Evolusi Toyota Vios: 3 generasi dengan gelaran ikan! Yang mana paling lama bertahan?

Haris · Oct 23, 2020 07:00 PM

Toyota Vios

Toyota Vios terkenal dengan ketahanan yang boleh diharap. Beli sahaja mana-mana model Vios, anda tak perlu fikir banyak tentang masalah-masalah yang perlu dihadapi. Tahan lasak, tak banyak masalah dan jimat minyak adalah pemangkin kepada penjualan Toyota Vios di Malaysia.

15 tahun di bumi bertuah ini, Toyota Vios turut digelar atau disamakan dengan spesis ikan. Vios ‘Dugong’, Vios ‘Dolphin’ dan Vios ‘Keli’ adalah beberapa gelaran generasi Toyota Vios yang memudahkan pengguna untuk mengenalpasti generasi. Oleh itu, di sini kami senaraikan generasi Toyota Vios sebagai panduan yang lebih mendalam!

Toyota Vios generasi pertama (NCP42) - 2003

Toyota Vios generasi pertama menjengah ke pasaran Malaysia pada tahun 2003. Bersaing dengan Honda City generasi kedua (debut Honda City di Malaysia), Toyota Vios generasi inilah yang membentuk tanggapan awal model Toyota Vios akan datang sebagai sebuah model yang bagus.

Turut dikenali dengan nama Vios Dolphin, model debut ini menggunakan enjin 1.5 liter 1NZ-FE dengan output kuasa sebanyak 111 PS kuasa kuda dan 141 Nm. Masih ditemui dengan meluas di atas jalan, Vios Dolphin ini boleh disesuaikan dengan enjin 2ZZ untuk mereka yang kaki modifikasi.

Toyota Vios generasi kedua (NCP93) - 2007

Tidak dinafikan lagi, inilah Toyota Vios yang paling terkenal dalam keseluruhan generasi Toyota Vios. Mitos mengatakan, gelaran nama ikan dimulakan oleh Toyota Vios generasi ini, sebelum dikembangkan ke generasi pertama dan kemudian generasi seterusnya. Model ini terkenal dengan nama Vios Dugong.

Masih menggunakan enjin yang sama, kemaskini Toyota Vios generasi kedua menerima sedikit talaan dari segi kemasukan udara yang lebih baik dengan transmisi yang dipertingkat. Varian J dengan transmisi manual diterima selepas beberapa ketika dengan tambahan beg udara.

Toyota Vios generasi ketiga (NCP150) - 2013

Sebuah anjakan paradigma daripada rekaan Vios Dugong, Toyota Vios generasi ketiga tampil dengan rekaan yang lebih tajam. Walaubagaimanapun, enjin kebal 1.5 liter 1NZ-FE masih dikekalkan pada Vios ‘Keli’ ini.

Pada tahun 2016, Toyota Vios generasi ketiga menerima enjin baru 2NR-FE Dual VVT-i dengan output kuasa 107 PS kuasa kuda dan 140 Nm tork. Transmisi automatik 4 kelajuan digantikan dengan transmisi CVT Toyota yang andal, membuktikan bahawa tidak semua CVT itu teruk.

Toyota Vios generasi ketiga (major facelift) - 2019

Generasi terbaru Toyota Vios adalah generasi ketiga facelift yang pernah dipertontonkan pada KLIMS 2018. Kehadiran Toyota Vios versi ini mengembalikan semula rekaan yang lebih bulat seperti yang terdapat pada Vios Dugong.

Aspek trenkuasa model ini masih dikekalkan, hanya kemaskini kosmetik sahaja yang diberikan. Ada sesiapa yang tahu apa nama haiwan untuk generasi ini?

Penutup

Toyota Yaris Ativ di Thailand

Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Toyota Vios bakal hadir ke Malaysia hujung tahun ini. Seiring dengan pelancaran Honda City 2020 dan Nissan Almera Turbo 2020, Toyota Vios tidak mahu berdiam diri malah dikatakan terdapat juga pertambahan varian Toyota Vios GR untuk generasi tersebut.

Toyota Vios mana yang menjadi milik, pernah dimiliki atau menjadi idaman anda dulu-dulu? Nyatakan dalam ruangan komen.

Comments