selain daripada ini tetapi kalau anda nak tahu, Toyota/Lexus tidak ada banyak model EV. Jadi, tidak susah untuk membuat teka akan model mana yang dimaksudkan oleh mereka.
Yang paling jelas sudah tentulah Lexus UX 300e dan ia sudahpun ada di pasaran Thailand dan Indonesia.
SUV ini dikuasakan oleh motor elektrik yang menjana 201 PS / 300 Nm tork dan bateri lithium-ion yang berkapasiti 54.3 kWj. Satu cas yang penuh memberikan jarak pandu sehingga 300 km (kitaran WLTP). Ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW.
Di Thailand, Lexus UX 300e dijual pada harga 3,490,000 THB (~RM 435k) dan ia 4% lebih murah daripada varian hibrid 300h F Sport. Berbanding varian pengenalan UX 250h pula, UX 300e kiranya 40% lebih mahal.
Menariknya, Lexus UX 300e di Thailand datang dengan waranti bateri selama 10 tahun.
Di Indonesia, EV Lexus ini ditawarkan pada harga 1,245,000,000 Rupiah (~RM 366k). Di sana, UX 300e 35% lebih mahal daripada UX 200 F Sport (berenjin 2.0L aspirasi natural).
Lexus UX di pasaran Malaysia.
Harga Lexus UX di Malaysia pula bermula dari RM 236,443 (UX 200 Urban) dan menjangkau RM 290,335 (UX 200 F Sport).
Pemilik Lexus UX 300e di pusat membeli-belah utama di Jakarta dijanjikan dengan manfaat tempat parkir eksklusif.
Untuk pengetahuan anda, perjanjian Free Trade Agreement (FTA) buat Jepun-Thailand menawarkan diskaun duti import untuk EV buatan Jepun sebanyak 20% tetapi FTA Malaysia bersama Jepun tidak ada potongan sebegini.
Mengenai cukai eksais pula, EV seperti UX 300e di Thailand hanya dikenakan sebanyak 2%.
Di Indonesia pula, harga UX 300e sudah termasuk pengecualian Luxury Car Tax untuk kategori EV tetapi duti import masih dikenakan.
Berapa harga Lexus EX 300e di Malaysia nanti?
Dengan mengira 0% untuk cukai import dan eksais seperti yang diwartakan dalam Bajet 2022, Lexus UX 300e di Malaysia dijangka berharga di antara RM 250k – RM 300k. Inipun kalau varian EV dikenakan caj landed (asas sampai ke pelanggan) yang 30% lebih tinggi daripada UX 200 F Sport (RM 191,183 di Langkawi).
Apabila dilancarkan pada tahun hadapan, Lexus UX 300e akan bersaing terus dengan Volvo XC40 Recharge P8 (akan turut tiba di Malaysia).
Jangkaan model EV yang bakal UMW lancarkan seterusnya pula ialah Toyota bZ4X. Crossover ini baru sahaja membuat debut pada Oktober lalu.
Secara amnya, Toyota bZ (beyond Zero) merupakan EV pertama yang menggunakan platform e-TNGA. Ia turut dibangunkan bersama Subaru dan model kembarnya adalah Subaru Solterra.
SUV ini hadir dengan pek bateri berkapasiti 71.4 kWj dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW. Keupayaan ini membolehkan bateri Toyota bZ untuk dicas dari 0 - 80% dalam masa 30 minit sahaja.
Sebagai sebuah Toyota, ia juga dijamin tahan lama dan tidak mudah untuk rosak seperti Tesla.
Jangka hayat EV pertama Toyota ini akan sama seperti Corolla ataupun Prius, iaitu dua teksi paling dipercayai di serata dunia.
Dalam masa yang sama, Toyota sedang mencipta kaedah pengekalan kapasiti bateri yang bertaraf tinggi dengan penurunan setakat 90% setelah digunakan selama 10 tahun/240,000 km.
Di pasaran global, Toyota bZ4X hadir dengan varian pacuan roda depan (FWD, 204 PS) dan semua roda (AWD, 218 PS). Jarak pandu untuk varian FWD dalam kitaran WLTP boleh pergi sampai 500 km. Varian AWD pula dalam 460 km.
Pecutan 0-100 km/j buat bZ4X FWD mengambil masa selama 8.4 saat. Varian AWD pula serendah 7.7 saat.
Pada bahagian dalam, Toyota bZ4X menggunakan roda stereng ala kokpit jet tetapi jenis konvensional tetap ditawarkan.
Toyota bZ4X ada dua jenis roda stereng.
Penyerahan pertama buat EV Toyota ini akan bermula pada Mei 2022. Jadi, model ini dijangka tiba ke Malaysia sekitar tahun 2023.
Dari segi saiz, ia lebih kurang sama dengan Toyota RAV4 tetapi dengan jarak roda sehingga 2,850 mm. Jadi kalau diikutkan, ruang di dalam kabinnya sudah menghampiri Toyota Kluger!
Harga rasmi buat EV pertama Toyota ini belum didedahkan tetapi ia pasti jauh lebih mahal daripada Toyota Camry (RM 188,763). Tetapi dengan Camry yang berharga RM 123,152 di Langkawi (bebas cukai), tidak mustahil seandainya Toyota bZ4X nanti ditawarkan sekitar RM 150k – RM 200k sahaja.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.