Mazda CX-5 vs. Mazda CX-30: SUV mana yang patut anda pilih?

Mersita · Oct 18, 2020 11:50 AM

Kereta SUV menjadi kegilaan ramai pembeli di Malaysia masa kini, dan syarikat pembuat kereta cuba sedaya upaya untuk mengisi kekosongan barisan model mereka dengan kereta-kereta SUV. Antara yang popular termasuklah Mazda CX-5 dan Mazda CX-30 yang secara teknikalnya berada dalam segmen C dalam pasaran SUV.

Mungkin ada yang beranggapan CX-30 sebagai kereta crossover. Tapi, hal mengenai SUV/crossover akan dibincangkan dalam entri lain kerana ia agak rumit untuk dijelaskan. Mazda CX-5 dan CX-30 bukan saja berada dalam segmen yang sama, kedua-dua model ini juga berada dalam lingkungan harga yang sama. Oleh itu, mana satu yang patut anda pilih? Kami akan jelaskan satu persatu.

Kami huraikan di bawah senarai harga (OTR dengan insentif SST, sah sehingga 31 Dis 2020) serta varian-varian untuk CX-5 dan CX-30:

Mazda CX-5

  • 2.0G 2WD Mid - RM 132,403
  • 2.0G 2WD High - RM 148,563
  • 2.5G 2WD High - RM 161,103
  • 2.2D 2WD High - RM 167,274
  • 2.5G 4WD High T/C - RM 174,852

Mazda CX-30

  • 2.0G Core - RM 144,759
  • 2.0G High - RM 159,109
  • 2.0G High AWD - RM 170,459
  • 1.8D High - RM 167,673

Tren kuasa – Lebih banyak pilihan untuk CX-5

Mazda CX-5 mempunyai pilihan enjin yang lebih meluas – dari enjin ‘naturally aspirated’ 2.0 liter sehinggalah enjin berpengecas turbo 2.5 liter, juga dengan enjin diesel 2.2 liter.

Enjin petrol ‘naturally aspirated’ 2.0 liter dikongsi antara kedua-dua model ini. Ia menjana 162 PS dan 213 Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan. Untuk pemanduan harian, tren kuasa ini cukup bagus untuk CX-5 dan juga CX-30.

Penghantaran kuasanya linear, enjinnya seronok untuk diderum, dan transmisi automatik 6 kelajuannya terasa mudah untuk diturunkan apabila kelajuan diperlahankan.

Yang menariknya, Mazda CX-5 2.5G hanya kira-kira RM 2,000 lebih mahal daripada varian CX-30 2.0G High. Kebolehannya dari segi kapasiti tambahan berguna apabila hendak membawa penumpang memandangkan enjin 2.0L terasa sedikit payah apabila membawa 5 penumpang dewasa.

Jika anda kerap memandu di lebuhraya, CX-5 dengan kapasiti enjin yang lebih besar lebih sesuai untuk keperluan anda.

Ruang dalaman dan praktikaliti – CX-5 lebih praktikal, CX-30 lebih selesa

Ruang dalaman CX-5

Walaupun Mazda CX-5 tidak begitu terkenal dari segi keluasan ruang dalaman dalam segmennya, CX-30 lebih sempit di tempat duduk belakangnya. Disebabkan oleh atapnya yang rendah, ruang lutut dan kepala agak kecil.

Ruang di belakang (CX-5)

 

Ruang di belakang (CX-30)

Ruang dalaman CX-5 tampak lama apabila dibandingkan dengan CX-30 – skrin paparan infotaimen yang lebih kecil dan kluster instrumennya yang analog. Papan pemuka CX-30 yang dibalut kulit yang bersambung kemas dengan panel pintunya menaikkan lagi seri ruang dalaman SUV itu.

Ruang dalaman CX-30

Bagi ruang simpanan pula, CX-30 mempunyai ruang di bahagian pemandu yang terletak di bawah pelaras ‘memory seat’ dan ruang ini tiada di dalam CX-5. Tapi, perehat lengan belakang dalam CX-5 ada 2 port pengecas USB dan ruang khas untuk peranti atau telefon bimbit.

Ruang but lebih besar sedikit di dalam Mazda CX-5 dengan isipadu 442 liter, manakala isipadu but CX-30 ialah 430 liter. Selain dari itu, kedua-duanya sama praktikal – ruang simpanan di tepi pintu boleh memuatkan botol besar serta mempunyai ruang simpanan yang cukup besar pada perehat lengan tengahnya.

CX-5 (atas)
CX-30 (bawah)

Keselesaan pemanduan – CX-5 lebih lentur sedikit

Suspension Mazda CX-5 lebih lentur sedikit berbanding CX-30. Ini juga dibantu oleh tayar yang berprofail lebih tebal pada CX-5, terutamanya varian 2.0L dengan rim bersaiz 17 inci.

Bagi CX-30 pula, pemanduannya agak keras tanpa sebarang peningkatan ketara bagi tetapan ini. Suspensionnya tidaklah begitu keras sehingga terasa sangat tak selesa, tapi anda akan dapat rasakan perbezaannya apabila anda bertukar dari CX-5 ke CX-30.

Kerusinya sama-sama mempunyai sokongan memuaskan memandangkan Mazda memang memberi banyak perhatian kepada keselesaan tempat duduk. Posisi pemanduan di dalam CX-5 terasa lebih seperti SUV dimana anda duduk tinggi sedikit. Manakala bagi CX-30 pula, kerusinya lebih rendah dan ia terasa seperti memandu hatchback.

Kerusi hadapan CX-30

Tahap bunyi juga lebih rendah di dalam CX-30 walaupun CX-5 mempunyai cermin hadapan ‘double-glazed’. Kedua-dua kabin kereta ini selesa dipandu dengan senyap, tapi CX-30 lebih senyap dan kurang bunyi ‘rolling’. Pada kelajuan 110 km/jam, CX-30 mempunyai bacaan bunyi 66.5 dB manakala CX-5 sekitar 68 dB.

Pengalaman pemanduan – CX-30 lebih lincah

Kerana kedua-duanya kereta Mazda, kawalannya ditentukur dengan sempurna dimana sterengnya mempunyai berat yang sesuai, pedal pemecutnya responsif dan linear, breknya pula cukup progresif.

Dari sudut-pandang pemandu di dalam CX-5

Yang menariknya, brek pada CX-5 cengkam lebih kuat sedikit berbanding CX-30. Perlu diingatkan perkara ini tidak berkait terus dengan prestasi brek, ia lebih berkait dengan tentukur ‘brake booster’nya.

Apabila dipandu melalui jalan berselekoh, CX-30 lebih tangkas kerana dimensinya yang lebih kecil dan beratnya yang rendah, manakala ‘body roll’ pula tidak begitu ketara. Tapi, sistem GVC+ di dalam kedua-dua kereta ini berjaya memastikan badannya seimbang.

Advanced Driver-Assistance Systems (ADAS) - CX-30 lebih bagus

Dari segi ADAS, CX-30 lebih bagus dengan adanya Mazda Radar Cruise Control yang tiada pada CX-5. Suite i-Activsense dalam CX-30 merangkumi:

  • High Beam Control (HBC)
  • Blind Spot Monitoring (BSM)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Lane Departure Warning System (LDWS)
  • Lane-Keep Assist System (LAS)
  • Driver Attention Alert (DAA)
  • Smart City Brake Support (SCBS) – Depan & belakang
  • Mazda Radar Cruise Control (MRCC)

Varian spesifikasi tinggi (2.2D 2WD dan 2.5G 4WD) di dalam CX-5 merangkumi:

  • Blind Spot Monitoring (BSM)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Lane Departure Warning System (LDWS)
  • Lane-Keep Assist System (LAS)
  • Driver Attention Alert (DAA)
  • Smart City Brake Support (SCBS) - Depan & belakang

Kesimpulan – CX-5 untuk praktikaliti, CX-30 untuk pengemudian lebih sempurna

Diimpot sepenuhnya dari Jepun, Mazda CX-30 berada dalam lingkungan harga yang sama dengan ‘abangnya’ yang lebih besar – iaitu Mazda CX-5 yang dipasang tempatan. Pilihan antara dua SUV ini bergantung pada keperluan masing-masing.

Jika anda mahukan SUV yang lebih kecil yang lebih mudah untuk dikemudi di sekitar bandar, dengan pengendalian yang lebih tangkas, ditambah pula dengan ruang dalaman yang lebih ‘up-to-date’, CX-30 cukup sesuai untuk anda. Jika praktikaliti, ruang dan keselesaan menjadi keutamaan anda, CX-5 adalah pilihan yang lebih sesuai.

Pilihan kami pula ialah CX-5 kerana ruangnya yang lebih besar dan lebih praktikal. CX-30, apabila diuji dengan sendirinya, sebenarnya agak selesa. Tapi, apabila kami bertukar-tukar antara kereta ini dengan Mazda 3, kualiti pemanduannya tidak dapat menebus tahap keselesaannya.

Comments