WSBK 2023: Tamatkan aksi di Misano dengan 1 tambahan mata, motivasi Hafizh Syahrin kian menyusut?
Khairil · Jun 7, 2023 03:00 PM
0
0
Sekali lagi, tiada keputusan benar-benar membanggakan berjaya dibawa pulang pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah berakhir Pusingan 5 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 minggu lalu di Misano, Itali.
Daripada tiga perlumbaan yang berlangsung, bekas pelumba MotoGP negara itu sekadar membawa pulang satu mata kejuaraan, dan ia diperoleh selepas menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-15.
Pada Perlumbaan 1, pelumba pasukan Petronas Mie Racing Japan Honda yang menunggang jentera Honda CBR1000RR itu terpaksa meninggalkan saingan lebih awal apabila perlu kembali ke pit pasukan selepas menghadapi masalah elektronik.
Dan pelumba kelahiran Ampang itu turut menamatkan saingan di luar pungutan mata (P15) pada Perlumbaan Superpole yang turut dicemari insiden kemalangan.
"Lagi pungutan mata untuk kami di Perlumbaan 2 tetapi saya sedikit kecewa kerana saya fikir kami patut boleh melakukan lebih baik," kata Hafizh. "Kelajuan yang kami miliki tidaklah begitu teruk pada awal Perlumbaan Superpole, tetapi kami cuba untuk melakukan yang lebih lagi pada Perlumbaan 2.
"Dengan melakukannya, jentera memberikan saya perasaan yang sedikit berbeza pada sebelah petang tetapi saya berdepan sedikit masalah. Saya cuba untuk mendapatkan perlumbaan yang konsisten dan tidak melakukan sebarang kesalahan kerana saya benar-benar mahu tamatkan perlumbaan," katanya.
Dan menjelang pusingan berikutnya di Donington Park, pelumba berusia 29 tahun itu tampak seakan memberi bayangan kekecewaan selepas berkata dia akan cuba untuk kekal positif pada aksi yang berlangsung di United Kingdom (UK) itu.
Sebagai rekod, selepas lima pusingan kejuaraan, Hafizh ketika ini hanya mengumpul 7 mata keseluruhan namun menariknya, konsisten meraih mata dalam setiap pusingan.
Di Pusingan 1 Australia dan Pusingan 2 di Indonesia, Hafizh mengumpul 1 mata daripada setiap pusingan sebelum mengumpul 2 mata di Pusingan 3 (Belanda) dan Pusingan 4 (Belanda) dan kembali membawa pulang 1 mata di Itali.
Ketika ini, pendahulu kejuaraan dari Ducati, Alvaro Bautista cemerlang memimpin carta selepas mengumpul keseluruhan 298 mata dengan perlumbaan Pusingan 6 WSBK dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Julai depan.
Sebelum kempen WSBK 2023 bermula, Hafizh pernah menyuarakan ketidakpuasan hatinya membabitkan kualiti jentera yang dibekalkan pasukannya dan memberi bayangan berpotensi untuk 'angkat kaki' sebelum musim ini berakhir jika peningkatan yang diharapkan untuk jentera tidak kesampaian.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.