Honda HR-V 2020 vs Subaru XV 2020 - Yang mana lebih selesa?

Faisal · Sep 15, 2020 10:35 AM

Antara perkara yang menjadi penanda aras dalam mengukur tahap keselesaan sesebuah kenderaan ialah keempukan suspensi, tahap bunyi, dan keselesaan kerusi. Oleh itu, mari kita bandingkan aspek keselesaan di antara Honda HR-V dan Subaru XV.

Secara ringkas, Honda HR-V berharga RM 124,800 dan Subaru XV pula berharga RM 133,788 (harga termasuk insurans dan SST).

Suspensi yang empuk – Subaru XV terasa lebih tenang

Suspensi belakang pada Honda HR-V

Honda HR-V dibina berdasarkan platform Honda City/Jazz dimana ia menerima susunan suspensi yang sama melalui strut MacPherson di hadapan dan jenis torsion beam di belakang.

Dengan susunan yang ringkas sebegini, mutu perjalanan adalah kebiasaan sahaja. Terdapat sedikit kekerasan dan kekasaran sewaktu melalui permukaan yang tidak rata terutama pada varian RS yang didatangkan dengan rim 18 inci.

Suspensi belakang pada Subaru XV

Subaru XV pula dibina menggunakan Subaru Global Platform (SGP) dimana ia menerima sususan strut MacPherson di hadapan dan jenis double wishbones di belakang.

Oleh itu, perbezaan mutu perjalanan adalah sangat ketara. Subaru XV terasa seperti satu atau dua kelas yang lebih atas. Ia terasa lebih berkualiti. Permukaan jalan yang teruk juga dapat diuruskan dengan baik.

Tahap bunyi – Subaru XV lebih senyap

Noise Level
  Subaru XV Honda HR-V
60 km/j 58 dB 60 dB
90 km/j 62 dB 65 dB
110 km/j 69 dB 69 dB

Pada kelajuan rendah, Subaru XV terasa lebih aman. Bunyi daripada tren kuasa seperti tidak kedengaran langsung. Pada kelajuan 60 km/j, meter bunyi mencatatkan bacaan 62 dB berbanding 65 dB pada Honda HR-V.

Pada kelajuan tinggi pula, kedua-duanya mencatatkan bacaan yang sama pada 69 dB.

Keselesaan kerusi – Cukup memuaskan

Kerusi hadapan pada kedua-dua saingan ini cukup menyokong walaupun tidak dilengkapi dengan penyelarasan untuk sokongan tulang belakang. Namun demikian, kerusi Honda HR-V mempunyai sokongan tepi yang lebih baik.

Pada masa yang sama, kerusi hadapan dan belakang pada kedua-dua model ini turut memberikan sokongan peha yang mencukupi.

Rumusan

Subaru XV memberikan mutu perjalanan yang lebih baik dan kabin yang lebih senyap berbanding Honda HR-V. Secara keseluruhan, ia ternyata lebih selesa.

Comments