Kenapa enjin EQ Boost Mercedes-Benz C200 digugurkan di Malaysia?

Mersita · Jul 20, 2020 11:00 AM

2020 Mercedes-Benz C200 AMG Line

Dengan pengenalan Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 yang baru di Malaysia, perubahan paling ketara boleh dilihat pada tren kuasanya. Naik-taraf kepada C200 AMG Line 2020 melihat kemunculan semula enjin M264 2.0 liter yang menggantikan unit EQ Boost 1.5 liter dengan hibrid sederhana 48V.

Perubahan ini dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa kerana tren kuasa EQ Boost baru sahaja diperkenalkan pada tahun 2018. Tetapi, janaan kuasa enjin M264 juga bukanlah calang-calang. Kuasa ditingkatkan dari 181 PS kepada 206 PS. Tork juga ditingkatkan dari 280 Nm ke 300 Nm.

Prestasi mengagumkan ini ditunjukkan dalam kebolehan masa pecutannya dari 0 – 100 km/jam dalam 7.1 saat; berbanding dengan prestasi pecutan EQ Boost iaitu 7.7 saat. Puncak kelajuan juga naik 11 km/jam kepada 250 km/jam.

Walaupun tren kuasa EQ Boost boleh menghasilkan tork segera dengan hibrid sederhananya, enjin M264 mempunyai julat tork yang lebih meluas. Tahap tork M264 adalah dari 1,600 ke 4,000 rpm; manakala EQ Boost pula dari 3,000 ke 4,000 rpm.

Dengan ini, kita boleh katakan yang janaan kuasa dalam penggunaan harian adalah lebih baik dengan C200 yang baru. Penjelasannya mudah – tork sampai lebih cepat dan melalui ruang yang lebih lebar. Apa-apa pun, tak banyak yang boleh kita katakan tentang EQ Boost dan prestasinya pada aspek ini.

Lebih-lebih lagi, penggunaan bahan api tergabung dan pengeluaran karbon dioksida adalah sama antara kedua-dua unit enjin ini (M264: 5.9L / 100km, 135g / km vs. EQ Boost: 6.0L / 100km, 136g / km). Angka-angka ini lebih kurang sama walaupun M264 mempunyai janaan kuasa dan tork yang lebih bagus.

Akhir sekali, kami rasakan yang enjin EQ Boost 1.5 liter barangkali lebih rumit dan mahal untuk dihasilkan berbanding M264 (yang dipasang pada beberapa model Mercedes). Oleh itu, penggunaannya dianggap tidak relevan.

Secara keseluruhannya, jika dilihat dari perspektif pengguna, agak sukar untuk kita memberikan alasan yang kuat tentang kebaikan unit kuasa EQ Boost – terutama sekali di negara kita. Ia bukanlah lebih ekonomi atau lebih efisien. Satu-satunya penjimatan yang boleh dinikmati adalah kadar cukai jalan tahunannya. Oleh itu, mungkin inilah sebabnya mengapa enjin EQ Boost sekejap sekali digunakan pada C200.

Comments