Kia Grand Carnival dilancarkan secara rasmi. Van mini dengan gaya SUV

Haris · Jun 24, 2020 09:59 AM

Kia Grand Carnival

Kia Motors Corporation telahpun melancarkan Kia Grand Carnival 2020 terbaru secara rasmi. Model generasi keempat ini akan menggantikan model sekarang dalam pasaran. Jualan akan bermula sekitar suku ketiga tahun 2020 di Korea Selatan dan diikuti dengan jualan global.

Kia Grand Carnival turut dikenali dengan nama Kia Sedonia di beberapa pasaran. Rekaan terbaru ini disasarkan untuk golongan keluarga muda moden yang memerlukan gaya, teknologi dan praktikaliti dalam sebuah kenderaan.

Bergerak ke bahagian hadapan, Kia memberi nama rekaan hadapan sebagai ‘Tiger Face’. Melengkapkan lagi keseluruhan rupa tersebut, gril hadapan yang dinamakan ‘Tiger Nose’ diperkemaskan dengan jaringan ‘Symphonic Architecture’. Paling ketara sekali adalah integrasi lampu hadapan rekaan baru yang lebih kecil dan selari dengan gril hadapan.

Rekaan bahagian belakang pula mengambil inspirasi futuristik. Jalur lampu brek yang lebih panjang dan melintang ternyata berbeza dengan rekaan sebelum ini. Garisan-garisan yang ditonjolkan juga turut memberikan bentuk yang lebih bersegi pada Kia Grand Carnival 2020 terbaru ini.

Dengan 2 juta unit terjual di seluruh dunia sejak generasi pertama, Kia Grand Carnival tampil dengan rekaan yang lebih garang, futuristik dengan sedikit gaya SUV. Pereka bentuk dari Kia turut menggelarkan Kia Grand Carnival sebagai ‘Grand Utility Vehicle’ disebabkan aspek praktikalitinya. 

Comments