![Usahasama Jepun – Malaysia untuk tingkat kualiti Mitsubishi Xpander 2020 CKD 01]()
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menayangkan sepenuhnya Mitsubishi Xpander 2020, kereta 7 tempat duduk yang cukup luas dan digemari ramai. Harganya belum lagi diumumkan – sama seperti syarikat lain yang masih menunggu kelulusan – tapi MMM menjangkakan yang senarai harga boleh dikeluarkan kepada pengedar dalam bulan November.
Mitsubishi Xpander, yang bersaing sengit dengan Perodua Aruz dan Honda BR-V, dipasang tempatan (CKD) di fasiliti rakan kongsi tempatannya iaitu DRB-Hicom di Pekan, Pahang.
![Usahasama Jepun – Malaysia untuk tingkat kualiti Mitsubishi Xpander 2020 CKD 02]()
Aturan ini berbeza dengan model-model CKD Mitsubishi yang lain seperti ASX dan Outlander. Kedua-dua model tersebut dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), pengilang kontraknya, di Segambut. Aturan dengan TCMA ini kekal sama.
Berlainan bagi Xpander pula, MMM telah menubuhkan satu syarikat usahasama baharu bersama-sama prinsipalnya iaitu Mitsubishi Motors Corporation. Digelar sebagai MMC Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., syarikat usahasama atau ‘JV’ ini akan menguruskan lokalisasi dan operasi sub-pemasangan bagi Xpander di kilang di Pekan.
![Usahasama Jepun – Malaysia untuk tingkat kualiti Mitsubishi Xpander 2020 CKD 01]()
Syarikat JV itu telah menetapkan kapasiti produksi sebanyak 6,000 unit Xpander setahun. Yang pastinya, kapasiti ini boleh diperbesarkan lagi, tapi memandangkan situasi pasaran sekarang, MMM mahu mengelakkan lebihan kapasiti.
Sebagai perbandingan, Honda Malaysia menghasilkan 7,683 unit Honda BR-V pada 2019. Perodua pula, yang menikmati kelebihan dari segi pengecualian cukai hampir sepenuhnya sebagai pembuat kereta nasional, menghasilkan 29,293 unit Perodua Aruz tahun lepas.
![Usahasama Jepun – Malaysia untuk tingkat kualiti Mitsubishi Xpander 2020 CKD 02]()
Bagi menjelaskan rasional disebalik membahagikan hab penghasilan mereka antara dua lokasi ini (Segambut dan Pekan), Ketua Pegawai Eksekutif MMM Tomoyuki Shinnishi berkata:
“Salah satu daripada pemegang saham kami ialah DRB Group yang mempunyai fasiliti pemasangan kereta di Pekan. Kami boleh menggunapakai fasiliti DRB sepenuhnya untuk membuatkan Xpander kami lebih kompetitif. Selain dari itu, kami juga telah menubuhkan sebuah syarikat usaha-sama yang baru dengan Mitsubishi Motors dari Jepun untuk menjalankan sub-pemasangan di Pekan.”
“Oleh itu, kami mendapat komitmen yang lebih tinggi daripada Mitsubishi (Jepun) untuk membuatkan Xpander kami lebih kompetitif, dan juga dengan kualiti yang lebih tinggi,” tambah beliau.
![Usahasama Jepun – Malaysia untuk tingkat kualiti Mitsubishi Xpander 2020 CKD 03]()
Hoffen Teh, Naib Presiden Kanan di MMM juga menambah yang lokalisasi adalah penting bagi membolehkan mereka dapat pemotongan cukai (hasilnya, membolehkan penetapan harga yang kompetitif).
“Tanpa penglibatan pengilang, agak sukar untuk mengembangkan beberapa lokalisasi,” kata Hoffen.
![Usahasama Jepun – Malaysia untuk tingkat kualiti Mitsubishi Xpander 2020 CKD 04]()
Shinnishi menyatakan, “Di Malaysia, bagi memaksimakan jumlah jualan kami, model tersebut sepatutnya CKD. CBU sangat menyukarkan. Model CKD patut meningkatkan lokalisasi, untuk menyumbang kepada masyarakat dan untuk ekonomi Malaysia. Bagi merealisasikan perkara ini, MMM – dan kami hanyalah pengedar – kami perlu melibatkan pemegang saham kami dari kumpulan DRB dengan lebih lagi, dan juga Mitsubishi [Motors] Japan.”
Apabila ditanya jika Mitsubishi masih akan menghasilkan ASX dan Outlander di kilang TCMA di Segambut, Shinnishi berkata, “Ya pastinya, [perkara itu] kekal sama.”
Komen