Ini kisah Proton Putra Rali! Siapa kata Proton buang sejarah?

Haris · Aug 08, 2020 02:00 PM

PROTON PUTRA WRC. Sebuah model yang sentiasa menjadi bualan setiap lapisan masyarakat umum. Pelbagai kisah yang berbeza, khabar angin serta gambar-gambar berkenaan dengan model ini telah tersebar di rangkaian internet. 

Model ini telah dibina bagi memenuhi piawai undang-undang baharu yang diperkenalkan oleh FIA pada tahun 1997 berkenaan dengan World Rally Championship (WRC). Undang-undang baharu bagi WRC ini adalah bertujuan untuk menggantikan Kumpulan A. Lebih istimewanya, ia juga telah dirangka khas bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan WRC dari para pengeluar kereta.

Bagi melayakkan diri untuk WRC, para pembuat kereta hanya perlu membina 2,500 unit model jalan raya biasa dalam apa jua varian. Tambahan pula, tiada lagi keperluan untuk para pengeluar dalam mengikuti piawaian yang memakan kos-kos tinggi dalam unit model masing-masing, sepertimana yang ada dalam model Mitsubishi Evo dan Subaru WRX.

PRODRIVE, sebuah syarikat kejuruteraan maju dan terkenal dari UK telahpun ditugaskan oleh PROTON bagi membina model Proton Putra WRC. Dengan menggunakan model berasaskan Proton Putra biasa, kuasa asal enjin 4G93P model ini telah ditingkatkan kepada 2000cc

Selain itu, model ini turut didatangkan dengan kuasa turbo dan juga penghadang udara (air restrictor) bersaiz 34mm dengan sistem anti-lag. Selain itu, model ini didatangkan dengan pacuan 4 roda (4WD) dan dipadankan dengan kotak gear berurutan (sequential gearbox). Model ini juga memiliki susun atur suspensi dan titik pautan yang telah diubah suai. 

Disamping itu, pengubahsuaian aerodinamik badan, pengurangan kepada berat minimal 1,230 kg dan pengukuhan casis turut dibuat terhadap model supaya lebih tegap. Ukuran lebar maksima bagi model ini telah ditetapkan pada 1,770 mm manakala saiz trek bahagian depan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

Model ini kini telah ditanda sebagai sebahagian dari Koleksi PROTON Motorsports yang kekal. Begitulah kekuatan netizen Malaysia. Proton kini dilihat lebih menjaga sensitiviti model sejarah mereka yang tempoh hari menjadi topik bualan hangat di kalangan netizen.

Comments