Macam mana nak baca 'spec' rim?

Faisal · Oct 21, 2020 04:00 PM

Anda mesti pernah ke kedai tayar bukan? Sekiranya anda ke kedai tayar untuk sebarang urusan berkenaan tayar mahupun masalah pemanduan, anda mungkin perasan bahawa terdapat kod pada roda sama ada pada tayar atau rim itu sendiri.

Imej: bimmerfest.com

Secara umumnya, tayar memberikan bacaan kod yang jelas tetapi untuk rim, ia terletak di bahagian dalam. Kod ini menjelaskan spesifikasi yang terdapat pada rim tersebut. Selain itu, kod ini berfungsi sebagai rujukan apabila anda hendak mengganti atau mengubah suai ‘kasut’ kereta anda. Oleh itu, mari kita sama-sama merungkaikan maksud kod pada rim kereta. Sebagai contoh, mari kita gunakan kod 8Jx20H2 112-5-ET43.

Imej: roadkillcustoms

Angka 8 merujuk kepada ukuran lebar rim dalam unit inci. Ukuran lebar ini diambil dari kiri ke kanan rim.

Imej: summitracing

Abjad J pula menandakan bentuk bucu rim yang dikenali sebagai bibir. Huruf yang berlainan menandakan kegunaan yang berlainan. Kebiasaanya, kebanyakan kereta menggunakan profil J. Kenderaan 4x4 pula mengunakan profil JJ.

Berbalik kepada kod, angka 20 merujuk kepada diameter rim dalam unit inci. Diameter rim dikira melalui ukuran lilit. Diameter ini juga dikenali sebagai saiz rim. Untuk maklumat anda, penukaran saiz rim hanya boleh berbeza sebanyak 3 % supaya bacaan perbatuan (mileage) dan kelajuan (speedometer) tidak terjejas.

Mengenai abjad H2, ia merujuk kepada jenis dinding. Dinding ini berfungsi untuk menghalang tayar daripada jatuh ke dalam rim. Kebanyakan kereta biasa menggunakan dinding H2.

Beralih kepada angka 112, ia merujuk kepada jarak di antara dua skru yang paling jauh. Ia disukat dalam unit mm. Jarak ini turut dikenali sebagai Pitch Circle Diameter (PCD).

Angka 5 pada bacaan kod pula menandakan bilangan skru yang digunakan pada rim kereta anda. Kebiasaanya, kereta yang lebih berkuasa atau lebih besar akan menggunakan lebih skru.

Untuk bacaan ET43, ia merujuk kepada kadar offset rim (ET). Ia juga bermaksud kedalaman roda. Bacaan 43 menunjukkan offset sebanyak +43 mm. Bacaan positif (+) bermaksud rim anda lebih memasuki ke dalam ruang tayar (fender). Bacaan negatif (-) pula bermaksud rim anda lebih ke luar fender. Ukuran offset ini penting untuk mengelakkan roda daripada bergesel dengan komponen dalaman seperti suspensi atau badan kereta seperti fender.

Imej: aelady.com

Dengan itu, adalah penting untuk anda mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan pada kenderaan anda untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kerosakan pada kenderaan. Selamat memilih!

Comments