Adakah minyak gear sepanjang hayat satu pembohongan?

Faisal · Sep 23, 2020 01:43 PM

Semestinya anda pernah mendengar istilah ATF (automatic transmission fluid), minyak CVT, minyak DCT, dan minyak gear manual. Hakikatnya, transmisi (gearbox) merupakan komponen utama pada kenderaan selain enjin. Minyak enjin dan transmisi digunakan untuk melancarkan pergerakan komponen. Sekiranya enjin memerlukan penjagaan dari semasa ke semasa, begitu juga dengan transmisi.

Namun begitu, beberapa syarikat pengeluar menyatakan bahawa mereka menggunakan minyak gear sepanjang hayat (lifetime transmission fluid).

Adakah ini benar? Mari kita rungkaikan.

Apakah yang dimaksudkan dengan “lifetime transmission fluid”?

Istilah sepajang hayat (lifetime) tidaklah bermaksud minyak yang hebat seperti gelang ajaib tetapi lebih kepada pemasangan transmisi yang kedap.

Apakah kereta yang menggunakan minyak gear sepanjang hayat?

Berdasarkan buku panduan, Mazda 2 2015 mempunyai selang penyelenggaraan untuk minyak gear tetapi hanya untuk transmisi manual. Malah rakan kami yang memiliki kereta ini mengesahkan bahawa pusat servis Mazda tidak membuat penukaran ATF sama sekali. Penukaran minyak gear boleh dilakukan di bengkel luar tetapi ia akan membatalkan jaminan warranty.

BMW turut menyatakan bahawa transmisi mereka mempunyai minyak gear sepanjang hayat. Hal ini dibuktikan apabila terdapat perkataan “Lifetime Oil” pada bekas minyak (oil pan) di bawah.

Mercedes-Benz juga mempunyai falsafah yang sama tetapi mereka menggunakan istilah “Sealed for life”.

Di samping itu, jenama seperti Toyota, Hyundai, dan Jeep mempunyai versi tersendiri untuk minyak gear sepanjang hayat. Sekiranya anda khuatir, anda boleh melihat jadual penyelenggaraan dalam buku panduan masing-masing.

Anda tidak boleh hidup lama seperti mumia. Imej: mentalfloss

Adakah minyak gear boleh bertahan sepanjang hayat?

Berdasarkan purata pemilikan kenderaan dan tempoh jaminan warranty, tetapan 5 tahun atau 100,000 km mencadangkan bahawa minyak gear boleh digunakan sepanjang hayat tetapi hanyalah dalam tempoh tersebut.

Oleh itu, istilah minyak gear sepanjang hayat bukanlah bermaksud ia boleh digunakan selama-lamanya. Secara teknikal, kekuatan minyak gear semakin berkurangkan setelah melangkaui suatu jangka masa.

Sumber imej: Father Edward Barlow

Hal ini disebabkan oleh haba dan tekanan yang kuat daripada pergerakan komponen. Sampai satu tahap, ia harus ditukar. Sebaliknya, ia akan menjadi seperti kucing yang terenjat elektrik.

Apakah pendapat syarikat pengeluar mengenai minyak gear sepanjang hayat?

Untuk pengetahuan anda, transmisi pada BMW dikeluarkan oleh ZF. ZF sendiri tidak pernah menyatakan bahawa transmisi tersebut mempunyai minyak gear sepanjang hayat. Mereka hanya menjelaskan bahawa ia hanya untuk perbatuan 100,000 km.

Oleh itu, perlukah pengguna menukar minyak gear?

Kami mencadangkan anda untuk menukar minyak gear sekiranya anda merancang untuk menggunakan kereta tersebut lebih daripada tempoh purata pemilikan kenderaan. Namun demikian, anda dinasihatkan untuk menukar minyak gear selepas tamat tempoh jaminan warranty dimana ia selalunya berada pada perbatuan 100,000 km.

Sekiranya kereta anda tidak mempunyai minyak gear sepanjang hayat, anda boleh mengikut jadual servis yang ditetapkan dimana ia turut mengandungi selang penyelenggaraan untuk minyak gear.

Imej: bmwrepairguide.com

Tetapi bagaimana hendak menukar minyak gear sekiranya transmisi itu dipasang secara kedap (sealed)?

Untuk pengetahuan anda, ia hanyalah kedap daripada pemilik. Servis masih boleh dilakukan sekiranya anda mempunyai peralatan dan pengetahuan yang betul.

Sebagai contoh, Mercedes-Benz W220 S500 mempunyai penutup yang perlu dipatahkan untuk mendapat akses ke tiub "dipstick" yang berfungsi untuk menyukat dan mengetahui keadaan minyak gear.

Imej: mercedessource

Oleh demikian, mengapa pengeluar menggunakan istilah "lifetime transmission fluid"?

Kami berpendapat bahawa ia bertujuan untuk menepati piawaian pelupusan sisa dan alam sekitar.

Untuk kereta yang tidak mempunyai minyak gear sepanjang hayat, berapa lamakah ia boleh diguna?

Selang penyelenggaraan berkemungkinan setiap 100,000 km atau kurang. Anda juga boleh merujuk buku panduan untuk maklumat yang lebih tepat. Sekiranya anda mempunyai batang "ATF dipstick”, anda boleh memeriksa terdahulu sebelum ke pusat servis yang bertauliah.

Bagaimanakah cara untuk memeriksa?

Pemeriksaan paras ATF digalakkan sewaktu enjin sedang hidup dan posisi gear dalam keadaan “N” atau “P”. ATF kebiasaanya berwarna merah dan lama-kelamaan ia menjadi semakin gelap dan tebal.

Imej: jackingramnissan.com

Imej: automobilexyz.com

Rumusan

Sekiranya anda memandu sebanyak 20,000 km setahun, anda sememangnya tidak perlu menukar minyak gear sepanjang hayat pada tempoh 5 tahun yang pertama.

Adakah minyak gear sepanjang hayat satu pembohongan? Jika anda mengambil faktor purata pemilikan kenderaan selama 5 tahun atau 100,000 km, makai istilah tersebut boleh difahami. Pada masa yang sama, kami turut faham sekiranya istilah tersebut mengelirukan para pengguna.

Walau apapun, minyak gear semestinya menampung tekanan yang tinggi. Anda perlu memastikan transmisi sentiasa berfungsi dengan baik dan tidak berkelakuan pelik supaya kenderaan anda sentiasa dalam keadaan yang baik.

Comments