Seperti jangkaan, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akhirnya melancarkan 'Supermoped' generasi terbaharu dikenali Y16ZR di pasaran Malaysia, hari ini yang hadir dengan tanda harga 'menarik' RM 10,888.
Pelancaran itu dibuat secara maya oleh Yamaha Motor Malaysia di laman YouTube rasmi syarikat berkenaan yang dihoskan oleh pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak, sebentar tadi.
Bersama moto 'prestasi terunggul', Yamaha Y16ZR datang dengan pelbagai pembaharuan terutama penggunaan enjin bersesaran lebih besar iaitu 155 cc bersama teknologi VVA atau Variable Valve Actuation.
Seperti Exciter 155 VVA di pasaran Vietnam, peningkatan lain adalah transmisinya yang dipertingkatkan seiring dengan pesaingnya dalam segmen sama iaitu 6 kelajuan. Menariknya, ia turut dilengkapi dengan dilengkapi klac (slip & assist).
Dengan segala penambahbaikkan berkenaan, Y16ZR menghasilkan kuasa 17.7 Hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm yang turut dibantu dengan penggunaan rangka yang lebih ringan. Sebagai perbandingan, Y15ZR V2 menjana 15 Hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.
Dari sudut reka bentuk, panel badan Y16ZR yang serba baharu ini mendapat inspirasi daripada model Superbike terkemuka Yamaha YZF-R1M.
Tetapi yang paling ketara adalah reka bentuk lampu hadapan yang tampak seperti wajah Robocop yang menggunakan LED beserta lampu DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi.
Unit digital LCD baharu juga dipadankan yang memaparkan semua informasi termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear manakala di bahagian butang kawalan pemegang, selain fungsi biasa, penunggang juga disediakan dengan butang kill switch serta lampu memotong.
Selain itu, pelana Y16ZR juga diberikan nafas baharu dan direka dengan bentuk lebih sporty manakala rekaan lampu belakang juga baharu selain kapasiti tangki bahan api kini adalah 5.4 liter.
Sekalipun tidak dibekalkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), sistem brek Y16ZR dipertingkatkan dengan penggunaan brek cakera dua piston pada roda hadapan.
Antara yang menarik juga adalah penggunaan sistem kunci pintar bersama immobilizer, soket pengecas 12V dan suis 'cut-off' enjin bagi meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan.
Kepada yang berminat, tiga warna menarik ditawarkan iaitu Phantom Grey, Arrow Blue dan Raging Yellow manakala harga yang ditawarkan RM 10,888 tidak termasuk insuran, yuran pendaftaran dan cukai jalan.
Sebagai tambahan, setiap pembelian turut dibekalkan bersama jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (mana satu tiba dulu). Dan kepada 5,000 pembeli pertama, mereka juga akan menerima beg kunci istimewa.
Y16ZR akan berada di semua pengedar sah Yamaha bermula ada 31 Mac ini.