Proton Iriz kini mampu mencabar populariti Perodua Myvi

Haris/May 20, 2020 07:00 PM

Proton Iriz telah dilancarkan pada tahun 2014 sebagai usaha Proton untuk memberi saingan kepada Perodua Myvi yang lebih popular. Pada ketika itu, Proton Iriz menawarkan lebih banyak ciri ciri keselamatan berbanding Perodua Myvi tetapi sambutan dari pasaran tidak begitu memberangsangkan.

Proton telah menaik taraf model Iriz beberapa kali dan model terakhir diperkenalkan pada awal tahun 2019.

Sejumlah lima varian telah ditawarkan berbanding empat varian bagi kemas kini pada tahun 2017.

Spesifikasi untuk Proton Iriz 1.3:

  •  Enjin: 1.3 liter VVT empat silinder, pernafasan biasa

  •  Transmisi: 5 kelajuan manual atau automatik jenis CVT, pacuan roda hadapan 

  •  Kuasa: 95 PS pada 5,750 rpm

  •  Tork: 120 Nm pada 4.000 rpm

  •  Harga: Dari RM 36,700 sehingga RM 44,700

  •  Asal: Dikilangkan di Tanjung Malim, Perak

 

Spesifikasi untuk Proton Iriz 1.6:

  •  Enjin: 1.6-liter VVT empat silinder, pernafasan biasa

  •  Transmisi:  kelajuan manual atau automatik jenis CVT, pacuan roda hadapan 

  •  Kuasa: 109 PS pada 5,750 rpm

  •  Tork: 150 Nm pada 4.000 rpm

  •  Harga: Dari RM 46,700 hingga RM 50,700

  •  Asal: Dikilangkan di Tanjung Malim, Perak

Berikut adalah perbezaan ringkas tentang ciri ciri di antara kelima-lima varian Proton Iriz. Bermula dengan model asas 1.3L MT Standard paling murah, ciri ciri standard merangkumi:

  • Lampu hadapan halogen jenis reflektor

  • Lampu belakang LED

  • Roda aloi 14 inci

  • Cermin sisi dengan lampu signal bersepadu

  • Antena sirip yu

  • Paparan pelbagai maklumat LCD bersegmen

  • Bantuan Eko Pemanduan

  • Kemasan fabrik

  • Audio standard dengan 2 pembesar suara

  • Tambatan USB dan Bluetooth

  • 2 pengkalan USB untuk fungsi pengecasan

  • 2 beg udara

  • ABS, EBD, BA, ESC, TCS

  • 2 sensor parkir hadapan dan belakang 

 

Tambahan pada 1.3L CVT Standard:

  • Spoiler but belakang

  • Transmisi automatik jenis CVT

 

Tambahan pada 1.3L CVT Eksekutif:

  • Lampu hadapan automatik dengan fungsi Follow-Me-Home

  • Lampu perjalanan siang LED

  • Pembuka Bonet kawalan jauh

  • Paparan pelbagai maklumat TFT LCD

  • Kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin

  • Tingkap pemandu dengan fungsi anti perangkap

  • Unit kepala skrin sesentuh 7 inci

  • Pencerminan telefon pintar (MirrorLink sahaja)

  • 4 pembesar suara

  • Kamera belakang

 

Tambahan pada 1.6L CVT Eksekutif:

  • Enjin VVT 1.6 liter

  • Cermin sisi lipat automatik

 

Tambahan pada 1.6L CVT Premium:

  • Bumbung hitam 

  • Roda stereng kulit dengan butang audio dan fungsi sambungan telefon bebas tangan 

  • Sambungan 4G

  • Liputan Wi-Fi

  • Arahan suara "Hi Proton"

  • Navigasi Peta Baidu

  • Penstriman muzik

  • Kerusi separa kulit

  • Cermin pandangan belakang dengan bezel plastik jernih

  • Tombol gear CVT yang unik

  • Beg udara SRS sisi dan langsir

Varian pilihan?

Untuk barisan model Proton Iriz yang terbaru, pilihan kami adalah varian Iriz 1.6L Premium, kerana ia didatangkan dengan pakej kelengkapan yang serba cukup untuk sebuah hatchback segmen B.

Sejauh manakah keberkesanan arahan suara "Hi Proton"?

Sebelum kita bermula, kami ingin menjelaskan bahawa sistem arahan suara "Hi Proton" yang terdapat pada Proton Iriz berbeza dengan sistem yang terdapat pada Proton X70 yang lebih mahal.

Sistem yang terdapat pada Proton X70 jauh lebih canggih. Contohnya, ia dapat mengawal sistem penghawa dingin, bumbung suria dan tingkap. Manakala sistem yang terdapat pada Iriz hanya mampu menstrim muzik, ramalan cuaca dan sistem navigasi.

Sistem infotainment Iriz dibangunkan menggunakan platform Android namun tiada aplikasi Google yang digunakan. Hal ini kerana sistem yang dibangunkan terhad kepada aplikasi Baidu dan seangkatan dengannya. Misalnya, tiada aplikasi Google Maps mahupun Waze ditawarkan, namun pihak Proton telah menggantikannya dengan aplikasi Baidu Maps. Perkhidmatan penstriman muzik pula dilakukan melalui aplikasi Joox berbanding aplikasi Spotify yang lebih popular.

Walaupun terdapat fungsi MirrorLink yang mampu memaparkan aplikasi Google Maps dan Waze pada skrin, fungsi ini sedikit kekok. Selain daripada kesesuaian yang terhad kepada beberapa peranti Andorid sahaja, skrin telefon perlulah sentiasa terpasang menyebabkan bateri telefon anda akan habis dengan cepat.

Keselesaan pemanduan yang ketara?

Senang cerita, aspek pemanduan Proton Iriz memang terbaik!

Aspek pemanduan dan pengendalian Proton Iriz telah ditala sempurna oleh jurutera Proton, menjadikan kereta kompak ini berjaya mencapai tahap keseimbangan yang mantap tidak kira semasa memandu di jalanraya ataupun ketika mengambil selekoh.

Apabila dipandu pada kelajuan rendah, Iriz menyerap hentakan dengan baik tanpa membuatkan penumpang berasa seperti terhuyung-hayang.

Walaupun pada kelajuan yang tinggi, Iriz masih mengekalkan momentumnya. Hal ini disebabkan oleh struktur badannya yang tegap disamping sistem suspensi yang bekerja dengan sangat efektif. Tambahan pula, stereng kuasa elektriknya dapat memberikan respon yang mencukupi kepada pemandu lalu meningkatkan keyakinan pemanduan.

Tidak begitu keterlaluan sekiranya kami mengatakan bahawa Iriz merupakan kereta yang terbaik dalam segmennya dari segi keselesaan dan pengendalian, malah jauh meninggalkan pencabar yang lain.

Satu-satunya keluhan kami terhadap Iriz adalah pada bahagian tren kuasanya. Walaupun transmisi Punch CVT sudah dinaik taraf sejak digunakan pertama kali pada tahun 2014, ianya masih kurang memuaskan jika dibandingkan dengan alternatif lain seperti Honda Jazz atau Toyota Yaris. Rubberbanding masih dapat dirasakan ketika Iriz dipaksa bekerja keras walaupun kabin sedikit senyap berbanding sebelum ini.

Pilihan mana yang terbaik diantara Iriz dengan Myvi?

Secara amnya, kedua-dua hatchback segmen B tersebut merupakan pilihan yang sangat baik dengan kelebihan dan kekurangan masing masing.

Sekiranya anda mengutamakan keselesaan perjalanan, Proton Iriz adalah pilihan terbaik anda kerana ia menawarkan ciri pemanduan yang lebih ‘mewah’ berbanding Perodua Myvi yang sedikit ‘keras’. Selain itu, dari aspek pengendaliannya pula, Iriz masih mendahului Myvi disebabkan talaan yang lebih baik.

Dari segi sistem infotainment pula, sistem yang terdapat pada varian teratas Proton Iriz iaitu 1.6L CVT Premium ternyata lebih baik berbanding unit skrin sesentuh yang terdapat pada Myvi 1.5 AV. Sudah tentulah sistem infotainment Iriz jauh lebih baik dengan tambahan fungsi kawalan suara dan sambungan 4G.

Walau bagaimanapun, Perodua Myvi masih mempunyai kelebihan dengan sistem bantuan pemandunya (ASA) yang lebih canggih seperti Amaran Pra-Perlanggaran (Pre-Collision Warning), Brek Pra-Perlanggaran (Pre-Collision Braking), Amaran Gerak Depan (Front Departure Alert) dan Kawalan Kesalahan Pedal (Pedal Misoperation Control). Selain itu, Perodua Myvi juga mempunyai ruang kabin lebih besar daripada Iriz.

Perodua Myvi juga menawarkan nilai jualan semula yang lebih tinggi, keandalan yang terbukti serta sokongan khidmat selepas jualan yang lebih baik.

Comments