BMW iX3 serba baru, kereta elektrik sepenuhnya keluaran BMW akan diperkenalkan dalam format digital pada 14 Julai 2020. Barisan produksinya di BMW Brilliance Automotive (BBA) di China bersiap siaga untuk penghasilannya pada musim panas ini.
Kereta elektrik penuh pertama BMW ini akan dihantar kepada pelanggan sebelum hujung tahun ini. BMW iX3 dan BMW X3 dengan enjin pembakaran (combustion engine) akan dihasilkan dalam barisan produksi yang sama. Ini membuatkan BMW X3 menjadi model pertama mereka yang mempunyai enjin petrol dan diesel konvensional, sistem hibrid ‘plug-in’ atau tren kuasa elektrik sepenuhnya.
BMW iX3 ini juga akan didatangkan dengan teknologi BMW eDrive generasi kelima dimana enjin elektrik, elektronik kuasa dan transmisi disepadukan dengan sepenuhnya dalam satu unit pemanduan.
Beberapa lagi ciri menarik ialah motor elektriknya yang tidak lagi menggunakan ‘rare earths’ untuk kelestarian serta bateri bervolt tinggi yang berkuasa. Motor elektriknya menjana kuasa 286 PS dan 400 Nm tork pada tayar belakangnya. Data awal menunjukkan iX3 mampu mencapai julat 440 km dalam kitaran WLTP, menghasilkan penggunaan kuasa kurang daripada 20 kWh/100 km.