MPSJ letak pengehad kelajuan untuk kurangkan kemalangan 3 Selekoh Maut Subang Jaya

Haris · Aug 13, 2020 11:00 AM

Di Subang Jaya terdapat 3 selekoh yang terkenal dengan risiko kemalangan. Kenderaan selalunya terbabas di selekoh-selekoh ini yang selalunya dikaitkan dengan masalah jalan raya tersebut.

Tidak dinafikan, 3 selekoh ini seolah-olah menarik perhatian pemandu-pemandu yang hijau dalam selok belok jalan raya untuk menguji jentera masing-masing. Oleh itu, tidak hairanlah jika kawasan ini selalu menjadi lubuk kemalangan yang terkenal di Lembah Klang.

Selekoh pertama adalah selekoh masuk ke Subang Jaya melalui Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang. Selekoh kedua adalah selekoh U betul-betul di sebelah Apartment One Soho Subang. Selekoh terakhir adalah selepas selekoh kedua sebelum susur masuk ke Lebuhraya Persekutuan ke arah Klang.

Kredit gambar: Carput

Oleh hal yang demikian, Timbalan Pengarah Pengurusan Korporat dan Strategik MPSJ Azfarizal Abdul Rashid berkata pihaknya menyedari bahaya risiko kemalangan di kawasan-kawasan ini dan berusaha telah memasang papan tanda jalan dan papan tanda lalu lintas untuk memberi amaran kepada pengguna kenderaan.

"Untuk mengingatkan pemandu agar mematuhi had laju, kami akan memasang palang melintang kuning (pengehad kelajuan) dan lebih banyak papan tanda lalu lintas," ujar beliau lagi.

Difahamkan bahawa ramai pemandu yang terbabas apabila melalui selekoh-selekoh terbabit akibat daripada memandu melebihi 50 km/j di kawasan-kawasan tersebut. Penduduk One Soho Subang turut memberitahu bahawa kawasan-kawasan ini dipanggil Subang Daytona.

Sebuah lagi selekoh maut Subang Jaya yang kini lebih selamat

Hal ini kerana kawasan-kawasan tersebut menjadi tempat untuk menguji jentera oleh rempit kereta yang turut mengakibatkan pencemaran bunyi. Penduduk telah melaporkan mengenai gangguan tersebut oleh pihak berkuasa.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya ini sememangnya bagus. Diharapkan bahawa golongan rempit kereta tidak sanggup lagi mencuba menguji jentera mereka dengan kehadiran palang melintang kuning.

Sumber: The Star

Comments