Adakah cukai jalan di Malaysia lebih rendah untuk kereta elektrik?

Faisal · Sep 21, 2020 01:29 PM

Kita telah menyaksikan pelancaran Porsche Taycan dan MINI Cooper SE baru-baru ini. Tanpa disangka, kedua-dua model ini berharga lebih rendah daripada jangkaan. MINI Cooper SE berharga RM 218,380 manakala Taycan 4S bermula RM 725,000.

Untuk maklumat anda, Porsche Taycan di Malaysia berharga lebih rendah berbanding di Thailand. Harga yang cukup “rendah” ini berkemungkinan oleh faktor cukai eksais yang hanya berkadar 10 % untuk kereta elektrik berbanding 60 % ke 105 % untuk kereta biasa.

"Saya tidak kisah berapa laju ia di Nurburgring. Road tax berapa?"

Bercakap tentang kereta elektrik di Malaysia, soalan pertama yang akan diketengahkan ialah cukai jalan. Kadar cukai jalan di Malaysia untuk kereta elektrik dikira berdasarkan kuasa output oleh motor elektrik melalui unit kilo Watt (kW).

Industri menggunakan unit ini pada kenderaan elektrik berbanding PS kerana ia lebih bertepatan dengan falsafah elektrik. Untuk pengetahuan anda, 1 kW bersamaan dengan 1.35962 PS.

Oleh itu, bagaimanakah harga cukai jalan untuk kereta elektrik yang dijual di Malaysia setakat ini?

1. Nissan Leaf (110 kW) – RM 187

Nissan Leaf merupakan kereta elektrik yang kedua dijual secara rasmi di Malaysia. Sebelum ini, Renault Zoe adalah kereta pertama sebelum ia memasuki program perkongsian kereta daripada COMOS Malaysia.

Untuk maklumat anda, Nissan Leaf mempunyai cukai jalan yang berharga RM 187 (50 % diskaun). Diimport terus dari Jepun, Nissan Leaf dikecualikan cukai import dan hanya mengenakan cukai eksais sebanyak 10 %. Hal ini disebabkan oleh perhubungan FTA antara negara Jepun dan Malaysia.

Berdasarkan kaedah pengiraan yang terkini, cukai jalan Nissan Leaf (110 kW) dikira melalui:

100 kW ke 125 kW – RM 274, dan RM 0.50 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 100 kW.

Oleh itu, RM 274 + RM 100 = RM 374

Dengan diskaun 50 %, cukai jalan menjadi RM 187.

2. MINI Cooper SE (135 kW) – RM 724

Setelah habis dijual (25 unit) dalam tempoh kurang dari sebulan, MINI Cooper SE adalah kereta elektrik yang kelihatan riang. Kapasiti bateri (29.8 kWh) bukanlah tarikan utama tetapi kelincahan penggunaan dalam bandar yang menarik perhatian pasaran. Sebagai perbandingan, kapasiti bateri pada Honda E ialah 35.5 kWh.

Ramai menjangkakan cukai jalan yang rendah untuk sebuah MINI elektrik. Hakikatnya, ia berharga RM 724.

Cukai jalan MINI Cooper SE dikira melalui:

125 kW ke 150 kW – RM 524, dan RM 1.00 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 125 kW.

Oleh itu, RM 524 + RM 200 = RM 724

Seperti yang sepatutnya bukan?

3. BMW i3 (135 kW) – RM 42

BMW i3 REx

Cukai jalan rasmi daripada laman sesawang BMW ialah RM 42. BMW i3 mempunyai kuasa output dan tren kuasa yang sama dengan MINI Cooper SE tetapi dengan pacuan roda belakang. Mengapakah perbezaan harga cukai jalan begitu ketara?

Pengecas Type 2 di belakang. Tempat mengisi minyak di hadapan

Sewaktu dipratonton di Malaysia Auto Show 2018, BMW i3 mempunyai enjin yang dikenali sebagai “range extender”.

Enjin ini mempunyai kapasiti 0.6 liter dengan 2-silinder. Dengan itu, BMW i3 berkemungkinan dikenali sebagai hibrid dengan enjin 0.6 liter. Oleh itu, harga cukai jalan mengikuti kapasiti enjin tersebut. Pelik tapi benar.

BMW i3 tanpa range extender yang tidak mempunyai tempat mengisi minyak

4. Porsche Taycan Turbo S (560 kW) – RM 11,494?

Kereta elektrik terbaharu di Malaysia ialah Porsche Taycan. Didatangkan dengan tiga varian (4S, Turbo, dan Turbo S), model ini sesuai untuk pembeli yang menginginkan kereta elektrik yang mewah daripada Jerman.

Untuk maklumat anda, setiap varian memiliki kuasa output yang berbeza dimana varian Turbo S memiliki output tertinggi.

"Bro, aku pecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat sahaja. Tunggu aku habis cas" 

Cukai jalan untuk Porsche Taycan sekiranya dikira melalui kaedah terkini ialah:

4S (390 kW) – RM 7,004

4S Battery Plus (420 kW) – RM 7,814

Turbo (500 kW) – RM 9,974

Turbo S (560 kW) – RM 11,594

Bagaimana harga boleh menjadi sebegitu?

Cukai jalan untuk kereta elektrik yang memiliki lebih daripada 150 kW dikira seperti:

Lebih daripada 150 kW – RM 1024, dan RM 1.35 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 125 kW.

Pengiraan Cukai Jalan untuk Kenderaan Elektrik

Untuk kereta persendirian dengan kuasa output 80 kW dan ke bawah, cukai jalan mengenakan harga seperti:

50 kW dan kebawah – RM 20

50 kW ke 60 kW – RM 44

60 kW ke 70 kW – RM 56

70 kW ke 80 kW – RM 72

Sekiranya 80 KW dan ke atas, cukai jalan untuk kenderaan elektrik dikira seperti:

80 kW ke 90 kW

RM 160, dan RM 0.32 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 80 kW

90 kW ke 100 kW

RM 224, dan RM 0.25 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 90 kW

100 kW ke 125 kW

RM 274, dan RM 0.50 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 100 kW

125 kW ke 150 kW

RM 524, dan RM 1.00 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 125 kW

Lebih daripada 150 kW

RM 1,024, dan RM 1.35 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 150 kW.

Bagaimana sekiranya Iriz EV dijual?

Apa akan berlaku sekiranya cukai jalan kereta dikira seperti kenderaan elektrik?

Seperti yang kita tahu, rakyat Malaysia sudah serik akan kereta berkapasiti besar yang mempunyai cukai jalan yang terlalu tinggi. Oleh itu, kami berikan anda pengiraan sendiri sekiranya kerajaan ingin menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kuasa output seperti kenderaan elektrik.

Proton X70 1.8T (135 kW) – RM 724

Honda City RS i-MMD (enjin + motor elektrik: 152 kW) – RM 1,078

"Dah tak syok eh, torquey boy?"

*elektrik motor sahaja (80.17 kW) – RM 161

Mazda RX-8 (158 kW) – RM 1,240

Mana bunyi braap braap braap awak sekarang?

Nissan Almera 1.0 Turbo (73 kW) – RM 72

Toyota Vios 1.5 (79kW) – RM 72

Perodua Myvi 1.5 (76kW) – RM 72

Perodua Axia 1.0 (50kW) – RM 44

Honda Civic 1.5 TCP (127 kW) – RM 564

BMW 320i Sport Line (137 kW) – RM 728

Dengan pengiraan kos yang telah kami jelaskan, adakah wajar untuk rakyat Malaysia membayar cukai jalan dengan harga yang seumpama? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah

Comments