Ini punca Malaysia gagal maju dalam industri automotif - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Haris · Aug 10, 2020 01:00 PM

Dalam sidang Parlimen 5 Ogos 2020, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memberi jawapan beliau mengenai mengapa Malaysia kurang maju dalam industri automotif.

Pada waktu itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN, Pontian) telah menanyakan soalan mengenai bagaimanakah Dasar Keusahawanan Nasional membantu usahawan dalam industri permotoran seiring dengan trend kereta elektrik sekarang.

Menjawab soalan tersebut, Datuk Seri Dr Wan Junaidi berkata, sekiranya kita fokus kepada industri permotoran itu sendiri, kita melihat bahawa Proton dan dasar kerajaan pada ketika itu adalah batu penghalang pada pembangunan industri automatif di negara ini.

Proton (atau pengeluar tempatan secara amnya) menerima layanan istimewa dengan pengecualian cukai oleh pihak kerajaan. Kereta luar menerima bebanan cukai yang tinggi berbanding kereta tempatan.

Hal ini membantutkan minat banyak pengeluar kereta lain ataupun syarikat-syarikat besar kereta yang mahu melabur di Malaysia. Justeru itu, mereka berpindah ke Thailand atas dasar yang lebih baik.

Jika Malaysia benar-benar maju dalam industri automotif, dasar ini perlu diteliti semula dalam usaha membangunkan industri automotif negara. Jika melihat kepada industri kereta elektrik sekalipun, kegagalan dasar-dasar yang diperkenalkan telah memperlihatkan kelemahan Malaysia dalam membantu kemajuan industri ini.

Kami yakin ramai yang bersetuju dengan penjelasan daripada Datuk Seri Dr Wan Junaidi. Ini adalah senarai pencapaian jenama kereta lain selepas berumur 35 tahun. Adakah 35 tahun cukup untuk membiarkan pengeluar tempatan ini berdikari?

Sumber: Portal Rasmi Parlimen Malaysia

Comments