Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya.

Mersita · Oct 24, 2020 11:50 AM

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 01

Katakan anda sedang ‘window shopping’ kereta terpakai, dan tiba-tiba anda terlihat satu iklan yang mengatakan “sambung bayar”. Selalunya, ramai yang tertarik dengan tawaran sebegini sebab ada yang tawarkan deposit yang sangat-sangat rendah daripada harga sebenar kereta tersebut.

Tambahan pula, ia nampak mudah – hanya bayar deposit, bayaran bulanan sudah tertera untuk anda buat perancangan, dan anda tak perlu bersusah-payah uruskan pinjaman dan pelbagai jenis dokumen. Yelah, kadang-kadang selera nak beli kereta tu tinggi melangit, tapi loan tak lepas.

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 02

Ye, tau.. Cantik. Kereta modified, siap bodykit, ada orang offer murah pulak tu...Jangan~

Bagi ‘penjual’ pula, mereka selalunya menawarkan sambung bayar ini kerana mereka perlukan duit cepat dan untuk lepaskan tanggungjawab bayar pinjaman bulanan. Nampak menarik, kan? Tapi, sama seperti banyak perkara yang menarik di dunia ini – perbuatan ini adalah salah di sisi undang-undang.

Jom kita huraikan satu-persatu mengapa ‘sambung bayar’ mempunyai risiko yang sangat tinggi dan akan menyusahkan kedua-dua pihak.

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 03

1. Salah di sisi undang-undang

Menurut Akta Sewa Beli 1967, tanggungan penyewa (pembeli asal) antaranya ialah “tidak memindahkan atau menjual barang tanpa kebenaran pemunya”. “Pemunya” dalam hal ini selalunya ialah bank. Ingat, anda beli kereta dengan pinjaman bank maksudnya kereta itu bukan milik anda – ia masih dibawah pemilikan bank sehingga bayaran habis dibuat dan tempoh pinjaman tamat.

Seksyen 38 dibawah akta ini menyatakan sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jangan susahkan diri, bayar sajalah sampai habis atau minta ahli keluarga untuk sambung ‘loan’  kereta atau motosikal anda. Selalunya, inilah jalan yang lebih selamat. Tapi, ahli keluarga atau tidak (paling teruk kalau bukan ahli keluarga), anda yang akan menanggung akibatnya kerana…

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 04

Sumber: FB Polis DiRaja Malaysia

2. ‘Penjual’ bertanggungjawab dengan bayaran bulanan dan saman

Nak bagi orang sambung bayar memang senang. Tapi, jika ahli keluarga/rakan/’pembeli’ anda lambat membayar pinjaman atau tak bayar langsung, anda yang menanggung padahnya. Seperti pinjaman-pinjaman berdaftar yang lain, kegagalan dalam bayaran bulanan akan dikira dalam skor kredit CCRIS anda dan ini akan menyusahkan anda dalam proses pinjaman di masa akan datang.

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 05

Sumber: iMoney.my How to Read Your CCRIS Report

Jika apa-apa terjadi, semua saman, kesalahan dan denda akan dikenakan terhadap anda sebagai pemilik asal. Sanggupkah? Yang pasti, ini bukan pilihan bijak dan hanya memakan diri. Anda juga tak boleh laporkan yang kereta anda dicuri kerana anda dengan rela hati memberi kereta tersebut kepada orang lain. Paling koman pun, anda boleh laporkan sebagai kes menipu dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana membuatkan anda menjual kenderaan tersebut dengan harga yang sangat rendah.

Itu bagi ‘penjual’. Bagaimana pula dengan ‘pembeli’ tawaran sambung bayar? Beralih pula ke poin ke-3 dan ke-4...

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 06

Sumber: Astro Awani

3. Pembeli tak dapat peralihan pemilikan kereta tersebut dibawah namanya

Sebagai ‘pembeli’, kereta tersebut tidak dapat dipindahkan dibawah nama mereka. Mereka juga tidak dilindungi polisi insuran kenderaan tersebut. Walaupun nama mereka sebagai pembeli boleh ditambah sebagai pemandu kedua, masalah akan timbul jika pemilik sebenar kereta tersebut meninggal dunia. Pemilikan kenderaan akan jatuh secara automatik dibawah nama ahli keluarga pemilik dan mereka berhak untuk mengambil kereta tersebut tanpa sebarang bayaran.

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 07

Sumber: Astro Awani

4. Pembeli mungkin dijual kereta klon

Antara risiko paling tinggi untuk ‘pembeli’ ialah dapat kereta klon. Memiliki kereta klon boleh mengakibatkan anda didenda sehingga RM 10,000 dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Anda boleh tertangkap jika ada ‘roadblock’ JPJ atau semasa pembaharuan cukai jalan. Anda boleh periksa samada kereta anda kereta klon atau tidak dengan melawat Puspakom.

Jangan beli kereta ‘sambung bayar’ – risiko tinggi! Ini sebabnya. 08

Jadilah pembeli dan penjual bijak. Jangan disebabkan terdesak untuk memiliki kereta atau menjual kereta untuk duit cepat, anda sanggup berjual-beli dibawah perjanjian sambung bayar. Itulah sebabnya anda perlu fikir masak-masak sebelum menambah apa-apa komitmen dan pastikan bayaran bulanan kereta serba baru anda boleh ditanggung dengan mudah. Ya, ada yang sampai palsukan slip gaji semata-mata untuk lepaskan loan kereta, tapi tak fikir masa depan.

Bagi pembeli pula, jangan mudah rambang mata dengan kos pemilikan rendah yang mudah. Risikonya sama berat di bahu anda dan ia akan mengundang lebih banyak masalah di kemudian hari. Jangan terpedaya!

Comments

Up to 20% higher than average trade-in price

2021 Perodua Ativa 1.0L Turbo X

Upgrade

Add your car

Service powered by carsome

Latest Cars