Siapa yang tak kenal dengan kereta ikonik Mini yang menjadi idaman para pemuda hipster atau peminat tegar kereta klasik? Kalau anda adalah salah seorang daripada golongan ini, kami telah menemui sebuah kereta yang sesuai untuk anda.
Menurut sebuah hantaran di Facebook, sebuah Austin Mini Wagon tahun 1969 kini untuk dijual. Menilai daripada kualiti Mini Wagon ini, kami boleh katakan bahawa ini memang dah siap serba serbi. Pemilik baharu tinggal pandu sahaja kereta ini ke ekspo pameran kereta.
Pemilik kereta ini, Mohd Thalha telah membina semula kereta ini dari kosong. Tambah beliau lagi, hampir 60% bahagian alat ganti pada Mini Wagon ini telah pun dibeli dari syarikat Minispares di UK.
Austin Mini Wagon ini dikuasakan oleh enjin 1.3 Black dengan suntikan bahan api yang telah menerima sedikit modifikasi. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kit K&N Injection Filter. Yang penting, kereta ini memang boleh jalan.
Apa yang paling menarik perhatian kami adalah kualiti kemasan tempat duduk kulit yang ada pada Austin Mini Wagon ini. Tempat duduk dengan kemasan kulit ini telah ditempah secara tempatan di Newton Leather, Ampang. Newton Leather juga menerima tempahan untuk kereta biasa jika anda ada duit lebih.
Perincian-perincian kecil seperti stereng kayu Nardi dan pemegang pintu Paddy Hoopkirk menunjukkan perhatian yang tinggi oleh pemilik dalam usaha menyiapkan kereta ini. Tambahan pula, kereta ini sudah menjalani kerja-kerja kalis bunyi dan haba. Sesuai dengan iklim cuaca di Malaysia.
Bagi mereka yang berminat, anda boleh membeli Austin Mini Wagon ini pada harga RM 90,000. Bagi peminat kereta klasik seperti saya, tiada nilai yang mampu diberi jika dapat memiliki kereta ini.
Beli di sini: Facebook Marketplace