Tidak dapat dinafikan, permintaan terhadap motosikal skuter 'Maxi' di negara ini makin meningkat dan ia dikuatkan dengan kehadiran serta populariti yang dimiliki Yamaha XMax 250.
Begitupun, ia tetap mendapat sambutan yang hangat peminat skuter dalam segmen berkenaan hinggalah ke hari ini.
Tak kira dari sudut gaya atau teknologi, XMax 250 dikatakan dapat memberikan kepuasan kepada pembelinya yang membuatkan mereka tidak merasa ralat mengeluarkan belanja yang agak besar untuk mendapatkan jentera ini.
Ya, harga NMax 250 tidak murah dan bagi versi terbaharu 2020, ia datang dengan harga asas RM21,500 (tanpa cukai jalan dan insuran) serta dipadankan dengan tiga warna.
Justeru, apa yang begitu istimewanya skuter maxi ini sehingga dikatakan amat laku keras oleh ramai pengedar Yamaha? Ini pandangan kami.
Reka bentuk premium
Tidak dapat dinafikan, reka bentuk XMax 250 yang hadir dengan gaya Eropah dan futuristik ini sememangnya mampu memikat siapa saja. Selain tampak 'mahal' dan bergaya, ia juga tampak sporty, seperti adiknya NMax atau saudaranya NVX 155 yang berjaya mencetus fenomena di negara ini.
Jika dilihat dari bahagian depan, terutama lampu depannya, ia tampak cukup agresif tanpa melupakan gaya tipikal skuter. Justeru, ia sesuatu yang segar buat pengguna dan mampu memikat hati pelbagai golongan bukan saja untuk mereka yang berumur.
Kuasa enjin yang mantap
Dikuatkan dengan enjin bersesaran 250cc, ditambah dengan teknologi Blue Core, 4 lejang SOHC, empat injap dan transmisi CVT, rata-rata pemilik skuter Maxi ini berpuas hati dengan hamburan kuasa yang dimiliknya.
Ia mampu memberikan kuasa maksimum 22.5 Hp pada 7,000 rpm dan tork puncak mencecah 24.3 Nm pada 5,500 rpm. Justeru dengan kuasa itu, pemiliknya tidak perlu akan merasa lelah dalam apa juga mod tunggangan tidak kira di bandar, jalan kampung atau pun di lebuh raya.
Jika mahu menunggang dengan laju, XMax 250 juga tidak bermasalah untuk dikerah sehingga jauh melepasi had kelajuan lebuh raya di negara ini.
Selain itu, seperti kenderaan moden lain, XMax 250 juga berjaya melepasi tahap piawaian dari Euro 4.
Teknologi
Sebagai kenderaan automatik, skuter memang dikenali sebagai kenderaan yang 'mesra' teknologi bagi memikat penggunanya. Untuk XMax 250, ia didatangkan dengan pelbagai 'jajan' daripada sudut berkenaan.
Antaranya ialah sistem kunci pintar yang memberikan pemiliknya bukan saja kesenangan untuk menghidup atau mematikan enjin, malah mengakses bukaan tangki petrol juga tempat penyimpanan.
Selain itu, bagi kemudahan pemiliknya bagi mengecas telefon pintar dan sebagainya, ia turut dilengkapi dengan soket 12V terletak di panel hadapan.
Dari sudut keselamatan, ia dilengkapi bukan saja dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS), namun Traction Control System (TCS) yang jelas memberikan lebih keyakinan buat penunggangnya beraksi di atas jalan raya.
Lampu Day Running Light (DRL) XMax 250 sememangnya menyerlahkan lagi karektor motosikal ini. Walaupun fungsinya adalah untuk keselamatan, ia membuatkan motosikal ini kelihatan mewah, moden dan elegan. Bagi lampu utama, dia didatangkan dengan LED yang amat terang.
Panel meter XMax amat besar. Ia menggunakan dua meter bulat yang menunjukkan tahap kelajuan dan putaran RPM. Ia turut memaparkan pelbagai info kepada pemiliknya seperti kadar bahan api, suhu, jam, jarak perjalanan pada paparan tengah jenis digital. Apa yang pasti, ia tampak kemas dan paling utama, amat mudah dilihat.
Tunggangan dan pengendalian
Jika melihat kepada susuk badan XMax, ia memang agak besar dengan berat 179 kg dengan tapak roda 1,540 mm. Tetapi, ia tidak sukar untuk dikendalikan tidak kira di kawasan sesak seperti pusat bandar.
Begitupun, apa yang membuatkan ia diminati adalah ia sememangnya 'sedap' ditunggang di lebuhraya atau untuk tunggangan santai kerana ia cukup selesa.
Bagi menambah keselesaan, XMax 250 turut didatangkan dengan visor pelindung yang boleh dilaras. Untuk tunggangan di lebuhraya, ciri-ciri seperti ini memang amat memudahkan dan memberikan lebih keselesaan kepada penunggang.
Menggunakan saiz tayar hadapan 120/70- 15 dan 120/40-14 (belakang) dan dipadankan dengan sistem suspensi fork teleskopik (depan) dan absorber kembar (belakang), XMax 250 mampu mengambil selekoh dengan amat stabil.
Dari sudut keselamatan, seperti yang diterangkan sebelum ini, ia dilengkapi ABS dan TCS bagi brek cakera hidraulik dengan saiz 267 mm di depan dan 245 mm di belakang. Justeru, ia sememangnya lebih meyakinkan.
Praktikaliti
Perkara ini mungkin paling disukai oleh pembeli skuter dalam segmen ini kerana ruang simpanan di bawah tempat duduknya memang besar. Ia boleh memuatkan dua topi keledar bersaiz penuh.
Kapasiti tangki minyak XMax 250 yang sebesar 13 liter juga sesuatu yang amat diharapkan oleh pemiliknya. Berdasarkan kepada isian penuh tangki 13 liter, kami dapat melakukan perjalanan sejauh 300 kilometer dalam pelbagai jenis tunggangan.
Sekali pun hadir dengan harga yang agak 'keras', apa yang ditawarkan XMax 250 secara keseluruhan termasuk penjimatan bahan api sememangnya tampak berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.
Seperti kebiasaan, harganya untuk kondisi terpakai juga tidak jatuh teruk seperti jenama lain (bukan dari Jepun).
Perbandingan di laman web jual beli, XMax 250 bagi model 2018 masih boleh diiklankan dengan harga RM18,000 hingga RM19,000 namun bagi pesaingnya 'terdekatnya', ia hanya dijual dengan harga jauh lebih rendah, RM7,500 ke RM8,500 untuk kondisi terpakai bagi model 2018 atau 2017.
Kerana itulah, dikhabarnya pada satu ketika, masa menunggu untuk mendapatkan jentera ini boleh memakan masa berbulan-bulan lamanya.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen