Honda City RS 2020 masih belum ada senarai harga. Mengapa?

Mersita · Oct 14, 2020 05:00 PM

Kami pasti anda dah tahu yang Honda City 2020 GN series generasi kelima baru sahaja dilancarkan di Malaysia. Model panas yang dinanti-nantikan ini dijangka akan merubah lanskap penjenamaan Honda di Malaysia terutama sekali dengan pengenalan Honda City RS 2020.

Varian RS e:HEV dengan enjin i-MMD 2 motor membuat pengenalan globalnya di Malaysia. Tambahan pula, ia dipasang tempatan sekali dengan pek bateri bervoltan tinggi yang juga dipasang tempatan di Malaysia. Honda menggelar pek bateri ini sebagai IPU (Intelligent Power Unit).

City RS dengan kit Modulo

Honda City 2020 dijual bermula dari harga RM 74,191 bagi varian S spesifikasi paling rendah – lebih murah daripada model generasi sebelumnya dengan penjimatan hampir RM 1 ribu (harga tanpa SST dibandingkan).

Tapi, pastinya ketiadaan harga varian RS berspesifikasi paling tinggi menjadi persoalan besar dikalangan pembeli yang berminat. Setakat ini, Honda Malaysia belum ada senarai harga bagi City RS yang hanya akan dihantar kepada pembeli bermula Januari 2021.

Apabila ditanya untuk memberikan komen atas hal ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Sarly Adle Sarkum menjelaskan yang kerajaan telahpun bertindak dengan sangat efisien dalam mengesahkan harga City baru, dibuktikan oleh pelancaran model ini yang boleh dilakukan dengan pantas – hanya 2 bulan selepas pengumuman awal oleh Honda Malaysia. Hal ini agak mengagumkan walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 yang mencabar.

Walaubagaimanapun, varian RS, iaitu varian yang berbeza dengan RS yang dijual di Thailand kerana RS versi kita ialah hibrid (pertama di dunia untuk City generasi kelima ini) memerlukan masa pembangunan yang lebih panjang, ditambah pula dengan cabaran yang dihadapi di musim pandemik ini.

Presiden dan COO Sarly Adle Sarkum (kiri), Pengarah Urusan dan CEO Toichi Ishiyama (kanan)

Sarly berkata, “Pada awalnya kami mahu melancarkan City lebih awal lagi iaitu pada Julai, tapi disebabkan oleh COVID-19, banyak perkara yang perlu ditangguhkan. Saya perlu memuji pasukan kami kerana mereka bekerja keras untuk memperawalkan pelancaran ini. Tambahan pula, saya ingin membuat satu penghargaan istimewa dan berterima kasih dengan kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Kewangan dan pastinya MITI dan juga agensi-agensi yang terlibat – MARii dan MIDA – kerana memahami cabaran yang dihadapi oleh OEM seperti Honda, dan kali ini kami betul-betul berada pada landasan yang betul bagi kelulusan harga.”

“Tapi, bagi RS, malangnya disebabkan oleh pembangunan [yang diperlukan] serta COVID, masanya perlu ditangguhkan.”

Varian V ditunjukkan

Penangguhan dalam kelulusan harga telahpun menjadi satu topik hangat dikalangan syarikat-syarikat kereta, dimana ada beberapa yang berkata ia mengambil masa sehingga 6 bulan untuk dapatkan kelulusan senarai harga mereka. Isu ini seringkali dinyatakan tapi disebabkan COVID-19, kerajaan terpaksa memberi perhatian kepada hal-hal lain yang lebih penting.

Sebagai penjelasan, kerajaan tidak mengawal harga-harga kereta dalam apa jua cara – berbeza dengan pendapat umum popular. Syarikat kereta bebas untuk menjual produk-produk mereka pada harga yang mereka mahukan.

Kelulusan dari kerajaan diperlukan apabila sebuah syarikat kereta mahu memohon diskaun keatas duti eksais dan ia boleh dipohon apabila pembuat kereta memasang model itu secara tempatan. Industrial Linkage Program (ILP) menawarkan rebat bagi duti eksais bergantung kepada nilai kandungan tempatan yang digunakan serta pelaburan-pelaburan yang dibuat.

Varian V tidak mempunyai brek parkir elektrik, Sensing, dan panel instrumen digital

Honda City dipasang tempatan di loji Pegoh, Melaka. Honda Malaysia telah melabur dalam sebuah fasiliti baru untuk menghasilkan IPU (Intelligent Power Unit) -  secara amnya sebuah pek bateri bervoltan tinggi serta sistem-sistem kawalan yang berkaitan. Fasiliti ini adalah yang pertama bagi jenisnya di Malaysia.

Soalan cepumas seterusnya – bila lagi harga Proton X50 nak keluar?

Comments