4 sebab mengapa Proton Saga boleh menjadi kereta paling laris di Malaysia!

Haris · Jul 04, 2020 02:00 AM

Proton Saga

Proton Saga dilaporkan memecahkan rekod sendiri dengan jualan paling tinggi sejak Ogos 2014. Hal ini bermakna, Proton Saga dalam landasan terbaik untuk merangkul tempat pertama untuk menjadi kereta paling laris di Malaysia pada tahun 2020.

Berikut adalah 4 sebab mengapa Proton Saga bakal menjadi kereta terlaris di Malaysia.

1. Persepsi rakyat Malaysia

Proton Saga sememangnya dekat di hati rakyat Malaysia. Faktor utama yang menyebabkan Proton Saga digemari oleh rakyat marhaen adalah harganya yang mampu milik. Sebagai kereta pertama keluaran Proton, tidak hairanlah sekiranya Proton Saga adalah anak emas bagi rakyat Malaysia.

Sokongan terhadap Proton Saga sentiasa padu sejak dari awal pengeluarannya. Ramai orang menggunakan Proton Saga sebagai kereta pertama. Jadi tidak hairanlah kebangkitan Proton akan bermula daripada naik taraf kualiti Proton Saga.

2. Tahap kualiti yang lebih baik

Memetik kata-kata Eksekutif Program Kenderaan bahagian Kejuruteraan Proton, Desmond John Pinto, sasaran utama untuk rekaan baru Proton Saga adalah untuk menaik taraf kualiti Proton Saga supaya menghampiri piawaian Proton X70

Kenyataan yang dikeluarkan tersebut sememangnya sangat menarik kerana visi tersebut jelas. Menaik taraf kualiti Proton Saga agar lebih dekat dengan Proton X70. Kejayaan Proton X70 dalam mempamerkan keunggulan kualiti Proton seharusnya dipuji kerana berjaya mengubah tanggapan rakyat Malaysia terhadap Proton.

Tahap kualiti pembinaan yang disasarkan benar-benar dititikberatkan. Bayangkan, Proton tidak mahu Proton Saga berbunyi ‘klank’ seperti logam bertemu logam ketika menutup pintu. Sebaliknya, Proton Saga ditala untuk berbunyi padat seperti ‘thump’ dalam usaha menaik taraf kualiti Proton Saga.

3. Lebih manfaat dengan harganya

Perodua telah lama menerapkan tema ‘penjimatan minyak’ dalam kesemua modelnya. Namun, penjimatan minyak bukan lagi sebuah faktor jualan yang unik. Hampir kesemua model baharu yang keluar menjimatkan minyak berbanding model sebelum. Oleh itu, apa lagi strategi yang ada?

Pada masa kini, penjimatan tidak lagi diukur pada tahap penggunaan minyak. Ramai pengguna kereta semakin bijak dengan membaca wapcar (ehem). Oleh itu, banyak aspek yang memainkan peranan dalam faktor kos penyelenggaraan kereta.

Artikel kami seperti perbezaan kos selenggara Proton Saga dengan Perodua Bezza, rebiu Proton Saga memberi gambaran bagaimana Proton Saga sememangnya memberi lebih manfaat dengan harga di bawah RM 40,000.

4. Pilihan varian yang sedikit

Jika dibandingkan dengan pilihan varian Perodua, Perodua mempunyai 6 varian untuk Perodua Axia dan 4 varian untuk Perodua Bezza. Bagaimana dengan Proton Saga? Hanya 3 varian saja yang ditawarkan.

Mengapa aspek ini turut menyumbang kepada angka jualan yang tinggi? Kerana kekurangan pilihan bermaksud pelanggan lebih mudah untuk membuat keputusan. Antara 10 pilihan dengan 3 pilihan, yang mana satu lebih mudah untuk anda buat keputusan?  

Lebih cepat anda membuat keputusan, lebih cepat Proton membuat jualan. Rantaian ini akhirnya memacu Proton Saga menjadi kereta paling laris di Malaysia.

Comments