Cara guna butang Shift Lock sebelah tombol gear

Mersita · Sep 01, 2020 06:00 PM

Kebanyakan kereta bertransmisi automatik moden masa kini didatangkan dengan satu fungsi keselamatan gear, iaitu Shift Lock. Pernah nampak tak, butang kecil di sebelah tombol gear di dalam kereta anda?

Fungsi Shift Lock ini adalah untuk membolehkan anda menggerakkan atau mengalihkan gear ke posisi selain daripada P (Parking) semasa enjin dimatikan. Apabila anda hendak parkir dan matikan enjin, kunci kereta takkan dapat dipusing untuk mematikan enjin selagi gear belum diletakkan pada P.

Kereta auto tak sama dengan kereta manual, dimana gear boleh ditukar kepada N (Neutral) dengan mudah. Untuk kereta auto, fungsi Shift Lock ini adalah salah satu cara untuk memastikan gear sudah dialih ke P sebelum enjin dimatikan bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku akibat situasi cemas atau terburu-buru. Seperti yang kami katakan tadi, selagi gear tidak ditukar ke P, enjin kereta tak dapat dimatikan.

Inilah fungsinya butang Shift Lock. Kadangkala, anda terpaksa menukar posisi gear ke N ketika enjin sedang dimatikan supaya tayar kereta boleh digerakkan.

Sesudah beralih dari P ke N, jangan lupa turunkan brek tangan

Situasi-situasi biasa dimana butang Shift Lock akan digunakan ialah:

  • Anda dah parkir kereta dan matikan enjin. Apabila anda nak hidupkan semula, tak dapat - samada bateri ‘kong’ atau habis atau ada masalah lain. Tayar terkunci pada P, anda nak alihkan gear ke N supaya kereta boleh ditolak.
  • Anda terpaksa ‘double-park’. Anda mesti tinggalkan kereta dalam gear N dengan brek tangan diturunkan supaya kereta anda boleh ditolak sekiranya ia menghalang kereta lain.

Kenapa perlu ada butang Shift Lock? Kenapa pembuat kereta tak membolehkan saja gear N digunakan semasa parkir secara automatik tanpa Shift Lock?

Shift Lock ialah salah satu aspek keselamatan supaya pemandu sentiasa ingat untuk mengunci tayar dengan gear P sebelum enjin dimatikan. Ada masanya pemandu terlupa atau leka, terutamanya ketika terburu-buru. Bayangkan kalau pembuat kereta membenarkan anda untuk biarkan gear dalam posisi N semasa parkir. Kereta anda boleh bergerak sendiri jika tayar terkena permukaan landai atau curam sedikit.

Tapi, sememangnya pembuat kereta juga faham yang anda perlu tinggalkan kereta dalam posisi gear N pada masa-masa tertentu seperti yang kami nyatakan tadi. Inilah fungsinya butang Shift Lock tersebut. Tekan butang Shift Lock dan alih gear dari P ke N dengan mudah semasa enjin kereta dimatikan.

Macam mana nak tukar dari P ke N dengan butang Shift Lock?

Cara-cara menggunakan butang Shift Lock:

1. Pastikan kereta anda diparkir dalam posisi yang selari dengan ruang kosong dan dengan tayar yang lurus. Ini amat penting bagi mereka yang nak ‘double park’. Jangan parkir senget-benget - kereta anda sepatutnya boleh ditolak dalam arah yang lurus tanpa halangan seperti pemisah jalan atau tiang.

Kalau anda ‘double park’, letakkan batu di hadapan mana-mana tayar supaya kereta tak bergerak terutamanya di atas permukaan tidak rata.

2. Tarik brek tangan dan alih gear ke P, sedia untuk parkir seperti biasa. Matikan enjin dan pusing habis ('lock') atau cabut kunci.

3. Tekan dan tahan brek kaki sepanjang proses langkah ketiga ini. Tekan butang Shift Lock di sebelah tombol gear dan alihkan gear dari P ke N. Kemudian, turunkan brek tangan.

4. Perlahan-lahan, lepaskan brek kaki dan anda dapat rasakan tayar tidak terkunci lagi dan kereta boleh ditolak.

**Langkah di atas adalah untuk Perodua Myvi. Barangkali lebih kurang sama dengan kereta model lain. Sila rujuk panduan pemilik kenderaan masing-masing.

Sememangnya tak ramai yang terpaksa ‘double park’ atau ‘towing’ kereta setiap minggu. Tapi, bila tiba masanya anda terpaksa angkut kereta ke bengkel atau parkir di kawasan flat/apartment yang wajib tahu skil ‘double park’, kami tak nak anda ‘blur’ bila nak alih gear. Oleh itu, jangan lupa kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda yang memerlukan!

Comments