Honda BR-V: Adakah harganya penghalang terbesar?

Haris/May 27, 2020 08:00 PM

Honda BR-V

Honda BR-V adalah kenderaan pelbagai kegunaan (Multi Purpose Vehicle) 7 tempat duduk. Sekiranya anda mempunyai keluarga yang sedang membesar dan mencari kenderaan 7 tempat duduk, Honda BR-V adalah pilihan yang sangat sesuai.

Pada harga yang sama dengan Honda City, BR-V ternyata menawarkan lebih banyak ruang. Jarak kelegaan tanah setinggi 201 mm (19 mm lebih rendah daripada Toyota Rush / Perodua Aruz) cukup elok - tidak terlalu tinggi atau rendah sehingga menyukarkan anak-anak kecil atau orang tua untuk keluar masuk. Jarak kelegaan tanahnya juga membenarkan anda mendaki pembahagi jalan atau mengharungi banjir kilat kecil sekiranya perlu.

Tidak seperti kenderaan 7 tempat duduk bawah RM 100k yang lain, perjalanan menggunakan BR-V cukup selesa, walaupun anda berada di barisan ketiga. Dinamik pemanduan yang tidak jauh berbeza dengan sedan bermakna tugas pemanduan pada lebuh raya sama seperti pemanduan jalan raya di bandar.

Berapakah harganya?

BR-V ditawarkan dalam dua varian - 1.5E dan 1.5V - kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 1.5 liter yang sama dengan Honda City / Jazz. Harga bermula dari RM 80,989 hingga RM 87,701.

Ciri dan perbezaan utama antara kedua varian adalah seperti di bawah:

Honda Malaysia juga turut memperkenalkan varian 1.5SE yang terhad kepada 300 unit sahaja. Ia ditawarkan pada harga RM 90,700. Varian 1.5SE pada asasnya merupakan varian 1.5V tetapi dengan penambahan sistem infotainment skrin sesentuh 6.8 inci yang lebih besar dan aksesori tambahan pada bahagian luar.

Kami mengesyorkan varian Honda BR-V 1.5V. Jurang harga antara kedua-dua varian tidak terlalu besar. Tambahan pula, kamera pandangan belakang yang terdapat pada varian ini penting untuk sebuah kereta keluarga dengan saiz dan ketinggiannya.

Kebaikan dan keburukan

Jika hendak dibandingkan ‘feel’ pemanduan BR-V dengan pesaingnya seperti Toyota Avanza, Toyota Rush, Perodua Alza, dan Perodua Aruz, ternyata pemanduan Honda BR-V jauh lebih baik. Ia juga lebih responsif berbanding Avanza / Rush / Aruz yang lesu. Aspek pengendaliannya juga agak baik. Jika kita melihat kepada karakter BR-V, agak mengejutkan apabila ia mempunyai tahap kestabilan yang sangat baik pada kelajuan tinggi.

Hanya Proton Exora sahaja yang setanding dengan tahap pemanduan BR-V di jalan raya. Namun, Exora tidak dapat menandingi penggunaan bahan api BR-V yang terbaik dalam kelasnya. Penggunaan bahan api dunia sebenar adalah sekitar 7 hingga 8 liter / 100 km bergantung kepada gaya pemanduan dan keadaan lalu lintas.

Keselesaan perjalanan dilihat begitu sinonim dengan BR-V di mana MPV dalam segmen ini rata-ratanya tidak terkenal dengan aspek tersebut. Penumpang bahagian belakang akan merasa lebih selesa di dalam BR-V berbanding Honda City. Hal ini kerana BR-V lebih lebar serta mempunyai jarak antara roda yang lebih panjang.

Untuk penggunaan tempat duduk di barisan ketiga, BR-V berada di tempat kedua, kalah dengan Proton Exora tetapi masih baik berbanding alternatif lain. Kekurangan sokongan di bahagian bawah paha menjadi faktor utama tetapi penumpang yang berketinggian sekitar 1.6m masih dapat duduk dengan selesa.

Kelemahan lain pada BR-V termasuk kekurangan perehat lengan pada konsol tengah. Ketiadaan ciri ini ternyata memenatkan ketika pemanduan jarak jauh. Tambahan pula, BR-V tidak mempunyai beg udara di bahagian sisi badan atau kepala.

Pesaing bagi BR-V?

Sekiranya faktor harga menjadi kekangan utama, Perodua Alza (RM 54,290 hingga RM 62,690) adalah pilihan yang lebih sesuai untuk anda. Namun, usia model ini yang lebih sedekad bermakna ia tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan asas masa kini seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (Electronic Stability Control).

Jika anda inginkan sesuatu yang jauh lebih baru serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini di dalam keluarga Perodua, Perodua Aruz (RM 72,900 hingga RM 77,900) merupakan alternatif yang jauh lebih baik. Namun, kekurangan dari segi dinamik pemanduan, keselesaan perjalanan dan penggunaan bahan api yang tinggi berbanding BR-V adalah beberapa aspek yang perlu anda ambil kira sekiranya anda ingin membelinya.

Kekurangan yang sama juga boleh dilihat pada model seperti Toyota Rush dan juga Toyota Avanza. Hal ini kerana kesemua model tersebut menggunakan kerangka casis yang sama.

Selain itu, kesemua model tersebut merupakan kenderaan pacuan roda belakang. Atas sebab penggunaan casis yang sama, penggunaan model-model terbabit lebih sesuai untuk membawa muatan berat.

Akhir sekali, pencabar terdekat bagi Honda BR-V adalah Proton Exora (RM 59,800 hingga RM 66,800). Versi facelift terbarunya dilihat membawa sedikit pembaharuan. Harus diingatkan juga bahawa Exora merupakan sebuah produk yang berumur lebih sedekad. Hal ini bermakna kebanyakan ciri-ciri yang ada padanya telah lapuk dek zaman dan enjin Campro CFE nya bukan lah sebuah enjin yang efisyen pada zaman moden ini.

Comments