Tahukah anda maksud lampu amaran pada kluster meter kereta anda? Jika anda langsung tak tahu maksud logo-logo dan lampu tersebut, jangan risau, kita tolong. :)
Tak mengejutkan bila ada yang selalu abaikan saja bila lampu amaran dah berkelip atau menyala. Bila kereta rosak tiba-tiba, barulah nak kelam kabut.
Walaupun ada beberapa lampu amaran yang nampak macam tak berapa penting, masih penting untuk anda tahu apa yang anda perlu lakukan jika ia menyala. Selalunya, lampu amaran menyala apabila satu atau lebih fungsi kereta anda bermasalah. Jika dibiarkan saja, masalah-masalah kecil boleh melarat dan menyebabkan anda perlu keluarkan belanja lebih untuk kos pembaikan nanti.
Dalam banyak kereta, lampu amaran akan menyala sekejap apabila enjin dipasang. Jika lampu tersebut masih menyala dalam tempoh masa yang panjang, anda haruslah membawa kereta anda untuk pemeriksaan di bengkel.
Dalam artikel ini, kami akan merungkai satu persatu simbol-simbol yang sering ditemui pada kebanyakan kereta. Jom belajar!
Lampu Merah, Kuning/Jingga dan Biru
Tahukah anda warna lampu amaran melambangkan tahap keseriusan masalah yang kereta anda hadapi?
Lampu amaran warna MERAH memerlukan perhatian segera, manakala lampu amaran KUNING/JINGGA menggambarkan masalah yang memerlukan servis tidak lama lagi.
Jika anda nampak lampu amaran berwarna HIJAU atau BIRU, ini selalunya bermaksud beberapa fungsi kereta sedang terpasang atau sedang digunakan.
Simbol Amaran
Sila rujuk visual bermula dari kiri ke kanan.
Battery Light (Lampu Bateri): Sistem elektrikal kereta telah kekurangan kuasa atau baterinya tidak dicas dengan betul. Ini selalunya bermaksud ada masalah pada bateri itu sendiri atau pada alternatornya.
Oil Pressure (Tekanan Minyak): Kehilangan tekanan minyak, bermaksud minyak pelincir enjin berada pada tahap rendah atau telah hilang sepenuhnya.
Brake System (Sistem Brek): Isu dengan brek. Anda juga mungkin akan nampak lampu yang tertulis “Brake”. Ini bermaksud samada brek tangan masih terpasang, cecair brek yang kurang, atau ada kesilapan pada sistem brek kereta.
Temperature (Suhu): Enjin tersebut telah, atau hampir-hampir terlebih panas. Anda juga mungkin akan nampak meter suhu dengan bahagian merah (H) pada tahap yang paling tinggi.
Parking (Parkir): Brek tangan atau electronic parking brake (EPB) anda sedang terpasang.
Airbag Warning (Amaran Beg Udara): Beg udara tidak berfungsi, atau ada masalah pada sistemnya.
Simbol-simbol Keselamatan
Check Engine (Periksa Enjin): Simbol paling terkenal, ia memberitahu yang enjin mempunyai masalah operasi. Kadang-kadang, akan timbul perkataan “CHECK” atau “CHECK ENGINE” di sebelah simbol enjin ini, ataupun ia mungkin keluar sebagai satu perkataan tanpa sebarang simbol.
Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) / (Sistem Pengesanan Tekanan Tayar): Selalunya dipadatkan pada kereta kelas-atas, simbol ini muncul apabila satu atau lebih tayar anda mempunyai tekanan rendah. Ia selalunya berwarna merah atau kuning.
Traction Control (Kawalan Cengkaman): Jika lampu menyala atau berkelip, ia bermaksud sistem telah diaktifkan untuk keselamatan anda.
Traction Control Off (Kawalan Cengkaman Off): Sistem telah dinyahaktif secara manual, selalunya muncul semasa senario off-road atau pemanduan berprestasi tinggi di trek. Untuk pemanduan normal, jangan tutup/off traction atau kawalan stabiliti.
Anti-Lock Braking (Brek Anti-Kunci): Ada masalah pada sistem brek anti-kunci, memerlukan pemeriksaan profesional untuk dibaiki.
Simbol 4x4
4x4 Engaged: Trak anda kini pada mod 4x4, samada dalam 4L (4 Low) atau 4H (4 High). Jangan gunakan 4L atau 4H semasa memandu dalam keadaan normal.
4x4 Diff Lock Engaged: Apabila punat/butang ini dipasang, ia mengunci kedua-dua tayar hadapan dan belakang untuk pembahagian tork sama rata antara gandar depan dan belakang. Aktifkan ciri ini hanya untuk pemanduan off-road yang ekstrim.
Kesimpulan
Ada banyak lagi simbol-simbol amaran diluar sana berbanding apa yang kami dapat nyatakan disini. Tetapi, yang penting dan kerapkali ditemui sudah kami senaraikan diatas.
Sila rujuk panduan kereta masing-masing untuk dapatkan info yang lebih spesifik, terutama sekali untuk kereta moden kelas-atas yang didatangkan dengan sistem elektronik yang lebih rumit dimana ia memerlukan jagaan dan perhatian yang lebih banyak.