Gadis ubahsuai kereta jadi ‘Camper Myvi’. Myvi Boleh!

Mersita · Jul 29, 2020 05:00 PM

Dalam satu muatnaik di laman Facebook Art of Speed Malaysia, sebuah Perodua Myvi telah diubahsuai menjadi ‘camper car’ dimana kerusi belakang diturunkan untuk memuatkan beberapa keping papan lapis yang dijadikan asas tilam lengkap dengan lampu liplap, bantal dan langsir

Cantiknya!

Beliau dilihat memandu Perodua Myvi generasi pertama (2005 – 2008) yang memang terkenal dengan ruang dalamannya yang sangat luas bagi kereta hatchback nasional. Tempat duduk belakangnya boleh diturunkan dengan betul-betul rata - memberikan ruang yang cukup selesa untuk dijadikan sebagai kereta ‘camper’

Imbas semula, Perodua Myvi model lama ini dijual pada harga RM 51,000 untuk spesifikasi tertinggi pada pelancarannya.

Kredit: FB Farah Nabilah 

Pemilik kereta ini dikenali sebagai Faraabel, seorang gadis dari Melaka yang gemar ‘roadtrip’ sekitar Malaysia. Video yang dihasilkan oleh Aceyie Channel di YouTube menunjukkan perjalanan beliau ke Pantai Penarik, Terengganu. 

Kos bawah RM 500 je?
Ya, Faraabel menjelaskan yang kos untuk mentransformasikan Perodua Myvi ini tidak mencecah RM 500. Sebahagian besar kos ini melibatkan meja kayu ‘simple’ yang dibuat khas dan papan asas untuk tempat tidur. Yang lain semuanya barang-barang dari bilik tidur – toto, selimut, bantal, dan macam-macam lagi.

Beliau juga mencabut papan atas but belakang kereta yang selalunya menjadi tempat untuk menyimpan bantal kecil atau tisu. Ia agak mudah untuk dilakukan dan boleh dipasang balik bila diperlukan.

Menurut Aceyie Channel, komuniti ‘camper car’ semakin membesar di Malaysia dan jika anda lihat laman YouTube mereka, Perodua Kancil pun boleh diubahsuai sebegini!

Nasihat gadis ini bagi mereka yang mahu menceburi hobi ‘camper car’ ialah anda harus sentiasa hitung risiko dan rancang lokasi perkelahan anda (pastikan anda berada di tempat selamat seperti berhampiran rumah orang) dan rancang kelengkapan serta keperluan yang hendak dibawa bersama.

Dan yang penting, 'have fun'! Penulis pun ada Myvi (model 2014, cukup besar lagi sebelum facelift yang ruang dalamannya agak ketara semakin kecil). Macam boleh je ni…

Comments