Vellfire dan Alphard disita, pegawai kanan imigresen 'pelindung sindiket' ditangkap SPRM
Mersita ยท Nov 23, 2020 04:00 PM
0
0
Kecoh satu Malaysia apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyiasat manakala SPRM menjalankan penangkapan puluhan pegawai imigresen yang didapati menjalani kehidupan mewah dengan pelbagai kereta-kereta hebat.
Dalam laporan yang terdahulu, pelbagai kereta mewah seperti Mitsubishi Lancer, Nissan GT-R, Ford Mustang GT, Rolls-Royce Phantom dan macam-macam lagi disita oleh SPRM dari pelbagai lokasi seperti Johor Bahru, KLIA dan klia2.
Perkembangan kes tangkapan ini melihat tiga orang lagi dicekup melibatkan pegawai kanan imigresen serta dua anggota imigresen lain di Putrajaya. Menurut laporan Berita Harian, tiga kenderaan mewah, antaranya Toyota Vellfire dan Toyota Alphard yang dianggarkan bernilai lebih RM 750,000 disita oleh pihak SPRM dari tangkapan terbaru ini.
Ketiga-tiga kenderaan mewah tersebut adalah milik dua anggota imigresen tersebut serta seorang ejen. Sumber akhbar itu berkata anggota tersebut masing-masing bergred KP19 dan KP22 tapi menjalani kehidupan mewah selain daripada memiliki rumah semi-D.
Manakala, siasatan mendapati pegawai kanan bergred KP48 tersebut bertindak sebagai pelindung kepada sindiket tersebut dan SPRM belum lagi menyita milik pegawai kanan berpangkat timbalan pengarah tersebut.
Setakat ini, 53 orang yang terlibat dalam sindiket ini sudah ditahan dan lebih RM 800,000 wang tunai, 26 buah kenderaan mewah bersama 4 motosikal berkuasa tinggi sudah disita oleh pihak SPRM. Akaun bank suspek terlibat juga sudah dibekukan.
Menurut laporan dari beberapa sumber, ada pegawai imigresen yang membawa pulang cop pendua ke rumah untuk mengecop pasport PATI yang diseludup masuk ke Malaysia dari pintu-pintu utama negara.
Kes salah-guna kuasa dan makan suap ini kini telah kecundang setelah siasatan selama 6 bulan dibuat oleh pihak berkuasa, dimana aktiviti haram ini sudahpun menjadi satu ‘rahsia terbuka’ di antara majikan pendatang asing dengan pegawai-pegawai imigresen sejak beberapa tahun lalu.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.