Honda Thailand telah menayangkan pelbagai model menarik di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2020 baru-baru ini. Antaranya adalah Honda City Turbo RS 2020.
Dipadatkan dengan enjin VTEC Turbo 1.0 liter, ia mampu menjana 122 PS dan 173 Nm yang memacu tayar hadapan melalui kotak gear jenis CVT. Honda menyatakan yang kereta ini mempunyai kecekapan petrol sebanyak 23.8 km/liter (4.2 liter/100 km).
Dengan harga THB 739,000 (tukaran langsung RM 99,468.62), jom kita lihat spesifikasinya dengan lebih lanjut lagi.
Di bahagian hadapan, lampu hadapannya adalah lampu LED yang mengapit kemas gril kemasan hitam berkilat berlatarbelakangkan corak sarang lebah yang tampak lebih ‘sporty’.
Ia juga diberi lampu kabus LED pada kedua sisi bawah bamparnya.
Di bahagian sisinya pula, varian RS ini diberi rim bersaiz 16 inci yang tampak ranggi.
Cermin sisi dengan kemasan hitam berkilat ini dipasang pengesan bina-dalam – satu ciri unik pada model ini.
Bahagian belakangnya dikemasi lampu brek LED dan spoiler ‘boot lid’. Kemasan cat badannya pula adalah warna Ignite Red – warna eksklusif bagi model RS.
Di dalamnya pula, Honda City ini didatangkan dengan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 8 inci serta Apple CarPlay (dengan sokongan Siri!) dan Android Auto, ditambah lagi dengan penghawa dingin automatik.
Selain daripada ‘paddle shifters’, stereng pelbagai-fungsi ini juga mengawal sistem stereo, peranti telefon dan penghawa dingin.
Tempat duduknya juga dikemasi dengan jahitan merah untuk menaikkan lagi seri ruang dalamannya.
Secara keseluruhannya, ia menawarkan pakej yang cukup menarik dan ia akan menjadi satu tambahan bagi barisan Honda City 2020 serba baharu yang akan sampai di tanah air kita – mungkin sekitar hujung tahun ini. Varian 1.5 SV dan 1.5 RS akan tiba di Singapura tak lama lagi.