Cermin depan Myvi baru anda pecah? AEB pun perlukan pembetulan juga!

Mersita · Sep 23, 2020 05:00 PM

Katakan anda baru sahaja membeli Perodua Myvi 2020 facelift, dan dalam kemalangan cermin hadapan  (‘windscreen’) anda pecah dan perlu diganti. Tapi ingat, bukan cermin hadapan saja yang perlu dibaiki. Perkakas AEB juga perlu ditentukur semula (‘recalibrated’), dan ini hanya boleh dibuat di pusat servis berdaftar – melainkan ada mekanik bebas di sini yang dah melabur dalam alatan yang diperlukan.

Ya, anda boleh pergi ke bengkel pakar cermin hadapan untuk ganti cermin yang pecah. Tapi, selepas penggantian ini dibuat, anda masih perlu membawa kereta tersebut ke pusat servis berdaftar untuk menentukur semula kamera AEB anda.

Inilah yang lecehnya kalau kereta anda ada macam-macam kelengkapan berteknologi moden. Semakin rumit kereta tersebut, semakin susah jugalah untuk mengganti/membetulkan bahagian yang rosak.

Bagi yang tak tahu apa itu AEB, ia adalah singkatan untuk “autonomous emergency braking” atau brek kecemasan berautonomi. Ia adalah satu kelengkapan keselamatan dimana komputer kenderaan tersebut membantu kenderaan untuk berhenti bagi mengelakkan perlanggaran apabila pemandu gagal untuk memberi respon kepada amaran berbunyi.

ASA 2.0 Perodua Axia

Sistem tersebut bergantung pada sebuah kamera (dipasang di belakang ‘windscreen’) dan satu radar gelombang millimeter (dipasang di belakang bampar/logo hadapan). Tapi, beberapa jenama seperti Perodua dan Subaru menggunakan sistem kamera tunggal.

Tak semua AEB itu sama. Bergantung kepada binaan dan model kenderaan, jarak pengesanan halangan dan julat kelajuan untuk aktivasinya berbeza-beza. Sistem AEB yang terbaru mampu mengesan bukan saja kenderaan lain, tapi juga pejalan kaki dan yang lebih canggih lagi boleh mengesan kanak-kanak.

AEB hanyalah istilah generik. Pembuat-pembuat kereta masing-masing ada panggilan sendiri. Toyota menggelarnya Pre-Collision System (PCS) manakala Honda pula menggelarnya Collision Mitigation Braking System (CMBS).

Tambahan pula, AEB jarang sekali digunakan tanpa kelengkapan lain. Ia selalunya dipakejkan sekali dengan beberapa kelengkapan bantuan pemandu yang lain termasuklah fungsi pembetulan stereng/bunyi amaran apabila kereta terkeluar daripada landasan lorongnya.

Kami memanggil pakej ini suite kelengkapan bantuan pemandu ADAS (Advanced Driving Assistance System). Ini ialah istilah generik dan syarikat-syarikat kereta mempunyai nama pemasaran masing-masing bagi kelengkapan ADAS mereka.

Toyota menggelarkan suite mereka sebagai ‘Toyota Safety Sense’ (TSS), Honda pula memanggilnya ‘Honda Sensing’, Mazda ‘i-Activ Sense’, manakala Subaru pula ‘EyeSight’.

Subaru EyeSight

Semua pengilang memasang kamera AEB – iaitu perkakasan yang paling penting untuk membolehkan komputer kereta mengimbas jalan di hadapan bagi mengesan sebarang bahaya/halangan – di belakang cermin pandang belakang, dan ia melekat di cermin hadapan.

Tapi, mencabut cermin hadapan yang retak lebih mudah daripada masalah lain. Walaupun mekanik anda berjaya mencabut kamera AEB dan juga sensor cahaya dan hujan daripada cermin hadapan kereta anda supaya cermin boleh diganti, anda masih lagi terpaksa menentukur semula perkakas AEB tersebut.

Sesudah cermin hadapan dicabut, kamera AEB tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan peralatan istimewa diperlukan untuk membetulkannya.

Video di bawah menunjukkan bagaimana penentukuran semula dilakukan.

“Dalam hemat kami, hanya Pusat Servis Perodua yang boleh menentukur sensor tersebut apabila cermin hadapan diganti,” kata wakil syarikat tersebut.

TC Subaru pula berkata, “Ya, EyeSight perlu ditentukur menggunakan peralatan istimewa selepas cermin hadapan diganti.”

Honda Malaysia dalam kenyataan mereka: “Selepas mengganti cermin hadapan kepada yang baru, kamera tersebut perlu ditentukur semula. Tentukur kamera yang betul diperlukan supaya sistem tersebut boleh berfungsi dengan baik.”

Penentukuran semula ADAS. Kredit gambar: https://www.strservicecentre.co.uk/

Berbekalkan maklumat ini, anda juga patut teliti semula polisi insuran auto anda dan periksa jika perlindungan anda merangkumi penggantian cermin hadapan/’windscreen’ dan berapakah nilai maksima yang dilindungi.

Image credit: bettersoundproofing.com/

Tambahan pula, perlu diingatkan yang banyak kereta masa kini didatangkan dengan kaca akustik yang boleh mengurangkan bunyi. Oleh itu, cermin hadapan sebegini adalah lebih mahal untuk diganti. Jika diganti dengan cermin bukan asli yang murah, kabin anda tidak akan sesenyap dulu.

HUD, Toyota Camry (pasaran AS, varian hibrid ditunjukkan)

Di dalam kereta yang didatangkan dengan Head-Up Display (HUD) atau paparan atas kepala – dimana imej dipaparkan terus ke atas cermin hadapan kereta selain daripada skrin biasa – cermin hadapan tersebut memerlukan salutan/lapisan istimewa di atasnya bagi membolehkan imej tersebut dipaparkan dengan jelas. Oleh itu, sentiasa ingat dengan perkara ini sebelum anda memilih cermin yang murah daripada cermin ganti asli yang lebih mahal.

Comments