Geely mungkin akan memperkenalkan trak pikap Boyue Pro-based tak lama lagi, kerana kami baru-baru ini ternampak gambar-gambar yang nampak seperti trak pikap mereka yang akan datang.
Menurut platform media di luar negara, trak pikap terbaru itu mungkin akan dipanggil “Yuancheng FX”, bermaksud lebih kurang seperti “Long Distance FX”.
Jika ia nampak pelik bagi anda, jangan terkejut, kerana ia nampak seperti Geely melekatkan truck bed pada bahagian belakang Boyue - mentransformasikan SUV tersebut kepada trak pikap yang sebenar.
Tidak seperti trak pikap tradisional yang dibina diatas platform ladder-frame, Yuancheng FX yang akan datang besar kemungkinan akan dibina diatas platform unibody – platform yang sama digunakan untuk Boyue Pro.
Hanya beberapa trak pikap yang dibina menggunakan kaedah pembinaan unibody. Honda Ridgeline di pasaran AS dan Hyundai Santa Cruz yang akan datang adalah antara contoh kereta-kereta yang menggunakan platform ini.
Dari segi dimensinya, trak pikap terbaru ini mempunyai panjang 4,905 mm, lebar 1,831 mm, dan tinggi 1,713 mm. Wheelbasenya ialah 2,670 mm, sama dengan Geely Boyue / Proton X70. Sebagai perbandingan, Toyota Hilux mempunyai panjang 5,330 mm, lebar 1,855 mm, dan tinggi 1,815 mm. Wheelbase Hilux pula ialah 3,085 mm panjang.
Dari segi powertrain pula, trak pikap Geely ini dikatakan akan dipadatkan dengan enjin turbocharged 1.8 liter yang sama seperti Boyue Pro, dengan janaan kuasa 184 PS.
Bagaimana pula dengan Malaysia?
Pada suatu ketika dahulu, Proton menggubah kereta Wira kepada Proton Arena, pikap 2-pintu yang terbukti sangat popular di negara-negara seperti Australia.
Pada tahun 2015 pula, Proton menonjolkan trak pikap konsep di Alami Proton Carnival yang dibina diatas platform Proton Exora. Walaupun model itu ditayangkan kepada umum, ia tidak pernah sampai ke barisan produksi.
Dengan adanya penampakan trak pikap Geely terbaru ini, adakah ia akan menjadi calon yang terbukti berbaloi sebagai Proton Arena generasi seterusnya?