Hatchback kesayangan Malaysia - Evolusi Perodua Myvi dalam 3 generasi

Mersita · Oct 20, 2020 04:00 PM

Apakah maksud nama Myvi? “Myvi” sebenarnya adalah singkatan untuk “My Vehicle”, “My Vision” dan “Malaysian Vision”. Maksud ini dipetik daripada laman sesawang rasmi Daihatsu. Lagi, tahukah anda yang Perodua Myvi merupakan model Perodua pertama yang tidak dinamakan dari bahasa Melayu? Banyak benda kita belajar hari ni, ya?

Dilancarkan pada tahun 2005, hatchback segmen B ini semakin lama semakin dikenali seantero Malaysia sehingga mengalahkan kereta-kereta lama keluaran Malaysia yang dahulu seperti Proton Wira.

Myvi berkongsi bahagian dan alatan dengan Daihatsu Boon, Subaru Justy, dan Toyota Passo. Oleh itu, tak hairanlah jika anda terlihat Myvi memakai lencana Passo. Myvi bukan saja membanjiri jalanraya Malaysia sehingga membuatkannya kereta ideal untuk melarikan diri, ia juga seringkali dijadikan bahan gurauan netizen dengan pelbagai video dan meme menghiburkan.

Oleh kerana ia berjaya menempa nama taraf ikon di Malaysia, kami ingin buat sedikit penghargaan untuk jaguh kampung ini dengan menceritakan sejarah evolusinya menerusi 3 generasi.

Generasi Pertama (M300) – 2005

Model yang mula-mula sekali menawan hati rakyat Malaysia pada 2005 ialah Perodua Myvi generasi pertama. Ia menonjolkan rupa bentuk yang comel, disertakan pula dengan elemen rekaan MPV di ruang dalamannya. Myvi generasi pertama didatangkan dengan dua pilihan enjin – enjin EJ-VE 3 silinder 1.0 liter dan juga enjin K3-VE 4 silinder 1.3 liter.

Varian 1.0 liter dipadankan dengan hanya transmisi manual manakala varian 1.3 liter didatangkan dengan transmisi manual 5 kelajuan ataupun automatik 4 kelajuan.

Facelift Generasi Pertama – 2008

Tiga tahun berlalu sejak pelancarannya, Myvi generasi pertama diberi facelift. Kapasiti enjin maksima masih lagi dikekalkan pada 1.3 liter. Rekaan bampar dan gril hadapan yang diperbaharui merubah gaya dan bentuk Myvi yang comel kepada rupa yang lebih agresif. Versi paling popular bagi Myvi generasi ini ialah varian SE berwarna jingga dengan lampu hadapan yang gelap, kit badan penuh, serta spoiler ‘wing’ belakang.

Generasi Kedua (M600) – 2011

Generasi pertama berjaya mengukuhkan kepercayaan serta menambat hati rakyat Malaysia. Pada 2011, Myvi masuk ke generasi kedua dengan Myvi Lagi Best. Dengan pilihan enjin 1.5 liter, nama “Lagi Best” memang cukup padan untuk generasi ini.

Enjin 3SZ-VE 1.5 liter mampu menjana 109 PS dan 141 Nm – membuatkannya salah satu kereta yang ‘digeruni’ di jalanraya kita. Satu lagi perubahan pada Myvi Lagi Best ialah tombol gear yang dipasang pada papan pemukanya.

Satu-satunya kekurangan pada Myvi baharu ini ialah ia tidak lagi berdasarkan Toyota Passo generasi pertama yang digemari oleh peminat Myvi yang suka tukar-tukar lencana. Myvi generasi ini yang paling popular ialah Myvi SE berwarna kuning.

Facelift Generasi Kedua – 2015

10 tahun setelah pelancarannya, Myvi masih lagi mengekalkan banyak aspek reka bentuk dari generasi yang pertama. Rupa bentuk badannya masih lagi kompak dan tinggi walaupun diberi penggayaan yang lebih anggun. Sehingga tahap ini, Myvi masih lagi menggunakan throttle mekanikal bagi kedua-dua enjin 1.3 liter dan 1.5 liternya.

Generasi Ketiga (M800) – 2017

Perkara utama bagi Myvi generasi ketiga ialah ia direka secara tempatan sepenuhnya buat pertama kali tanpa menggunakan dasar Toyota Passo/Daihatsu Boon. Ia digelar Myvi generasi ketiga atau Myvi D20N dan reka bentuknya jauh lebih anggun berbanding model-model terdahulu.

Myvi baru ini mempunyai rekaan yang lebih matang dan ia dilengkapi dengan beberapa kelengkapan menarik seperti pembaca Smart Tag yang dibina-dalam serta A.S.A. (Advanced Safety Assist) Perodua yang merangkumi amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, amaran anjakan hadapan, dan juga kawalan salah-laku pedal.

Pilihan manual hanya boleh didapati pada varian 1.3 liter. Enjin 2NR-VE 1.5 liter telah mengganti tempat enjin 3SZ-VE yang terdahulu. Walaupun dengan rupa bentuknya yang lebih anggun dan lebih agresif, Myvi baharu ini tidak mempunyai reputasi pemanduan berbahaya seperti model generasi terdahulunya.

Banyak spekulasi yang muncul tentang pelbagai kemungkinan versi seterusnya bagi Myvi, termasuklah Myvi GT dan Myvi dengan penggayaan crossover. Perodua Myvi versi yang mana satukah jadi kegemaran anda? Jom kongsikan dengan kami di ruangan komen nanti!

Comments