6 model ikonik dari divisyen prestasi Proton, Race Rally Research (R3)

Zamil Syaheer · Jun 08, 2020 06:25 PM

Race.Rally.Research atau lebih dikenali sebagai R3 adalah divisyen prestasi Proton yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Permulaan terawal R3 pada tahun 2003.

Dilahirkan oleh minat untuk kenderaan berprestasi tinggi, Proton R3 mengkhususkan diri dalam penyelidikan, pengembangan dan pengeluaran kereta lumba dan rali, kereta jalan raya R3 edisi terhad dan aksesori & alat ganti R3.

Bukan calang-calang Proton R3 ni sebenarnya. Sejak tahun 2003, mereka telah mengambil bahagian dan memenangi beberapa acara sukan permotoran yang paling berprestij di rantau ini, terutamanya acara Kejuaraan Nasional Malaysia seperti Malaysia Championship Series (MCS), Malaysian Rally Championship (MRC) & Sepang 1000KM Race (S1K).

Dari kemenangan acara sukan permotoran ini, selalunya R3 akan mengeluarkan model edisi terhad (limited edition) yang terhad kepada beberapa unit sahaja bagi menyambut kemenangan mereka.

Dalam rencana ini, WapCar BM telah menyusun 6 model edisi terhad yang telah ditala dan diubahsuai dari bahagian eksterior, interior, dan enjin khas dari divisyen prestasi Proton ini untuk tatapan anda.

Inipun terhad juga, tapi tiada modifikasi mahupun ubahsuaian yang penuh oleh R3. Kami mahu tunjukkan yang hardcore.

Kami tidak akan memaparkan model R3 yang hanya datang dengan kit badan sahaja seperti Savvy Zerokit mahupun Inspira R3 kerana tiada pengubahsuaian menyeluruh.

1. Proton Satria R3 1.8 (2004)

Ini adalah produk kereta ditala lengkap (complete tuned up car) beserta waranti yang ditawarkan buat pertama kali oleh R3. Terhad kepada 150 unit sahaja, Proton Satria R3 ini telah melalui proses yang menyeluruh untuk mengukuhkan casis dan dinamik pemanduan sama seperti kereta lumba.

Pertama sekali, casis nya telah dikuatkan dengan mengunakan teknik kimpalan sirat berganda (double stitch welded) bagi menguatkan struktur dan mengurangkan tahap lentur (body flex) ke jumlah yang minima.

Apa-apa yang tidak perlu dan menambah berat eperti beg udara, sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan penebat bunyi telah dibuang atau digantikan dengan komponen yang lebih ringan. Hasilnya, berat Satria R3 ini cuma 995 kg sahaja.

R3 kemudiannya memasang strut bar di depan dan belakang, menaik taraf sistem gantungan (suspension), menukar cakera brek ke saiz besar & pad yang lebih kuat, dan menukar keseluruhan sistem ekzos.

Enjin 1.8 liter empat-silinder 4G93P (sama dengan GTI) kini menghasilkan kuasa sebanyak 140 PS dan 168 Nm tork. Selanjutnya, anda boleh baca artikel khas yang baru kami tulis tempoh hari tentang Satria R3.

2. Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition (MME) (2006)

Merdeka Millennium Endurance (MME) adalah siri perlumbaan ketahanan selama 12 jam yang dianjurkan di Sepang. Pada tahun 2005, pasukan Proton R3 Amprex muncul sebagai juara Keseluruhan dan juara Kelas O melengkapkan 279 pusingan dalam Lotus Exige 300RR yang dibina khas.

Proton R3 Amprex Lotus Exige 300RR. 

Bagi memperingati kemenangan ini, R3 telah mengambil Proton Waja dan memberi sentuhan penuh di bahagian eksterior, dalaman serta enjinnya. Hadir dalam transmisi manual sahaja, Proton Waja MME Edition hadir dalam satu warna - Deep Burgundy.

Ia dilengkapi dengan bodykit R3 ‘ZeroKit’ yang merangkumi bampar depan, gril, side apron belakang dan side skirt. Proton Waja MME Edition juga mendapat lampu depan Xenon HID, yang pertama di kereta produksi nasional.

R3 kemudiannya menukar sistem ekzosnya ke jenis Cat-Back yang diperakui JPJ dan standard EURO 2 serta datang dengan R3 oval tip yang memberi 8 PS lebih kepada enjin Campro 1.6. Kabel spark plug juga telah ditukar ke unit yang lebih berkuasa, memberikannya 3 PS.

Tip ekzos R3. Gambar dari http://www.suanie.net/.

Ini bermaksud peningkatan 12 PS berbanding kuasa kuda asal Campro 1.6 yang menjadikannya 122 PS. Namun begitu, R3 meletakkan angka yang sedikit rendah dari itu iaitu sebanyak 118 PS.

Radio Waja MME. Gambar dari http://www.suanie.net/.

Waja ini juga dilengkapi dengan set roda 7-bilah aloi baru dengan ukuran 16 inci dibalut dengan tayar Continental SportContact-1. Cakera brek juga telah ditukar ke jenis slotted (berjalur) yang membantu untuk ia berhenti dengan lebih cekap.

Interior Waja MME. Gambar dari http://www.suanie.net/.

Sistem gantungan nya telah ditukar ke jenis prestasi, merendahkan Waja ini sebanyak 1 inci. Terdapat juga strut bar aluminium di hadapan dan penutup enjin Campro yang bewarna merah.

Versi kereta lumba pun memakai kit yang sama!

Bahagian dalaman pula ditingkatkan dengan tombol gear R3 merah dan karpet lantai R3. Sistem bunyi dilengkapi dengan penyokong Bluetooth dan iPod. Hanya 200 unit sahaja telah ditawarkan oleh R3, dan setiap unit datang dengan nombor siri unik.

3. Proton GEN.2 Merdeka Millennium Endurance Edition (MME) (2006)

Sama seperti Waja MME, R3 juga telah menawarkan model GEN.2 yang telah ditala bagi memperingati kemenangan mereka di Merdeka Millennium Endurance (MME) 2005.

Hanya terdapat dalam transmisi manual sahaja, Proton GEN.2 MME Edition hadir dengan satu warna – Midnight Blue (lebih kepada hitam) – dan dilengkapi dengan bodykit R3 ‘ZeroKit’ yang merangkumi bampar depan, spoiler, side apron belakang, dan side skirt.

Namun demikian, GEN.2 tidak datang dengan lampu Xenon HID seperti Waja, sebaliknya digantikan dengan kemasan Dark Titanium sahaja.

Enjin GEN.2 MME. Gambar dari http://www.suanie.net/.

Memandangkan GEN.2 ini juga menggunakan enjin Campro sama seperti Waja, maka sistem ekzos Cat-Back dan kabel palam pencucuknya juga sama, cuma bentuk tip ekzosnya berbentuk bulat dan bukannya bujur. Kuasanya juga kekal 118 PS.

Interior GEN.2 MME. Gambar dari http://www.suanie.net/.

GEN.2 ini juga dilengkapi dengan set roda 7-bilah aloi 16 inci dibalut dengan tayar Continental SportContact-1, cakera brek slotted (berjalur), sistem gantungan berprestasi, strut bar aluminium di hadapan beserta penutup enjin Campro yang bewarna merah.

Tip ekzos GEN.2 MME. Gambar dari http://www.suanie.net/.

Sama seperti Waja MME, tombol gear R3 merah, sistem bunyi dengan penyokong Bluetooth dan iPod, dan karpet lantai R3 menghiasi bahagian dalaman. Hanya 200 unit sahaja telah ditawarkan oleh R3, dan setiap unit datang dengan nombor siri unik.

4. Proton Satria Neo R3 (2008)

Setelah keluarnya Proton Satria Neo pada tahun 2006, ramai yang tertanya samaada Proton akan mengeluarkan versi GTI ataupun R3 yang lebih berprestasi. Dua tahun selepas itu, akhirnya R3 menawarkan Satria Neo R3, terhad kepada 10 unit sahaja dan datang dengan warna trademark ‘Incognito Black’.

Tidak seperti Satria R3 1.8 2004, Satria Neo R3 ini kurang hardcore kerana tiada talaan menyeluruh dibuat kepada casisnya. Namun begitu, ia masih lagi versi R3, jadi tentulah ia hadir dengan beberapa sentuhan prestasi.

R3 telah menukar kabel palam pencucuh ke saiz 8 mm, memasang sistem ekzos yang diselaraskan R3 dan menala ECU asal Campro 1.6 (bukan IAFM, CPS, dan VIM). Semua ini meningkatkan kuasa sehingga 135 PS pada 6,100 rpm dan tork hingga 164Nm pada 4,200rpm.

Luaran eksterior diberi sentuhan penuh kit badan oleh R3 dengan rupa yang lebih agresif. Rim asal juga telah digantikkan dengan rim Advanti SG15 berukuran 17x7, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE001 Adrenalin bersaiz 205/40R17.

Cakera breknya juga ditukar ke jenis berjalur (slotted) dan dipadankan dengan brek pad prestasi Mintex M1144.

Pada bahagian interior pula, R3 menukar tempat duduk hadapan dengan sepasang Recaro SR4, tombol gear R3, karpet lantai R3, bosskit R3, stereng Momo Tuner, dan kemasan hitam & merah.

5. Proton Satria Neo R3 Clubsport (2008)

Jika anda kaki tegar trek dan inginkan Satria Neo yang direka khusus untuk berlumba, R3 pernah menawarkan model Satria Neo R3 Clubsport pada tahun 2008. Dibangunkan untuk digunakan dalam perlumbaan one-make series di mana pembeli wajib menyertai perlumbaan tersebut, Neo Clubsport dibina dalam jumlah yang sangat terhad, dengan hanya 18 unit.

Ia menggunakan enjin Campro 1.6 bukan CPS kerana ianya lebih senang untuk diubahsuai. Dengan camshaft, ECU dan sistem ekzos yang baru, Neo Clubsport menghasilkan 137 PS.

Gambar dari G Car Care.

Ia mungkin kedengaran agak sedikit, namun apa yang membezakan model Clubsport daripada R3 diatas ialah ia 109 kg lebih ringan dari Satria Neo asal. Ini sesuai dengan falsafah pengasas jenama Lotus, Colin Chapman yang mengatakan “Simplify, then add lightness.

Gambar dari Carousell.

Selain daripada enjin yang telah ditala dan casis yang telah diringankan, Neo Clubsport ini datang dengan rollcage 6-poin dan sistem gantungan yang diperakui oleh pihak FIA (badan sukan permotoran dunia) untuk memastikan ia dapat digunakan di trek.

Tambah pula, Neo Clubsport menerima Persetujuan Jenis Kenderaan (VTA) JPJ yang membolehkannya didaftarkan dan dipandu di jalan raya tanpa sebarang masalah.

Pada bahagian eksterior pula, ia tidak datang dengan kit badan NEO CPS, namun ia datang dengan spoiler R3 bawah bampar hadapan dan spoiler bumbung R3 yang direka dengan sudut darjah lebih agresif bagi meningkatkan tahap cengkaman dan kestabilan ketika di trek.

Gambar dari Jee Ho.

Selain itu, R3 turut menambah beberapa kelengkapan lain seperti sepasang pin bonet & cangkuk tunda di hadapan, suis bateri pada penutup wiper depan untuk memutuskan bekalan elektrik, dan klip penutup pada but belakang.

Gambar dari Carousell.

Di dalam interior pula, semua karpet dan penebat bunyi telah dibuang dan tempat duduk pemandu digantikan dengan tempat duduk perlumbaan Recaro TS-G, berserta tali pinggang perlumbaan Sparco.

Stereng depan asal telah digantikan dengan Momo Tuner lengkap dengan bosskit dan quick release R3.

Kesemua 25 unit Neo Clubsport datang dengan rim aloi R3 15 inci dipadankan dengan tayar Bridgestone Potenza RE001 berukuran 195/50R15. Bagi menandakan ia bukan model sebarangan, pelekat R3 Clubsport dilekat di bahagian sisi roda belakang dan but belakang.

Dengan gabungan ini, Satria Neo R3 Clubsport mampu mencatatkan masa terpantas di Sepang di bawah 3 minit sahaja.

6. Proton Satria Neo R3 Lotus Racing (2010)

Akhir sekali, inilah kereta complete tuned up car yang paling mahal dan sangatlah ekslusif yang pernah dikeluarkan oleh Proton R3. Dijual pada harga RM 115,000 dan terhad kepada 25 unit, ianya dua kali ganda lagi mahal dari Satria Neo CPS, tapi apa yang membuatkan ia dijual pada harga sebegitu?

Gambar dari Adam Photography

Pertama sekali, enjin Campro 1.6 CPS ini telah ditala dan diubahsuai dengan ECU R3, camshaft aloi boleh dilaras R3, pulley underdrive aloi R3, manifold ekzos titanium R3, sistem ekzos R3 dan penapis udara K&N dengan intake udara gentian karbon.

Dengan segala macam penambahan ini, Neo R3 Lotus Racing ini mengeluarkan 145 PS dan tork sebanyak 168 Nm (25 PS dan 18 Nm lebih dari asal).

0-100 km/j hanya mengambil masa 9.2 saat (Neo CPS 10.5 saat) sebelum mencapai tahap kelajuan maksima 200 km/h (Neo CPS 190 km/j).

Yang paling padu, Neo R3 Lotus Racing ini boleh naik sehingga 7,500 rpm dalam setiap gear, dan tiada lagi isu tork menurun yang selalu dikaitkan dengan enjin Campro.

Dengan mengunakan nama Lotus Racing, semestinya sistem kawalan kereta harus mencapai tahap piawaan tertinggi, maklumlah harga pun dah mahal kan. Sistem gantungan Neo R3 Lotus Racing ini telah ditukar ke sistem gantungan boleh laras Öhlins DFV (Dual Flow Valve), yang datang dengan bushing getah yang lebih kuat serta geometri yang telah ditala.

Bonet depan juga telah digantikan dengan gentian karbon untuk kawalan mantap ketika mengambil selekoh serta input stereng ala kereta lumba. Berat kereta ini juga 62 kg lebih ringan dari Neo CPS.

Pada bahagian eksterior pula, bampar depan dan belakang serta spoiler bumbung telah digantikan dengan gentian FRP yang lebih ringan serta aerodinamik. Rim Advanti berukuran 16x7 dipadankan dengan tayar Bridgestone Adrenalin RE001 berukuran 205/45R16, dan jika anda lihat dengan lebih dekat anda akan nampak sistem brek 4 pot AP Racing di bahagian hadapan.

Kesemua 25 unit datang dengan warna Lotus Racing Green dengan jalur kuning putih untuk melambangkan betapa istimewanya model ini.

Tema Lotus Racing Green bersambung di bahagian interior, dengan tempat duduk dan trim dibalut khas dengan kain kulit Nappa dengan efek karbon. Tombol gear juga telah ditukar dengan bahan gentian aloi.

Comments