Beli Toyota Vellfire recond boleh jimat RM 60k. Apa pula risikonya?

Haris · Jul 08, 2020 01:00 PM

Toyota Alphard
Toyota Vellfire

Toyota Alphard dan Toyota Vellfire memang terkenal sebagai simbol CEO Megah Holding. Mana tidaknya, kebanyakan model-model ini mempunyai nombor plat dengan lambang penganugerahan. Sudah tentulah masyarakat memandang kedua-dua model kereta ini sebagai simbol status.

Namun tahukah anda, tidak semua yang kaya itu mampu? Toyota Alphard dan Toyota Vellfire berstatus recond jauh lebih murah berbanding import rasmi daripada UMW Toyota. Harganya boleh mencecah sehingga RM 44k lebih murah, bermakna anda mampu membeli sebuah lagi kereta.

Harganya tidak mencerminkan keadaannya

UMW Toyota Motor menawarkan Toyota Vellfire 2.5 dengan harga RM 382,300 dan Toyota Alphard 3.5 dengan harga RM 464,000. Kedua-duanya menerima tanda harga yang lebih tinggi berbanding harga kereta recond.

Pemeriksaan pantas di beberapa laman web jualan kereta menunjukkan bahawa Toyota Vellfire 2.5 recond dapat dibeli dengan harga sekitar RM 320,000, sementara Alphard 3.5 recond adalah sekitar RM 420,000. Beberapa peniaga recond juga menawarkan Alphard 2.5 pada julat harga yang sama dengan Vellfire 2.5 iaitu sekitar RM 320,000.

Oleh itu, Toyota Vellfire 2.5 recond adalah RM 62,000 lebih murah berbanding unit baru dari UMW Toyota Motor, sementara jurang harga untuk Alphard 3.5 pula adalah sekitar RM 44,000.

Sudah tentu unit recond lebih murah kerana kereta recond boleh dikira sebagai sebuah kereta terpakai.

Selain itu, anda harus berwaspada dengan caj-caj tersembunyi penjual kereta terpakai. Kereta recond juga turut menerima caj-caj tersembunyi atas alasan kereta terpakai. Untuk lebih maklumat lanjut mengenai caj-caj tersembunyi kereta terpakai, ikuti artikel kami di sini.

Jarak perbatuan yang terlalu rendah 

Kantoi dijual dengan jarak perbatuan 10,000 km

Anda mungkin akan banyak mendengar ayat “Orang Jepun tak pandu kereta sangat”. Bagi sebuah Toyota Vellfire berumur 2 tahun di bawah 10,000 km, jarak perbatuan ini terlalu rendah. Ini adalah petanda awal untuk anda.

Anda memerlukan sijil pemeriksaan mandatori kereta Jepun atau lebih dikenali sebagai Shaken untuk kepastian. Jika tiada, lari jauh-jauh kerana odometer kereta tersebut berkemungkinan besar sudah diubah.

Rekod kereta

Masih berminat?

Kereta recond memang nampak baru tetapi anda harus berwaspada kerana ada kereta recond yang diperbaiki selepas mengalami kemalangan di negara asalnya.

Berita baiknya adalah anda boleh mendapatkan laporan yang sah dari negara asal dengan menggunakan aplikasi seperti SCRUT dan RECOND. Dengan sedikit bayaran, pengguna dapat memperolehi laporan mengenai keadaan kenderaan, gambar keadaan asal kereta, mileage, modifikasi dan tahun pembuatan. 

Anda hanya perlu berikan nombor pengenalan kenderaan (nombor VIN / casis) sahaja. Dengan caj sekitar RM30 (setakat artikel ini ditulis), anda mampu mengelakkan penyesalan sepanjang hayat.

Jika anda terjumpa status laporan dengan taksiran ‘R’, itu tandanya kereta tersebut telah terlibat dengan kemalangan. Kereta tersebut telah pun dibaik pulih untuk dijual semula kepada anda.

Servis selepas jualan

Dengan penjimatan yang anda terima untuk kereta recond, boleh lah anda ucapkan selamat jalan kepada kesemua jenis servis selepas jualan.

Bantuan servis selepas jualan sangatlah penting, apatah lagi dengan ciri keselamatan yang kadang kala ditemui rosak beberapa tahun selepas jualan. Jangan ambil mudah nyawa keluarga anda yang turut menumpang dalam kereta tersebut.

Jika ada kelengkapan yang rosak atau kemas kini perisian terbaru, ingat semula, anda telah mengucapkan selamat jalan kepada kesemua jenis servis selepas jualan.

Tiada yang lebih memberikan ketenangan apabila jaminan diberikan pengeluar selama 5 tahun atau pada jarak perbatuan tanpa had.

UMW Toyota bertanggungjawab terhadap anda. Gunakan hak anda sebagai pengguna.

Namun jika Toyota Jepun yang bertanggungjawab terhadap anda, macam mana? Anda perlu belajar membaca notis di dalam bahasa Jepun atau selalu melayari laman web Jepun (ehem).

Sistem infotainment dalam kanji

Kereta yang direka untuk pasaran domestik Jepun (JDM) tidak disasarkan untuk pasaran luar negara. Oleh itu, anda akan dapati sistem infotainment kereta tersebut ditulis di dalam kanji (tulisan Jepun) dan tiada cara untuk anda mengubah tetapan bahasa sistem tersebut menjadi bahasa Inggeris.

Selain itu, frekuensi radio di Jepun hanyalah sekitar 76 hingga 95 Mhz. Di Malaysia, frekuensi radio di dalam julat 88 hingga 110 Mhz. Jadi, anda tidak boleh mengakses kesemua saluran radio yang ada apatah lagi jika saluran radio anda di atas 95 Mhz.

Jika anda mengambil jalan mudah dengan menukarkan head unit lain, hati-hati. Integrasi perisian zaman sekarang lebih menyeluruh, oleh itu anda mungkin kehilangan beberapa fungsi seperti kawalan iklim dan sebagainya.

Spesifikasi dan aspek teknikal

Sekali imbas, memang model recond nampak mirip dengan model rasmi pengedar. 

Namun tahukah anda, kalibrasi pemanduan Malaysia berbeza dengan pemandu Jepun? ECU yang didatangkan untuk unit Malaysia lebih sesuai dengan pemanduan jarak jauh dan panas, berbeza dengan iklim dan jarak pemanduan di Jepun.

Unit rasmi Toyota Alphard oleh UMW Toyota juga mempunyai cermin sisi yang lebih besar. Hal ini kerana jalan raya di Malaysia turut dipenuhi dengan penunggang motosikal.

Rekaan luaran

Di sini kami berikan tips untuk mengenali perbezaan antara Toyota Alphard dan Vellfire recond.

Unit yang dibawa oleh UMW Toyota Motor memakai bingkai plat UMW Toyota Motor (rujuk gambar), sementara unit recond dilengkapi dengan bingkai plat nombor petak Jepun.

Bingkai Petak

Toyota Alphard recond juga dilengkapi dengan pelekat Jepun dan pelekat kadar pencemaran yang dipasang di bahagian belakang kenderaan.

Selain daripada rupanya, cara lain adalah dengan melihat kepada nombor VIN. Walaupun datang dari kilang yang sama, kedua-duanya membawakan nombor VIN yang berbeza.

Nombor VIN yang bermula dengan huruf JT adalah model rasmi dari UMW Toyota.

Nombor VIN yang bermula dengan huruf AGH3x atau GGH3x diikuti dengan 7 digit nombor adalah model untuk pasaran domestik Jepun.

Ya, Toyota sanggup meletakkan nombor VIN yang berbeza walaupun datang dari kilang Toyota yang sama. Hal ini kerana kedua-dua model adalah berbeza.

Ringkasan

Pemilihan antara model Toyota Alphard atau Vellfire rasmi atau recond 100% terpulang kepada citarasa masing-masing.

Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tepuk poket tanya selera anda.

Pilihan untuk kereta recond juga lebih pelbagai, contohnya Toyota Alphard 2.5. Untuk rujukan, hanya 1 sahaja model rasmi Toyota Alphard di Malaysia iaitu varian 3.5. Model hybrid dan body kit Modelista turut ditawarkan.

Namun, anda harus berwaspada dengan risiko. Sebaik-baiknya, carilah pengedar atau penjual yang dipercayai sebelum membuat sebarang pembelian.

Comments