Proton X70 bakal ke Pakistan. Model 1.5 liter turbo CBU buatan Malaysia!

Haris/Jun 01, 2020 12:00 AM

Proton X70

Tahun lalu Proton telah menghadiahkan sebuah Proton X70 kepada kerajaan Pakistan. Tahun ini, Al Haj Proton sebagai pengedar rasmi Proton di Pakistan baru sahaja memuat naik sebuah imej acah bagi menandakan ketibaan jentera buatan Malaysia tersebut.

Seperti yang dipaparkan di akaun media sosial mereka, Proton X70 yang dipasang di Malaysia telah dipandu sejauh 2,286 meter dari permukaan laut ke Gabral, sebuah stesen desa dan bukit di Daerah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan.

Unit awal yang dikesan. Kredit Gambar: CarSpiritPK

Lebih menarik lagi, ini bukan pertama kalinya Proton X70 dilihat di Pakistan. X70 telah dikesan beberapa bulan lalu dibaluti dengan penyamaran. Namun begitu, kereta samaran yang digunakan memakai logo Proton lama, sementara imej model yang diacah oleh Al Haj Proton memakai logo Proton yang baru.

Untuk pasaran Pakistan, Proton X70 akan dijana oleh enjin 3 silinder 1.5 liter bercas turbo yang menjana 177 PS kuasa dan 250 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan automatik. Jika anda pernah mendengar spesifikasi enjin yang sama, ini adalah kerana tren kuasa 1.5 liter ini juga digunakan pada Geely Binyue / Proton X50.

Sebab utama enjin 1.5 liter digunakan adalah kerana Proton mensasarkan insentif cukai untuk X70. Hal ini kerana enjin 1.5 liter akan dikenakan cukai yang lebih rendah berbanding enjin 1.8 liter di Pakistan.

Selain Proton X70, Al Haj Proton juga merancang untuk membawa Proton Saga ke Pakistan.

Comments