Barang Rare: Mitsubishi Lancer Evolution Wagon. Minat Evo dan wagon? Ini jawapan anda!

Haris · Aug 11, 2020 07:00 PM

Di Malaysia, masih terdapat ramai peminat kereta jenis wagon. Wagon merupakan jenis kereta yang semakin lama semakin pupus. Atas sebab inilah, harga kereta wagon semakin meningkat.

Apa yang kami temui baru-baru ini lebih baik. Ini adalah Mitsubishi Lancer Evolution Wagon! Dibangunkan daripada rekaan Mitsubishi Lancer Evolution IX, varian wagon ini sememangnya jarang ditemui.

Berapa jarang model Mitsubishi Lancer Evo Wagon ini dihasilkan? Hanya 2,500 unit kereta ini dihasilkan di seluruh dunia! Walaupun hasil carian nombor VIN mengatakan bahawa 2,924 model ini dikeluarkan namun Mitsubishi menegaskan hanya 2,500 unit rasmi sahaja yang dikeluarkan. 

Tiada model yang diperuntukkan untuk mana-mana negara. Hanya Jepun sahaja negara pasaran model ini. Nak bawa masuk ke Malaysia pun satu hal kan?

Pemilik iklan tersebut (mungkin pemilik kereta juga), Jeremiah Moa menegaskan bahawa beliau cuba mengekalkan kelengkapan yang asal bagi model kereta ini. Sememangnya ini adalah tugas yang sukar di mana Mitsubishi juga sudah kurang memfokuskan kereta sedan dan unit kereta ini sangat terhad di seluruh dunia.

Kereta ini menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter 4G63 dengan teknologi MIVEC. Enjin tersebut menjana sebanyak 291 PS kuasa kuda dan 392 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi manual 6 kelajuan. Memang padu sangat.

Dikatakan bahawa hanya 50% daripada jumlah asal kereta ini didatangkan dengan spesifikasi yang disebutkan tadi. Hal ini menaikkan lagi nilai kereta ini namun biarlah harganya ditayangkan di akhir artikel ini.

Tugas-tugas penyelenggaraan seperti fuel pump, clutch dan gasket telahpun ditukar oleh pemilik. Pemilik juga mendakwa model ini hanya menggunakan ron 97 dan kekerapan servis pada jarak perbatuan 4,000 km. Untuk sebuah kereta rare, unik dan dalam keadaan yang membanggakan, harga RM 170,000 sememangnya harga yang berpatutan.

Beli di: Facebook Marketplace

Comments