Zontes Malaysia umum harga baharu Zontes ZT155G, ZT155U, ZT155U1, kini RM 12k!
Khairil · Jul 6, 2022 08:00 PM
Tak sampai setahun pelancarannya, Zontes Malaysia mengumumkan harga terbaharu untuk tiga model hangatnya, Zontes ZT155G, Zontes ZT155U dan Zontes ZT155U1 yang kini dijual pada harga asas RM 12,000.
Ketika dilancarkan pada Disember tahun lalu, harga untuk ketiga-tiga model bersesaran 155 cc namun berlain segmen itu dijual pada harga asas RM 10,800.
Perkembangan kurang enak itu diumumkan sendiri oleh Zontes Malaysia di laman Facebook rasmi syarikat berkenaan, baru-baru. Untuk pasaran Sarawak, Sabah dan Labuan, harga jualannya adalah RM 12,500 (asas).
Sebagai info, Zontes ZT155-G dijual sebagai model 'Scrambler', Zontes ZT155-U1 sebagai model 'Motard' manakala Zontes ZT155-U dijual dalam segmen 'Naked'.
Seperti kebanyakan penawaran Zontes sebelum ini, ketiga-tiga varian ZT155 ini berkongsi pelbagai ciri yang sama termasuk trenkuasa, teknologi dan spesfikasi mekanikal.
Di bahagian trenkuasa, ia menggunakan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api (FI) jenama Bosch yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap dengan klac antigelincir (Slipper Clutch).
Zontes ZT155-U1
Kuasa yang dijana setinggi 18.8 Hp pada 9,250 rpm dan tork 16 Nm pada 7,500 rpm dengan ketiga-tiga model patuh piawaian emisi terkini Euro5.
Untuk meningkatkan daya tarikannya, ketiga-tiga varian dipadankan dengan komponen premium seperti fork jenis terbalik (USD), penyerap hentak tunggal 'nitrox' di belakang, brek cakera tunggal depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
'Jajan' menarik lain antaranya seperti sistem kunci 'keyless', panel meter digital, soket pengecas USB pantas dan menariknya juga, ia turut memiliki 2 mod tunggangan (Eco dan Sport), teknologi yang kebiasaannya tidak dimiliki untuk motosikal bersesaran seperti ini selain tangki bahan api berkapasiti besar 20 liter.
Jadi dengan peningkatan harga melebihi RM 1k berbanding pelancarannya, adakah Zontes ZT155G, Zontes ZT155U dan Zontes ZT155U1 masih lagi berbaloi untuk dimiliki? Tepuk dada tanya selera.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen