Maserati Levante Trofeo Launch Edition kini di Malaysia – 3.8 Ferrari V8 twin turbo, dari RM 838k

Zamil Syaheer · Jun 05, 2020 03:48 PM

Naza Italia, pengedar rasmi Maserati di Malaysia telah melancarkan model Maserati Levante Trofeo Launch Edition di acara prebiu pintu tertutup tempoh hari.

Hanya 100 unit Launch Edition dihasilkan oleh Maserati untuk pasaran dunia, dan Naza Italia Berjaya membawa masuk tiga unit SUV berprestasi tinggi ini dengan tiga warna unik: Blu Emozione Matte, Giallo Modense dan Rosso Magma dengan pakej Nerissimo.

Model Launch Edition ini sama dengan varian Levante Trofeo yang datang dengan enjin 3.8 liter V8 turbo berkembar dari Ferrari menghasilkan 590 PS dan 730 Nm tork. Gabungan transmisi ZF 8-kelajuan automatik serta sistem empat road Q4 (AWD) dengan mod CORSA digunakan untuk memacu kudrat Levante.

Maserati Levante Trofeo hanya mengambil masa 3.9 saat dari 0 ke 100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksima sebanyak 304 km/j.

Tambahan pula, Levante Trofeo Launch Edition ini datang dengan sistem Integrated Vehicle Control (IVC) untuk pemanduan lebih dinamik serta lebih selamat. Dengan pembahagian berat yang ideal 50:50 dengan pusat graviti yang rendah, Levante Trofeo mempunyai kadar pengedalian yang seimbang serta stabil. Apatah lagi, pemandu boleh mengawal tahap ketinggian kereta dari 75 mm sehingga 85 mm untuk situasi yang diperlukan.

Di bahagian eksterior pula, Levante Trofeo datang dengan Matrix LED adaptive headlights, gril depan dengan palang menegak berganda dalam warna Black Piano, fascia mesh ‘honeycomb’ dibawah, pemegang pintu dan kaliper brek dalam warna sama seperti badan kereta, dan trim gentian carbon ‘ultralight’.

Setiap Levante Trofeo akan datang dengan lambing ‘Trofeo’ di bahagian tiang C belakang kiri dan kanan, sekali dengan ‘Trident’ dibawah lambang Levante di bahagian belakang. Melengkapkan rupa luaran Launch Edition ini adalah rim aloi Orione multi-spoke berukuran 22 inci di keempat-empat roda dalam warna matte untuk kelihatan lebih gagah.

Beralih arah ke bahagian dalaman, tempat duduk sporty datang dengan kain kulit premium 'Pierno Fiore' dengan jahitan benang sama seperti warna badan yang unik untuk Launch Edition, disulamkan dengan logo 'Trofeo' di bahagian sandaran kepala.

Selain itu, terdapat trim '3D Touch' gentian carbon matte dan juga 17 pembesar suara premium Bowers and Wilkins untuk pengalaman audio yang mampu menyentuh jiwa.

Setiap unit Levante Trofeo Launch Edition datang dengan plak unik dengan logo Trident dan Trofeo, beserta tulisan “one of 100”.

Jika anda ingin memilikinya, Levante Trofeo Launch Edition boleh menjadi milik anda pada harga RM 838,800 sebelum duti dan cukai termasuklah spesifikasi penuh, waranti tiga tahun tanpa sebarang halangan untuk jarak tempoh, program penyelenggaraan percuma, dan pilihan.

Ini juga termasuk waranti tujun tahun eksklusif yang digelar Serenity untuk kawasan Asia Tenggara termasuklah Malaysia. Namun begitu, tawaran program waranti ini hanya untuk pembelian didalam bulan Jun 2020 sahaja.

Buat masa sekarang, unit Blu Emozione Matte sudah pun ditempah, hanya tinggal Giallo Modenese dan Rosso Magma. Jika anda berminat, anda boleh membuat tempahan tontonan peribadi di bilik pameran Naza Italia.

Comments