Mercedes-Benz C200 AMG Line lebih berbaloi berbanding C300, jimat RM 40,000!

Zamil Syaheer · Jul 28, 2020 06:40 PM

Awal bulan Julai, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan varian Mercedes-Benz C200 AMG Line pemasangan tempatan (CKD) dengan enjin 2.0 liter 4-silinder pengecas turbo baharu.

Enjin ini menggantikan enjin 1.5 liter EQ Boost pengecas turbo dengan mild hybrid. Oleh sebab ini, maka tiada lagi varian C200 Avantgarde.

Namun begitu, jangan tertipu dengan ayat ‘enjin baharu’ kerana sebenarnya C200 AMG Line kini menggunakan enjin M264 dan transmisi 9G-Tronic 9-kelajuan yang sama seperti C300 AMG Line.

Yang bezanya disini ialah jumlah kuasa kuda (C200 204 PS, C300 258 PS), tork (C200 300 Nm, C300 370 Nm) dan jurang harga RM 40,000+ yang kendengaran agak besar jumlahnya untuk menaik taraf.

Persoalannya, adakah ia berbaloi?

Perubahan ketara di bahagian eksterior adalah penukaran kit badan ke AMG Line yang membuatkan C200 sama seperti C300. Yang berbeza hanyalah lampu depan C200 adalah LED adaptif biasa, manakala C300 menggunakan LED MultiBeam anti-silau yang lebih sofistikated.

Bagaimana pula dengan yang lain? Kami di Wapcar telah sediakan poin ringkas di bawah untuk kesenangan anda.

Mercedes-Benz C200 AMG Line yang berharga RM 251,587.39 (tanpa cukai SST) datang dengan kelengkapan ini sebagai standard:

  • Lampu LED adaptif
  • Lampu LED belakang
  • Rim aloi ringan AMG 18 inci
  • Infotainmen Audio 20 dengan skrin 10.25 inci yang menyokong Apple CarPlay and Android Auto
  • Panel instrumen digital 12.3 inci
  • Mercedes me connect
  • Hiasan kayu oak pori terbuka

  • Stereng kulit Nappa berlubang dengan bantalan permukaan logam
  • Paddle shifters yang telah di galvanis
  • Pelapis kulit Artico buatan tangan
  • Sistem suspensi sports AMG
  • Pedal sports AMG
  • Mod pemanduan Dynamic Select drive modes (Comfort, Sport, Eco, Custom - enjin dan transmisi sahaja)
  • Kawalan pelayaran Speedtronic (bukan adaptif)

Manakala Mercedes-Benz C300 AMG Line yang berharga RM 293,800 (tanpa cukai SST) menambah:

  • Rim aloi ringan AMG 19 inci
  • Sistem suspensi udara Airmatic (aktif dan adaptif)
  • Lampu hadapan MultiBeam LED (matrix LED, anti-silau)
  • Hiasan kayu pori ash terbuka
  • Sistem audio Burmester
  • Bumbung suria panaromik

C200 dengan rim aloi ringan AMG 18 inci.

Bagi kelengkapan keselamatan pula, C200 AMG Line datang standard dengan kit dibawah:

  • 7 beg udara
  • Blind Spot Assist
  • Blind spot monitor (BSM)
  • Kamera undur
  • Sistem PRE-SAFE

  • KEYLESS-GO
  • Adaptive Brake Lights
  • Active Parking Assist (APA)
  • Active Brake Assist (ABA)
  • Autonomous Emergency Braking (AEB)

Mercedes-Benz C300 grille

C300 pula datang dengan penambahan dua ciri:

  • Kamera 360°
  • Active lane-keeping assist

Jika nak dibandingkan antara dua spesifikasi ini, memang sedikit sahaja penambahan kelangkapan di C300 AMG Line. Tren kuasa dan transmisi dah sama, tetapi C300 semestinya lebih laju. C300 mengambil masa 5.9 saat dari 0-100 km/j berbanding C200 dengan 7.1 saat.

Tetapi mengikut logik akal, anda bukannya nak memecut ala kereta lumba setiap hari. Jika anda orangnya, buat apa anda membaca artikel ini?

Bahagian dalam C300.

Malah kit bantuan keselamatan yang diberi pada C300 hanya tambah dua fungsi sahaja. Usah ambil kisah pasal sistem suspensi Airmatic nya, kami telah uji pandu kedua-dua C200 dan C300 dan ianya lebih kurang sama sahaja.

Tahap keselesaan pemanduan bukanlah kelebihan utama model C-Class ini kerana ianya terlalu keras seperti mana kami pernah huraikan di artikel ini.

Berapa kerap anda memakai bumbung suria panoramik dekat negara kita ini? Mesti jarang kan. Juga, sistem Audio 20 yang datang dalam C200 cukup merdu dan jelas.

Kedua-duanya dilengkapi dengan lampu LED di bahagian depan dan belakang juga. Rim pun boleh ditukar pada bila-bila masa, sebab kit badan dah sama.

Senang cerita, C200 mempunyai cukup kelengkapan dari segi rupa, gaya, keselamatan dan tren kuasa untuk kegunaan harian anda. Oleh sebab itulah kami rasa macam tidak berbaloi nak bayar RM 40,000 lebih untuk C300.

Comments