2020 Honda BeAT. Skuter marhaen dikemaskini tetapi kekal harga RM 5,555!

Haris · Oct 12, 2020 03:00 PM

Boon Siew Honda Malaysia telah mengemaskini penawaran skuter marhaen dengan 2020 Honda BeAT. Pelancaran yang berlangsung di Facebook rasmi Honda Motorcycle Malaysia tersebut turut disertai oleh artis terkenal iaitu Aman Ra.

Sebagai sebuah skuter marhaen di pasaran, 2020 Honda BeAT diberikan seragam baru dengan fon tulisan BeAT besar di sisi hadapan skuter.

Selain itu, tiada lagi tawaran warna hitam, 2020 Honda BeAT kini ditawarkan dalam warna Merah Vivacity Red, Biru Pearl Nightfall Blue, Perak Force Silver Metallic dan Merah Jambu Space Magenta Metallic.

Kemaskini ditawarkan pada talaan enjin, kini dikuasakan dengan enjin 109.5 cc eSP SOHC sejukan udara dengan suntikan bahan api PGM-FI. Enjin tersebut mampu menjana sehingga 8.68 hp kuasa kuda dan 9.63 Nm tork.

Penjimatan minyak pada enjin talaan terbaru ini dicatatkan sekitar 1.69 liter / 100 km.

Tambahan kemaskini lain yang dapat dilihat adalah pada rekaan lampu LED hadapan dan belakang, seragam baru, kluster meter, cermin sisi dan rim tayar.

Selain itu, kerangka skuter ini juga dikemaskini dengan eSAF (Enhanced Smart Architecture Frame) yang turut berjaya menambah kapasiti tangki minyak kepada 4.2 liter dengan tangki simpanan bawah pelana sebesar 11.7 liter.

2020 Honda BeAT ditawarkan pada harga cadangan RM 5,555 tidak termasuk insurans, cukai jualan dan sebagainya. Harga yang ditawarkan agak mengejutkan kerana 2017 Honda BeAT (generasi sebelum) ditawarkan dengan harga RM 5,565. 

Jaminan pengeluar adalah berdasarkan jarak perbatuan 20,000 km atau 2 tahun, mengikut yang mana satu datang dahulu.

Comments