Geely Farizon FX didedah, trak pikap berasaskan Proton X70! Boleh jadi Proton Arena?

Haris · Sep 03, 2020 01:00 PM

Sebelum ini, kami pernah menyiarkan tentang trak pikap Geely yang berasaskan Geely Boyue PRO atau lebih dikenali sebagai Proton X70 di sini. Nampaknya, konsep trak pikap tersebut adalah benar dan telah pun diperkenalkan di Negara Tanah Besar.

Ini adalah Geely Farizon FX, sebuah trak pikap berasaskan Proton X70. Farizon adalah sebuah sub-jenama di bawah Geely yang memfokuskan pengeluaran trak pikap. Maka tidak hairanlah jika model ini dibangunkan daripada platform unibody yang sama dengan Geely Boyue Pro atau Proton X70. Platform unibody turut digunakan pada trak pikap seperti Honda Ridgeline pasaran US dan Hyundai Santa Cruz.

Dari segi rekaan, ia saling tak tumpah seperti Proton X70 dengan tambahan muatan kargo. Ruang kargo terbuka bermula daripada tiang D (D pillar) bermakna perbezaan ketara hanya bermula selepas tiang D. Muatan kargo tersebut dilihat sedikit kecil berbanding trak pikap biasa. Sebagai perbandingan, berikut adalah perbezaan saiz dengan Toyota Hilux.

Walaupun lebih kecil berbanding Toyota Hilux, Geely Farizon FX masih sarat dengan kelengkapan. Contohnya, sensor parking depan dan belakang, kamera 360 darjah, Brek Kecemasan Automatik, Amaran Pra Pelanggaran, Adaptive Cruise Control dan sebagainya.

Farizon FX berkemungkinan dikuasakan oleh enjin 1.8 liter berkuasa turbo dengan transmisi 7 kelajuan DCT. Enjin tersebut dijangka mampu menjana sehingga 184 hp kuasa kuda dengan fokus penjimatan minyak sehingga 8.5 liter / 100 km. Macam biasa dengar spesifikasi ini kan?

Trak pikap ini mengingatkan kepada Proton Arena iaitu satu-satunya kenderaan pelbagai guna daripada Proton. Proton Arena berkongsi rekaan hadapan dengan Proton Wira dengan ruangan kargo dipasang bermula dari tiang B (B-pillar).

 

Sumber: Wikipedia

Bermula sebagai produk yang gagal di sini, Proton Arena menerima sambutan hangat di Australia. Adakah Proton bakal mengeluarkan semula tanda nama 'Proton Arena' dengan trak pikap terbaharu daripada Geely ini?

Sumber berita: BitAuto

Comments