Proton X50 dan Perodua D55L adalah dua model hangat yang sering dibualkan di Malaysia pada tahun ini. Walaupun kedua-dua SUV ini belum lagi dilancarkan, perbandingan antaranya sudah bermula sejak Daihatsu Rocky/Toyota Raize (Perodua D55L di Jepun) mula dilihat di 2019 Tokyo Motor Show.
Tapi, apakah perbezaan saiz antara dua SUV popular ini?
Walaupun kedua-dua SUV ini dikatakan akan menjadi “pesaing terkuat” dalam pasaran SUV segmen B nanti, perbezaan saiz Proton X50 dan Perodua D55L agak ketara.
Kalau anda ingat, kami pernah membandingkan D55L bersebelahan dengan Perodua Myvi dahulu dan kami perasan yang kedua-dua kereta ini tak banyak bezanya dari segi saiz.
Panjang
D55L berukuran 3,995 mm panjang, berbanding dengan Proton X50 yang berukuran 4,330 mm panjang – dimana D55L 335 mm lebih pendek.
Lebar
Dari segi lebarnya pula, X50 berukuran 1,800 mm. Ternyata yang X50 sebenarnya lebih lebar berbanding SUV segmen B paling laris di Malaysia sekarang iaitu Honda HR-V (1,790 mm)! Manakala, D55L lebih kecil - berukuran 1,695 mm lebar.
Tapi, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan yang kereta berbadan lebar mempunyai ruang dalaman yang lebih besar. Anda mungkin akan terkejut melihat bagaimana Daihatsu boleh membuat ruang dalaman yang besar pada D55L nanti.
Tinggi & Ruang Bawah Kereta
Yang menariknya, antara Proton X50 dan Perodua D55L, D55L mempunyai badan yang lebih tinggi (1,620 mm) berbanding X50 (1,609 mm). Tapi, dari segi ruang jarak bawah kereta dengan tanah, X50 mempunyai jarak lebih luas iaitu 196 mm berbanding D55L yang mempunyai jarak 185 mm.
Nampak gayanya, D55L akan mempunyai ruang kepala yang lebih luas bagi penumpang dan ini memudahkan proses keluar-masuk kereta.
Jarak Roda
Walaupun X50 lebih panjang daripada D55L, perbezaan jarak roda antara kedua-dua SUV ini hanyalah 80 mm; X50 (2,600 mm) lawan D55L (2,520 mm). Secara komparatifnya, jarak roda Proton agak pendek bagi panjang badannya – lebih pendek berbanding HR-V (2,610 mm) walaupun HR-V lebih panjang sedikit dalam 4 mm secara keseluruhannya.
Kapasiti But / Ruang Simpanan
Malangnya, kedua-dua SUV ini kecundang dari segi ruang but. Walaupun D55L lebih kecil, ia mempunyai ruang but yang lebih besar iaitu 369 liter manakala X50 hanya mempunyai 330 liter. Ini boleh jadi disebabkan oleh ruang simpanan but 2 tingkat yang unik di dalam D55L.
Walaupun kedua-dua kereta ini akan bersaing dalam segmen yang sama apabila ia dilancarkan secara rasmi nanti, saiznya memang ada banyak perbezaan. Apabila D55L dilancarkan di Malaysia kelak, kereta Perodua ini akan menjadi SUV segmen B yang paling kecil di kalangan saingannya. Di samping itu, X50 pula akan berada di tengah-tengah antara Mazda CX-3 dan Honda HR-V.
Kami pasti yang Proton akan melancarkan Proton X50 tidak lama lagi kerana kereta tersebut telah beberapa kali dilihat dipandu-uji di jalanraya. Manakala bagi Perodua D55L pula, ia dijangka dilancarkan pada awal tahun 2021.