Honda Jazz: Hatchback kegilaan ramai sebelum Perodua Myvi generasi ke-3. Masih relevan?

Haris/Jun 03, 2020 12:01 AM

Honda Jazz

Jika anda mencari sebuah hatchback dalam segmen B, Honda Jazz tentu antara pilihan yang paling popular.

Honda memang terkenal dengan ciri-ciri praktikaliti yang terkemuka dalam kelasnya. Model kereta Honda juga sentiasa penuh dengan ciri keselamatan dan aksesori.

Honda Jazz hadir ke Malaysia pada tahun 2014. Selepas itu, ia diberi wajah baru pada tahun 2017 dengan gril baru, bumper belakang baru dengan tambahan head unit infotainment berskrin sesentuh 6.8 inci.

Tetapi perubahan terbesar dalam versi facelift adalah penambahan varian Hibrid yang berada di atas varian V dan dijana oleh enjin 1.8 liter berkuasa kuda sebanyak 137 PS.

Kami telah menguji Honda City Hybrid dan menyukainya tetapi Honda Jazz yang kami rebiu di sini adalah varian 1.5V petrol biasa.

Rekaan luar Honda Jazz

Secara keseluruhannya, reka bentuk Honda Jazz memang menarik mata memandang. Aksesori yang ditawarkan oleh Honda Malaysia menambahkan lagi daya tarikan Jazz.

Namun pada unit ujian kami, kualiti yang dibina kurang memuaskan disebabkan celahan panel antara bonet dan lampu depan yang tidak konsisten.

Celahan panel diukur pada 3 mm di tempat yang paling sempit dan 6.5 mm di tempat yang paling lebar. Kemasan cat konsisten pada bacaan atas 100 um (lebih tinggi lebih baik). Bacaan tertinggi pada 127 um didapati pada bahagian bumbung untuk memberikan perlindungan yang lebih baik.

Lampu hadapan jenis halogen ditawarkan standard termasuklah pada varian V dengan spesifikasi tertinggi sementara lampu belakang menggunakan lampu LED.

Ruang dalaman Honda Jazz

Kelebihan terbesar Jazz boleh ditemui pada ruang dalaman yang sangat praktikal. Dengan sejumlah 18 ruang cubby pelbagai saiz, Honda Jazz menawarkan lebih banyak fleksibiliti bagi penggunaannya.

Tempat duduk Ultra Seats yang popular bagi Honda sudah tentu ada. Dengan bukaan boot yang besar (104 cm), Honda Jazz berupaya memuatkan sebuah tangga lipat dan masih mempunyai ruang untuk penumpang (Long Mode).

Ultra Seat dalam Honda Jazz juga menawarkan pilihan mode Tall, jadi jika anda ingin mengangkut tanaman yang tinggi ataupun rak buku, anda hanya perlu melipat tempat duduk dan meletakkan barang di lantai kereta.

Gabungan kain dan kulit yang dijadikan bahan untuk tempat duduk cukup selesa ketika pemanduan jauh. Walaupun begitu, tempat duduk belakang akan menjadi kurang selesa pada kelajuan tinggi.

Honda telah membuang semua port USB dalam model facelift kecuali satu sahaja yang terletak pada sistem infotainment. Port ini menggunakan kuasa telefon anda jadi anda tidak boleh mengecas telefon jika telefon sedang di sambungkan.

Sungguhpun begitu, Honda telah menyediakan port bekalan kuasa 12V/180W, jadi anda harus membeli pengecas dalam kereta untuk tujuan pengecasan anda.

Sistem infotainment dengan skrin sesentuh 6.8 inci pada Honda Jazz ini merupakan keluhan terbesar kami. Model sebelum ini mempunyai sistem infotainment yang agak moden tetapi model yang ada pada Honda Jazz facelift agak mengecewakan.

Kualiti imej dan user interface yang tidak menarik di samping pengalaman sela masa yang panjang seolah-olah sistem ini menggunakan sistem operasi yang kuno.

Prestasi Pemanduan dan Pengendalian Honda Jazz

Honda Jazz dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 4 silinder paling berkuasa dalam kelasnya dengan 120 PS kuasa kuda dan 145 Nm tork. Namun, pecutan 0-100 km/j mencatatkan masa sepantas 11.8 saat,  lebih perlahan berbanding Mazda 2 yang mencatat masa sepantas 10.9 saat.

Seperti biasa, CVT Honda adalah CVT paling lancar yang bakal anda rasakan. Oleh itu, kereta ini adalah pilihan terbaik sekiranya anda banyak memandu dalam kesesakan lalu lintas bandar.

Aspek pengendaliannya agak baik meskipun ketika mengambil selekoh tajam namun secara keseluruhannya masih kurang berbanding ‘feel’ pengendalian Mazda 2.

Keselesaan Pemanduan Honda Jazz

Ini mungkin mengejutkan tetapi pelbagai aspek telahpun dipertimbangkan. Pada hemat kami, Honda Jazz bukan kereta yang paling selesa untuk dipandu.

Talaan suspensi disesuaikan untuk memberikan perjalanan yang cukup selesa namun lain pula ceritanya apabila bacaan NVH (Noise, Vibration, Harshness) agak tinggi.

Pada 60 km/j, bacaan NVH Honda Jazz mencapai 69 desibel. Jumlahnya meningkat hingga 70 desibel pada 90 km/j dan naik ke 71 desibel pada kelajuan 110 km/j.

Bahagian dalam Honda Jazz kurang senyap jika dibandingkan dengan Mazda 2 yang mencatat bacaan 65 desibel pada kelajuan 110 km/j. Ini meletakkan bacaan Honda Jazz pada tahap yang sama dengan Perodua Myvi.

Ruang kaki agak luas namun Honda Jazz masih lagi sebuah hatchback. Jika anda berketinggian 6 kaki ke atas, anda mungkin berasa sedikit sempit.

Penggunaan bahan api Honda Jazz

Berdasarkan angka rasmi Honda, teknologi Earth Dreams pada Honda Jazz mencatat penggunaan sebanyak 5.8 liter/100 km.

Bagi pemanduan sebenar pula, ujian kami mencatatkan penggunaan sebanyak 6.7 liter/100 km. Angka ini dicapai walaupun terdapat penggunaan agresif untuk ujian 0-100 km/j dan 0-100-0 km/j.

Oleh itu, jumlah tersebut setara dengan janji Honda untuk penggunaan bahan api yang ekonomi dalam setiap model kereta mereka.

Honda Jazz secara tuntas

Tidak dapat dinafikan bahawa Honda Jazz adalah pilihan paling praktikal dalam kumpulan hatchback segmen B. Ruang but berkapasiti 363 liter yang besar, ruang kaki yang boleh dipanjangkan, konfigurasi tempat duduk Ultra Seat dan enjin CVT yang lancar hanyalah sebahagian daripada kelebihan Jazz.

Honda Jazz hampir menjadi kereta yang sempurna untuk pemanduan dalam bandar. Namun pada harga RM 83,633, kualiti binaan kurang memuaskan dengan sistem hiburan yang sangat mengecewakan.

Didatangkan dengan 6 beg udara, Vehicle Stability Control dan Emergency Stop Signal pada model facelift, ciri tersebut menjadikan Honda Jazz mendahului saingan terdekatnya. Namun, Toyota Yaris telah tiba di pasaran dengan 7 beg udara dengan blind spot monitor, Honda Jazz kelihatan ketinggalan zaman.

Jika dibandingkan dengan Mazda 2 (RM 94,670), Honda Jazz tewas dari segi hiburan dalam kereta apatah lagi apabila Mazda 2 menjadi satu-satunya kereta dalam kelasnya yang menggunakan paparan head-up. Tambahan pula, sistem GVC Mazda menjadikan Mazda 2 lebih selesa ketika mengambil selekoh.

Comments